Ads by nuffnang

Sunday, June 26, 2011

Dapat menantu baru......

Selain padat dengan tugasan produksi, minggu ini saya 
tambah sibuk kerana dapat menantu baru....

Sebagai mak sedara, bukanlah sibuk memasak, mengemas 
rumah atau sebagai perancang perkahwinan tapi lebih 
kepada menyibuk.....

Sebenarnya anak kakak sulung saya mengakhiri zaman 
bujangnya.

Anaknya pengantin perempuan ini, kembar dan kakaknya 
memberi laluan kepada adik untuk berumahtangga dulu....
dah memang jodoh....

Nama pengantin Nazreen Sophia dan kakaknya 
Nazirah Aminah.


Fendi, Boreen dan Beerah

Nama yang sedap diberi oleh kedua ibubapanya telah
saya ubah masa mereka kecik dulu sebagai Boreen dan
Beerah, melekat sampai sekarang.....

Menyentuh hal ehwal Walimatulurus, lazimnya hari ini 
majlis perkahwinan terdapat Perancang Perkahwinan
menguruskan susunatur pelamin dan hiasan, manakala 
bab hidangan untuk tetamu semuanya katering 
yang menguruskan termasuklah segi khemah, kerusi meja, 
juadah dan pelbagai lagi...

Tidak seperti 20 - 30 tahun  lalu, masih saya ingat lagi,
ketika itu tatkala masak, ramai bergotong royong 
di antara jiran tetangga dan keluarga tuanrumah......
di mana ia menambah eratkan lagi silaturahim.....

Keadaan lebih menghangatkan dengan kehadiran warga 
veteran yang kuat melatah.......tak kering gusi dibuatnya....


Sekarang kebanyakan keluarga pengantin mengadakan 
majlis persandingan di dewan atau di hotel kecuali 
akad nikah....itu pun kadangkala dilakukan di masjid.



Bulan ini dua menantu saya terima, awal bulan anak lelaki 
abang saya mendirikan rumahtangga dan akhir bulan 
anak kakak...

Tahniahlah pada pasangan Boreen/Fendi dan Adham/Leen.


Bersama Chik Inn"s Junior dan kakak ipar yg baru menerima menantu awal Jun


Layarilah bahtera perkahwinan kalian hingga ke 
hujung nyawa....Aminn.......


Mudah mudahan tahun depan bertambah lagi cucu 
saya....

InsyaAllah hujung tahun ini saya akan dapat 
cucu kedua......dalam entri terdahulu, pernah saya 
tulis cucu pertama saya bernama Iman....dia bakal 
dapat adik tidak lama lagi.....

Alhamdulilllah........

Dulu dokong ayahnya, kini dokong Iman.....

Iman bersama penjaganya Emma dan Bibik Yam(dah berkhidmat dgn kami hampir 20 tahun)

Thursday, June 23, 2011

Pemuda memukul nenek dalam keretapi......

Berikutan sehari dua ni, minda penuh dengan pelbagai 
perkara yang menjadikan diri separa "stress", jadi entri 
malam ini saya kongsikan emel yang saya terima 
pagi tadi untuk  kita rilek dan membaca sambil 
tersenyum ya......

Teruskan membaca.....
  
Ceritanya ada seorang pemuda yang dibicarakan di 
mahkamah dengan tuduhan yang menjadi isu hangat
"Memukul warga emas di dalam keretapi".

Hakim berkata kepada pemuda tersebut, 

"Sekarang cuba anda ceritakan apa saja yang 
sebenarnya terjadi secara lengkap dan detail. 
Anda sangat kejam, berani memukul seorang nenek!"

Pemuda itu pun bercerita.
  
“Begini Tuan Hakim, tiga hari yang lalu saya naik 
keretapi dari JB ke KL dari Stesyen Johor Bahru

"Saya duduk berhadapan dengan seorang nenek tua". 

Keretapi kemudiannya bertolak dan beberapa minit 
kemudian sampai di stesyen Kulai. 

Di stesyen Kulai ini keretapi berhenti untuk pemeriksaan 
tiket...

Konduktor pun datang ke gerabak tempat saya berada, 
dan tak lama kemudian menanyakan tiket saya. 
Saya terus tunjukkan pada dia.” 

