Ads by nuffnang

Tuesday, December 23, 2014

Terus sabar dan redha.....

Petang tadi saya dipanggil untuk mengambil surat keputusan
rayuan MSS dan ternyata rayuan saya ditolak juga.

Beberapa rakan yang menghantar surat rayuan juga menerima
berita yang menyedihkan....

Sememangnya kita merancang namun perancangan yang terbaik
sudah semestinya Allah swt.

Setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.....

Namun sebagai insan kerdil yang menumpang di satu sudut dunia
ini, tatkala segala perancangan telah diatur dan ia tidak dapat
digenggam, hati kecil merintih sedih......

Kadangkala pada zahirnya seseorang itu nampak kuat, hakikatnya
batinnya berjiwa lembut....

Semalam hari pertama saya kembali bertugas setelah empat hari
membawa jiwa berkelana, terasa begitu sepi sekali di pejabat.

Ramai rakan rakan yang sama sama menjadikan TV3 sebagai
rumah kedua telah berhijrah ke satu fasa baru.....dan saya masih
di sini....

Semalam seketika air mata saya bercurahan membasahi pipi
kerana kehilangan rakan rakan baik saya....
rakan rakan yang sama sama bersarapan pagi atau
makan tengahari, rakan rakan berkongsi pelbagai pengalaman
dalam hal tugasan, masalah kerja dan pelbagai lagi....

Tatkala saya menulis coretan ini juga beberapa kali air mata
saya menitis...sukar untuk saya maklumkan di sini tapi terasa
hidup ini kosong seketika.

Sukar untuk saya bersemuka dengan rakan rakan yang
sememangnya sedia untuk mendengar bisikan hati kecil saya
yang dilanda kesedihan...saya lebih selesa dengan menulis
perasaan daripada bercerita.....

Saya amat menghargai silaturahim yang dibina...
benar masih dapat berkomunikasi atau berjumpa dengan
mereka tapi pastinya dalam arena dan keadaan yang berbeza....

Sungguhpun wargakerja tenaga muda di sisi saya, seperti
Ain, Teh, Zahir, Almaz, Rose, Ainul sentiasa memberi kerjasama,
sentiasa memberi sokongan namun kehilangan
ramai rakan rakan lama mengganggu sedikit sebanyak jiwa
dan emosi saya........

Tatkala saya bertanya kepada pihak pengurusan ketika membuat
rayuan kenapa permohonan saya ditolak, alasan yang diberikan
mereka memerlukan khidmat saya.

Terima kasih kepada mereka kerana berkeyakinan dengan
kemampuan saya tetapi faktor umur saya yang makin meningkat
dan tahap kesihatan yang makin menurun, mana mungkin saya
dapat "berkarya" dengan sebaiknya seperti sebelum ini.

Namun saya akan cuba buat yang terbaik segala tanggungjawab
dan amanah yang diberikan biarpun saya bagaikan lilin membakar
diri.......

Mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat "habuan" daripada
persaraan atau MSS.....

In sya Allah rezeki lain menanti....

Sampai satu masa nanti saya akan tetap meninggalkan juga
TV3.....waktu terdekat ini mungkin......

TV3 bagaikan satu universiti kehidupaan kepada saya , ia tempat
yang banyak mengajar saya erti kehidupan, memberi pelbagai
pengalaman suka duka, gelak tawa...

Misi saya ketika ini selagi di TV3, hendak melunaskan beberapa
perkara sempena 10 tahun Bersamamu pada 30 Mei tahun depan......

Kekuatan saya untuk terus berkhidmat adalah kerana program
Bersamamu dan keluarga Bersamamu......

Jika pihak pengurusan mengatakan saya adalah aset syarikat, bagi
saya keluarga Bersamamu adalah aset akhirat saya......

Mereka yang dalam kesusahan, dalam kemiskinan, orang kurang
upaya, anak anak yatim......

Tatkala jiwa dibaluti kesunyian, hati yang serba kekosongan,
saya terus memanjatkan doa kepada Illahi untuk menunjukkan
hambaNYA ini apa yang terbaik.....