Kemudian giliran dia meminta tiket nenek di hadapan 
saya. 

Dia mengeluarkan handbag dari begnya, dari dalam 
handbag itu dia mengeluarkan dompet besar, dan dari 
dompet besar itu dia mengeluarkan dompet kecil. 

Dari dompet kecil itu dia mengeluarkan bungkusan, 
terus dia buka bungkusan itu dan masih ada bungkusan 
yang lebih kecil.

Bungkusan kecil itu dia buka, dan di dalamnya ada 
kotak mancis. 

Rupanya dia menyimpan tiketnya di kotak mancis itu.” 

”Setelah diperiksa konduktor, dia menaruh tiketnya 
lagi ke kotak mancis itu, lalu kotak mancis dibungkus 
lagi pakai bungkus kecil itu, lalu bungkus besar, 
lalu diletakkan dalam dompet kecil, lalu dalam dompet 
besar, lalu dompet besar itu dimasukkan kembali ke 
dalam handbag, lalu handbag-nya dimasukkan lagi 
ke begnya…” 

Kita pun meneruskan perjalanan. 

Perhentian berikutnya di stesyen Kluang. 

Di sana juga sama, ada pemeriksaan tiket oleh konduktor. 

Dengan cepat diperiksa tiket saya, sementara nenek 
itu mengeluarkan handbag dari begnya, kemudian dari 
dalam handbag itu dia mengeluarkan dompet besar, 
dan dari dompet besar itu dia mengeluarkan dompet kecil.

Lalu berturut-turut keluar bungkusan besar, lalu bungkusan
kecil yang di dalamnya masih ada kotak mancis. 

Tiket dia keluarkan dari kotak mancis, diperiksa konduktor, 
lalu masuk lagi kotak mancis, bungkusan kecil, 
bungkusan besar, lalu dompet kecil, dompet besar, 
handbag, dan akhirnya masuk beg lagi…”

Keretapi terus berjalan, dan kita sampai di stesyen 
Segamat. 

Lagi-lagi ada pemeriksaan tiket. 

Tiket saya cepat diperiksa, sementara nenek itu 
mengeluarkan handbag dari beg, lalu dompet besar, 
lalu dompet kecil, lalu dari dalam dompet kecil 
dia mengeluarkan….."

Belum sempat si pemuda selesai, hakim membentaknya. 
  
“Hei kamu!!  jangan main-main ya!! 

Kamu ini cerita atau menipu yang bukan-bukan??? 

Ini mahkamah tahu!!!

Pemuda itu terus menjawab, 


Hah tengok…! Tuan Hakim baru mendengar cerita
yang cuma segini saja sudah marah. 

"Sekarang cuba bayangkan saya yang menyaksikan
 sendiri perkara itu sepanjang perjalanan dari
JB ke Kuala Lumpur !!! 

Ini bukanlah keretapi JB ke KL.....


Perjalanam dari Kiev ke Crimea 18 jam....jika mengalami senario seperti pemuda yang disoal, mahu tidur sepanjang jalan lah jawapnya......

Penat duduk....berdirilah pulak....menikmati pemandangan luar




Kisah di atas lebih kepada rekaan semata mata.

Apapun, dalam kehidupan seharian, tanamkan 
semangat sabar terutama bila berhadapan dengan 
insan yang lebih berusia ataupun veteran.

Sesungguhnya Sabar Itu Separuh Dari Iman........


Wednesday, June 22, 2011

Memandu terlupa destinasi.......

Sejak kebelakangan ini kalau waktu tu sehari 30 jam pun 
tak pa rasanya, kerana berderet tugas menunggu yang
perlu diselesaikan.

Sampai ofis awal, sambung sedikit lagi skrip Jejak Rasul
yang tak dapat diselesaikan malam tadi.


Jam 10 pagi, setiap minggu, lazimnya saya perlu 
menghadiri mesyuarat pengurusan Primeworks Studio
(PWS) membincangkan hal ehwal wargakerja dan juga 
program yang sediaada serta perkara perkara berkaitan 
penerbitan.

Selesai mesyuarat, diskusi sebentar dengan krew produksi
Rona.

Lepas tu, saya terus ke lokasi untuk rakaman "moderator"
Intai Intai Deko bersama Nor Azlina Redzuan.

Nasib baiklah lokasi kali ini berhampiran Sri Pentas,
tak lah terkejar kerja sangat.

Pemilik rumah, Sani Iskandar, sememangnya insan
yang berbabit dengan dunia hiasan dalaman, justeru
susun letak dan kombinasi hiasan rumahnya
memang A++++ lah.......  

Memang teruja tenguk kediaman Sani....

Nak download photo rumah Sani tapi tak dapat lah pulak...
tak tahulah apa dah jadi dengan laptop saya......
dah pening macam saya juga kot.....

Selesai rakaman, kembali ke Sri Pentas dan menguruskan 
beberapa perkara mengenai tugasan Intai Intai Deko yang 
akan ke Beijing, minggu depan.

Setelah menguruskan apa yang patut, ada satu lagi 
perjumpaan untuk tugasan Rona akan datang.

Dalam keadaan letih sejak dua menjak ini dan minda
pun berfikir banyak perkara, saya pun pandu kereta 
untuk ke lokasi yang dijanjikan.

Dok ralit memandu dan berfikir, mata tenguk aja jalan
dan mengikut saja kereta di depan, sedar sedar
saya dah tersalah laluan.

Dan biasalah kalau di ibukota kalau dah tersalah jalan,
huh berpusing jugalah dibuatnya.....

Ini bukan kali pertama ia berlaku. 

Ada sekali itu, saya memandu dengan anakbuah, dok 
seronok berborak, dalam pertengahan perjalanan 
saya "blurr" sekejap dan bertanya sebenarnya mana 
lokasi yang hendak dituju sedangkan memang nak 
ke Klang.

Saya tak tahulah adakah rakan rakan pernah mengalami
senario seperti saya ini???.

Ia bukanlah dikira memandu dalam keadaan bahaya, 
tetapi pada nak cepat jadi lambat.......

Kesimpulannya, tenangkan jiwa dan minda ketika
memandu......jangan sampai memandu terlupa
detinasi yang hendak dituju......... 

Saturday, June 18, 2011

Indahnya senibina Melayu....

Ketika tugasan Intai Intai Deko di Perlis Indera 
Kayangan, saya amat teruja dengan keindahan 
senibina sebuah Rumah Melayu Lama Perlis/Kedah 
yang dibina awal 1920an kira lebih 90 tahun usia
rumah terbabit .

Bagi rakan rakan blogger berasal dari Perlis, pastinya
rumah ini tidak asing bagi anda....

Terletak di Jalan Dato Wan Ahmad(sebelum ini dikenali
sebagai Jalan Pengkalan Asam) mengambil nama
sempena nama tuanpunya rumah terbabit, di antara 
individu penting di Perlis satu masa dulu.

Kini rumah ini didiami generasi ketiga, kira cucu 
kepada Dato Wan Ahmad.

Sekitar perkarangan luar rumah Dato Wan Ahmad





Kami sempat berjumpa dan menemuramah seorang
daripada generasi ketiga Datuk Wan Ahmad,yang
mesra dengan panggilan Mak Ngah. 

Berusia hampir 70 tahun, Mak Ngah bekas guru, sekali
imbas nampak macam baru lepas pencen, hakikatnya
dah lama meninggalkan alam perguruan....
kira Mak Ngah ni awet muda tau.....

Sempat jugalah dia memberi rahsia bagaimana kelihatan 
muda dan ceria sentiasa kepada saya.....

Di ruang tamu

Dia memberi penerangan dan sejarah di sebalik 
terdirinya rumah terbabit yang mempunyai tarikan
tersendiri....yang dikatakan seratus peratus tukang
rumah adalah anak Melayu.....

Ukiran kayu dalam dan luar rumah memang menarik
dan unik.....

Nor Azlina khusyuk mendengar penerangan Mak Ngah

 Mak Ngah memang peramah...... 


Jadi tunggu kisah senibina istimewa rumah warisan
Dato Wan Ahmad tidak lama lagi........

Hanya di TV3........


Thursday, June 16, 2011

Kempunan Harumanis.....

Alhamdulillah selamat mendarat di KLIA kira kira jam 
4.15 petang tadi.