Menunjukkan hambaNYA ini langkah ke mana arah
seterusnya..... dan memohon terus menguatkan jiwa dan terus
redha.......

PadaMU ku terus bersujud..........




 

Friday, December 19, 2014

Membawa diri dan berjumpa KeluangMan.........

Salam dari bumi Medan....

Saya berada di bumi Medan sejak Selasa lalu... bukanlah
betul betul bercuti tetapi membawa hati yang lara....

Mungkin ramai juga sahabat sediamaklum Isnin lalu
adalah hari terakhir kepada lebih 600 wargakerja Media
Prima mahupun NSTP.

Mereka mengakhiri perkhidmatan di stesen swasta itu
selepas menerima Skim Persaraan  atau MSS -
(Mutual SeparationSheme).

Saya turut menghantar permohonon selepas hampir 24
tahun berkhidmat di stesen terbabit tetapi permohonan
saya tidak diterima......

Kalau nak ikutkan hati kecil saya ini memang begitu
kecewa dan sedih...

Ramai juga sahabat rapat yang sama sama dengan saya
sejak di zaman Bangsar meninggalkan Media Prima.

Antaranya Zakiah Anas sahabat saya sejak di zaman
menuntut ilmu di UITM, juga Norlizah Yusof,
Hartina Ayu Harun, Siti Zainah Jauhir, Ifawani Omar,
Junaidah Md Din, Jebat M Roseli,  Mazidol Akmar Sidek,
Mohd Naim Niamat, Azman Nahar, Anuar Shamsudin,
Azizah Ariffin, Azzura Azizul Azman dan ramai lagi.......

Walaupun sedih saya perlu redha dan terima segalanya..

Namun  saya terus mengharapkan agar permohonan 
diterima kerana staf yang merayu akan dapat
keputusannya dalam waktu terdekat ini.

Ketika ini saya berkelana ke Medan, Indonesia.

Secara kebetulan kakak saya ada urusan di Medan,
maka saya diajak menemaninya.

Kalau baca tajuk blog ada membabitkan KeluangMan...

Sebenarnya Rabu lalu dalam perjalanan dari Medan ke
Brastagi kami melalui satu perkampungan yang rata rata
di pesisir jalan ramai penduduk kampung yang menjual
Keluang.

Keluang atau Flying Fox turut dikenali sebagai Kalong
oleh masyarakat setempat.

Selain dijual untuk menjadi haiwan peliharaan, keluang
turut menjadi santapan masyarakat di sini terutama
masyarakat keturunan Batak.

Ia sama spesis dengan kelewar tetapi saiznya lebih
besar daripada kelewar......

Dijual antara 100 ringgit ke 150 ringgit, tepuk dada
tanpa selera.......bagi penggemarnya...

Di Brastagi saya singgah sebentar ke atas Bukit Gundaling
untuk menyaksikan tersergam gagah Gunung Sinabung.

Ia adalah gunung berapi di Dataran Tinggi Karo, Sumatera
Utara dan aktif serta menjadi puncak tertinggi di provinsi
itu dengan ketinggian 2,460 meter.

Letusan terakhir gunung ini terjadi Januari 2014 dan 
dilaporkan 14 orang terkorban terkena luncuran awan panas
ketika berada di Desa Suka Meriah.

Letusan atau semburan awan panas masih terus hingga
kini.

Sepanjang lebih sejam saya berada di Gundaling, beberapa
kali gunung terbabit mengeluarkan asap hitam dan pihak
berkuasa tempatan sentiasa memantau pergerakan gunung
terbabit.

Jauh perjalanan, bertambah pengalaman.......

Ini Keluang yang jinak dan dijual dengan harga RM150 seekor
untuk menjadi haiwan peliharaan.....

Saiz Keluang lebih besar daripada Kelewar

Gunung Sinabong yang nampak mendamaikan.....

Tiba tiba asap hitam meledak dari Gunung Sinabong........
 

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...