Rata rata tugasan Intai Intai Deko bersama pengacara
Nor Azlina Redzuan selama 4 hari di Perlis Indera 
Kayangan menepati seperti yang dibincangkan.

Seperti biasalah dah nama tugasan di luar daerah, ia
menuntut untuk membuat penggambaran hingga lewat
malam.


Dalam keadaan letih, memang nak tulis entri tetapi
signal WIFI di hotel kediaman kami terutama dalam
bilik perlahan sesangat.


Kalau dalam bahasa penyiaran, kira perlahan macam
visual gerak perlahan atau slow motion.


Nak upload photo aja memakan masa yang lama, justeru
teruslah tutup laptop dan Selamat Malam ajalah......


Perlis, negeri paling utara Semenanjung Malaysia,
terkenal dengan buah mempelam HARUMANIS.

Dah nama pun Harumanis, sudah semestinya buahnya
mempunyai bau yang harum dan rasanya.....memang
sedap dan manis.....

Tapi yang ada Diebetes macam saya, tak bolehlah makan
banyak sangat...boleh memudaratkan kesihatan.....


Berikutan musim buahnya baru habis hujung bulan Mei,
maka kami hanya ke ladang Harumanis tenguk pokoknya
sahajalah...

Tahun sebelumnya saya ke Perlis, waktu buah tengah
banyak, di Pusat Kecemerlangan Mempelam ini, selain
boleh membeli Harumanis, pengunjung juga boleh 
menikmati pulut dengan mempelam dan jus mempelam.....

Pintu masuk Pusat Kecermelangan Mempelam Harumanis




Kempunanlah beberapa rakan rakan terutama Penerbit
Intai Intai Deko, Liza dan jurulampu kami Eddy.


Bergambar sahaja lah depan replika Harumanis



Apa nak buat....dah tak ada rezeki.....beli ajalah
mempelam jenis lain.......

Kesian kami.......



Monday, June 13, 2011

"Belasah" makanan laut......

Penerbangan ke Alor Star sepatutnya berlepas dari Subang
Skypark jam 8.30, tetapi tertunda 9.30 pagi.

Jadi saya dan Nor Azlina Redzuan atau Alin dok melepak
ajalah kat balai berlepas.

Sebenarnya bukan nak ke Alor Star tapi ke Perlis untuk
rakaman Intai Intai Deko.

Sampai di Lapangan Terbang Alor Star, ayah dan ibu
Alin dah menunggu ketibaan kami.

Berikutan krew menggunakan pengangkutan darat dan
masih dalam perjalanan, saya dan Alin penuhi masa
dengan "recce" dan buat temujanji dengan beberapa
responden.

Esok baru penggambaran bermula.

Kami menetap di Hotel Brasmana, Kuala Perlis dan
berdekatan dengan Medan Ikan Bakar, apa lagi makan
malam tadi dok "belasah" makanan laut lah......

Huh...sedap dan harga juga berpatutan.....

Sungguhpun hari ini mula persekolahan, tetapi
pengunjung di Medan Bakar Ikan ramai......

Saturday, June 11, 2011

Santai di hujung minggu.....

Berikutan esok hari Ahad, hari lebih kepada bersantai 
bersama keluarga dan sahabat handai, justeru saya
kongsikan entri yang lebih rilek buat bacaan rakan rakan.....

Saya terima beberapa hari lalu dari member baik
saya Shahnun Haniff.

Kisah mengenai dua sahabat....

Abu org Trengganu, manakala Amer org Kedah. 

Tinggal satu bilik..katil double decker.. Amer kat atas.. 
Abu kat bawah. 

Amer ni sukaa baca majalah dan komik... si Abu lak 
suka pinjam.. belinya tidak.

So, Amer ader sedikit bengang ler kat Abu ni.

Kekadang... majalah yg baru dibeli Amer, tak sempat
nak baca lagi, Abu dah kebas baca dulu...bila kasi balik 
dah lasam... tension lah Amer.

Satu hari, Amer balik dari outing dan beli majalah UJANG.

Siap cover tak kasi Abu nampak.

Lepas basuh baju, kemas sedikit sebanyak dan siapkan 
homework... dia pun nak rilek ler kat atas katil. 

Majalah UJANG bawah tilam pun dia bawa keluar. 

Elok jer dia baring.. baru buka mukasurat pertama..
Abu kat bawah dia bersuara..

"Amer.. nok ujang.."

"Nanti la sat... aku baru jer nak baca..." Amer menjawab
dengan lembut...

"Ameer... nok ujang tu" Abu tak putus asa.

"Nanti la dulu.. bagi la aku baca dulu.. nanti abih aku 
bagi kat hang laa!" panas sikit Amer.

"Amer ! Nok ujang !!" Suara Abu sedikit keras.

"Hang ni dah melampau.. kalau nak, beli lah sendiri...apa.. 
hang ingat aku beli UJANG ni dengan duit bapak hang ka??"

Amer dah naik angin.. siap turun dari katilnya.

"Laaa.. aku kata tu.. haghi nok ujang tu.. mung basuh 
kaing.. kekgi basoh.." kecut Abu jawab..

Drummmmmm.. hujan pun turun dgn lebat..

Photo Hujan dari Google Images

Baju Amer kat ampaian pun basah kuyup.......

Macam macam.... apapun.....

Tahniah pasukan Abu menjuarai Piala FA 2011.....

Friday, June 10, 2011

"Biarkan saya pergi ayah....."

Perkongsian hari ini agak panjang tetapi penuh makna...
bergenang airmata saya menghayatinya......

Teruskan membaca rakan rakan blogger yang saya 
hormati.....

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat 
Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 
tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota kediamannya 
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" 
dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan 
anaknya itu hendak keluar seperti biasa menghulurkan 
risalah-risalah Islam itu, tetiba hari menjadi amat dingin
dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih 
kering dan panas dan seraya berkata, 

"Ayah! Saya dah bersedia"
Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".

"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar 
menyampaikan risalah Allah".

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan 
juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk 
neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar 
dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu, 

"Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan 
risalah-risalah itu kepada anaknya.
 
"Pergilah nak dan berhati-hatilah". 

"Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah".

Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan 
hujan.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut
kepada sesiapa pun yang dijumpainya. 

Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan 
memberikan risalah kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah 
"Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya.
 
Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai 
jika masih ada risalah di tangannya.
 
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa 
yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok 
di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri 
rumah terbabit. 

Apabila sampai sahaja anak iman di rumah itu, lantas 
ditekannya loceng rumah itu sekali. 

Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun 
tiada jawapan. 

Diketuk pula pintu, namun sekali lagi tiada jawapan.
 
Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin 
rumah inilah harapannya agar risalah terakhir diserahkan. 

Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. 

Akhirnya pintu rumah dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang wanita dalam 
lingkungan 50an. 

Mukanya suram dan sedih. 

"Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Dengan wajah bersinar-sinar seolah-olah malaikat dari 
langit si anak berkata,

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin 
menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik 
dan sentiasa memelihara makcik".

"Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah 
akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". 

Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu",
dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, 
seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. 

Sebelum selesai dia bertanya, 

"Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan
berdiri.

Dia adalah perempuan separuh umur itu. 

"Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang 
kenal saya'.

"Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali".

"Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas 
saya bukan seorang Muslim".  

"Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan 
meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini".

 Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan 
untuk membunuh diri". 

"Jadi saya ambil kerusi dan tali". 

"Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak 
tangga menuruni". 

"Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu 
lagi diketatkan di leher". 

"Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng 
rumah saya berbunyi". 

"Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun 
yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab". 

"Kemudian ia berbunyi lagi". 

"Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan 
sekali lagi".

"Saya berkata sendirian, belum pernah pun ada orang 
yang tekan loceng itu setelah sekian lama". 

"Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"


"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak 
yang comel itu". 

"Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya 
memikat".

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin 
menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan 
sentiasa memelihara makcik, itulah kata-kata yang paling
indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. 

Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah 
itu setiap muka surat". 

"Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap 
nyawa saya diletakkan semula di tempat asal". 

"Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang 
bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang 
satu iaitu ALLAH. 

"Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah, 
sebabnya saya di sini hari ini.

"Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada 
hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya 
di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang kering. 

Ada juga yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas 
terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar 
dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat itu dikira Jumaat yang paling indah dalam 
hidupnya. 

Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada 
pada hari ini. 

Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya.

Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis.

Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya 
yang penyayang.

Renung renungkanlah....

Thursday, June 9, 2011

Kad Kahwin Nurul Syuhada......

Lepas solat asar di surau PWS, terus ke tempat saya.

Tenguk di atas laptop saya ada kad dan sememangnya 
kad jemputan kahwinlah.

Rekabentuk kad yang ringkas. 



Bila diamati kad terbabit, rupanya daripada pengacara
Majalah 3 yang tidak asing lagi dewasa ini iaitu, 
Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin. 

Nurul akan mengakhiri zaman bujangnya dengan Raja
Amir Shah dan persandingan bakal di adakan pada 
23 Julai 2011 di Grand Ballroom, Sime Darby Convention
Centre.


Jodoh pertemuan ditentukan Yang Maha Esa.


Harap pada tarikh terbabit, saya tiada tugasan luarlah.


Semasa pengacara Majalah 3 terdahulu iaitu Nor Azlina
Redzuan melangsungkan perkahwinan, saya bertugas 
di Suriname.


Saya sempat bertanya Nurul persediaan untuk 
perkahwinannya, dengan senyum melirik.....


"Adalah sikit sikit Chik Inn......."


Nurul sememangnya seorang yang serba sederhana
dan sentiasa melemparkan senyuman.


Sepanjang dia bertugas di bawah penyeliaan saya
di Majalah 3, memang mudah dibawa berbincang
dan kira tak banyak songeh lah......

Bertuah bakal suaminya dapat menawan Nurul.


Moga perkahwinan mereka kekal ke anak cucu....


Aminn.....


Memori bersama Nurul ketika di Beijing


Perjuangan perlu diteruskan

Wednesday, June 8, 2011

Penderaan emosi????

Entri yang singkat hari ini......

Pagi tadi ketika bersarapan di kafetaria Sri Pentas 
dengan rakan saya Hartina dan Zahir, satu perbincangan
benar benar menarik perhatian.

Hartina atau mesra dengan panggilan Tina berkongsi
topik mengenai "emotionally abuse" atau penderaan
emosi.

Lazimnya kita biasa dengar kisah atau baca di dada
akhbar mengenai penderaan fizikal mahupun penderaan
seks.

Sebenarnya penderaan emosi lebih banyak berlaku dan 
kesannya lagi kronik.

Contohnya menurut Tina, tiada belas kasihan, tidak 
berlaku adil, pilih kasih, ia menyumbang kepada gangguan 
emosi.

Ia boleh mengundang tekanan perasaan dan jiwa kacau
yang melampau.....

Bukan saja kepada staf atau keluarga kita, tetapi pada diri
sendiri jua.

Kadangkala kita terlalu mengejar "dateline" atau ingin
menghabiskan sesuatu perkara dengan segera justeru 
makan tidak menentu dan tidak cukup rehat.


Photo hiasan dari Google

Tindakbalas diri sendiri beberapa hari berikutnya
akan menjadikan diri kurang selesa dan bagaikan 
ada tak kena.

Ia adalah sebahagian daripada penderaan emosi yang
orang lain tak tahu hanya diri kita sendiri.

Jadi....jangan menyiksa emosi sendiri.....

Sebaiknya berkongsilah dengan teman rapat agar tidak
terus terbuku di hati dan menanti saat dan ketika untuk
meletup bagaikan bom jangka.....

Juga tenangkan jiwa dengan lebih mengingati 
Yang Maha Pencipta....

Tuesday, June 7, 2011

Anak Sawa untuk dijual?????

Selepas maghrib, keluar gi cari makanan untuk ADAM.

Seperti biasa antara kedai haiwan yang menjual makanan
si ADAM adalah Toby Pets di Ikano, Damansara Perdana.

Staf di sana memang dah biasa dengan saya terutama
sekali Anuar, kira ketua di kedai terbabit.

Sementara rakannya memasukkan tikus dalam kotak,
Anuar sudah bikin saya teruja kepada haiwan yang 
dikenali sebagai Chipmunk.

Comelnya tapi begitu lincah.....
Anuar boleh beri harga istimewa kepada peminat haiwan ke Toby Pets
Kan ada kartun Alvin dan The Chipmunk, kira macam 
spesis tupailah....

Memang geram betul saya menengoknya, harga seekor 
kalau tak silap dalam Rm 130.00.

InsyaAllah, dalam waktu terdekat ini kalau ada lagi
di Toby Pets mungkin saya akan beli sepasang.

Saya memang suka haiwan peliharaan yang sukar
di dapati.

Terdapat juga anak ular sawa jenis Ballpython dan 
King Snake menanti bagi yang meminati.



King Snake bersaiz kecil

Jangan tersilap di antara King Snake dan King Cobra.

King Snake memang bersaiz kecil tapi King Cobra atau
dikenali sebagai  Tedung Selar antara spesis yang berbisa
dan patukannya jika tidak dirawat segera boleh 
mengundang maut.


Terdapat juga cicak yang dikatakan boleh bertukar warna.


Kalau rakan rakan suka kepada haiwan eksotik,
silalah ke Toby Pets........

Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, bila ada haiwan 
peliharaan, peliharalah ia sebaik baiknya......

Monday, June 6, 2011

Lata Kekabu tapi tak ada Pokok Kekabu....

Lata Kekabu, lokasinya kira kira 5 kilometer dari Tasik Raban
atau 10 kilometer dari pekan Lenggong terletak dalam
Hutan Simpan Bintang Hijau.

Pintu masuk ke Lata Kekabu

Mempunyai keindahan flora dan fauna dan pelbagai pokok
seperti Menanti, Kempas, Jelutung, Keruing boleh di dapati
di sini.

Saya dok tenguk tenguk juga kot ada pokok kekabu,
tapi tidak kelihatan pulak.....mungkin dulu ada lah
sebab tu diberi nama Lata Kekabu.



Kemudahan yang terdapat di sini antaranya tapak kemah,
dewan serbaguna, surau serta bilik mandi disediakan
untuk pengunjung.


Pondok untuk barbeku


Memang sesuai untuk berehat dan bersantai.

Ia diselenggara pihak Jabatan Hutan Perak.

Berikutan penggambaran Rona bersama Hafiz dan rakan
rakan, lebih kepada  "trekking" di kawasan hutan
berdekatan, saya dan krew tidak sempat untuk naik
ke bahagian air terjun di Lata Kekabu. 

Hafiz bersama rakan rakannyang meredah hutan



Justeru gambar gambar yang saya ambil lebih
kepada visual ketenangan dan kejernihan air sungai
di bahagian bawah sahajalah.


Air mengalir tenang dan jernih




Saya difahamkan di bahagian atas, terdapat air terjun 
ketinggian kira kira 50 meter, juga terdapat kawasan 
seperti kolam menjadi pilihan ramai pengunjung.

Namun kadangkala sesuatu yang tenang itu tidak
semestinya tenang sentiasa.

Sahabat blogger saya Cikgu Nurin, memaklumkan
bahawa di Lata Kekabu itu terselit satu episod
kesedihan dalam dirinya dan sahabat sahabat
semaktab dengannya.

Kejadian berlaku tahun 1995, ketika maktabnya mengadakan perkemahan.

Sememangnya malang tidak berbau...

Air di Lata Kekabu nampak tidak deras, tapi ada
beberapa lubuk yang agak dalam sungguhpun ia kecil.

Menurut Cikgu Nurin, rakannya sempat bersalaman
dengan rakan rakan, dan sebelum terjun sempat 
melambai dan kemudian terus tidak timbul....

Allah lebih mengasihi sahabat Cikgu Nurin.....

Penduduk kampung tolong mencari dan akhirnya jumpa
mayatnya di dasar sungai berpusing pusing di sekitar
lubuk.

Air terjun di Lata Kekabu (photo arkib)
Ingatan buat saya sendiri mahupun rakan rakan, berkelah
dan mandi manda di kawasan air terjun memanglah menarik,
tapi perlu berhati hati terutama jangan ke kawasan air terjun
jika sehari dua sebelum itu kawasan sekitar hujan lebat.

Kisah tiga beradik yang lemas di Hutan Lipur Ulu Bendul 
awal Mei masih terkesan di hati saya........

Al Fatihah kepada sahabat Cikgu Nurin dan tiga beradik
yang lemas di Ulu Bendul..... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...