Ads by nuffnang

Friday, March 27, 2015

Amoi Berhijab.......

Setiap Jumaat dalam rancangan NLKO terdapat satu
segmen dikenali sebagai Inspirasi.

Ia adalah segmen perkongsian pengalaman atau sesuatu
perkara yang boleh dijadikan tauladan atau ikutan.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah swt
dan yang lemah itu diri kita sendiri maka sama sama
kita perbaiki.

Pagi ini, unit produksi menjemput Felixia Yeap atau
Raisyyah Rania Yeap.

Mesra dengan panggilan Rara, dia pernah menghiasi
majalah yang memerlukan beraksi berani di lensa kamera.

Kehidupan sebagai model antarabangsa sentiasa dihimpit
populariti dan juga kemewahan.

Allah swt sebagai pencipta segala yang ada di langit, di
bumi, di lautan mengetahui apa yang terbaik untuk setiap
hambaNYA.

PAda 3 Julai 2014 bersamaan dengan 5 Ramadan 1435H,
Rara mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk
agama Islam.

Enam bulan sebelum memeluk Islam, Rara telah mula
mengenakan hijab.

Sebelum ini dia tidak menganut sebarang agama kerana
dibesarkan dalam keluarga yang tidak mempercayai
sebarang agama.

Dalam perkongsian Rara pagi tadi, dia memaklumkan
bahawa peganganya sebelum ini cuma berbekalkan
nasihat daripada ibu...

Jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan
mana mana lelaki mengambil kesempatan, jangan
berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang dan sentiasa
tahu menjaga diri.

Tatkala Rara memakai hijab, dirinya kerap dihambur
dengan beberapa isu, namun apa yang diaturkan oleh
Allah swt lebih hebat daripada kecaman manusia.

Hebatnya kuasa Allah swt, apabila seorang gadis
tanpa pegangan agama mengenakan hijab dan
memeluk Islam.

Inilah yang dikatakan hidayah dari Allah swt.

Alhamdulillah.......
Raisyyah Rania Yeap @ Rara


Thursday, March 26, 2015

Mengabadikan kenangan.......dimana mana.....

Teknologi makin hebat....

Kalau dulu kalau nak bergambar perlu ada kamera,
Kalau tak ada kamera tak bolehlah memotretkan
kenangan.

Seingat saya zaman saya kecil kecil dulu gambar di
ambil dalam hitam putih.

Seperti juga tengok wayang ....

Dari masa ke semasa, dengan pelbagai teknologi, kamera
boleh merakamkan gambar berwarna....

Dan pelbagai kamera di pasaran boleh diperolehi .... yang
penting ada 'Fulus"....dan kalau dulu sibuklah kena
beli filem....dan jenama paling menjadi sebutan adalah
"Kodak".

Sungguhpun membeli filem jenama Fuji, Konica, Agra
dan beberapa jenama lain kalau sebut beli filem "Kodak"
disinonimkan dengan filem.

Sekarang kebanyakan kamera tidak memerlukan filem,
semuanya guna kad memori.

Berpuluh puluh gambar blh diambil dan tak payah risau
untuk "mencuci"nya dan kalau tak berkenan "delete" aja.

Kalau dulu telefon bimbit digunakan untuk bercakap sahaja,
tetapi kini, juga boleh dijadikan sebagai merakamkan
suara, mengambil gambar mahupun mengambil visual
bergerak.

Lebih lagi dengan istilah "selfie" di mana saja nak ambil
gambar boleh saja samada bersendirian mahupun berteman.

Saya memang tidak menafikan sejak zaman sekolah lagi
memang suka bergambar.

Bila tatap gambar lama pelbagai kenangan mengusik jiwa,
mengembalikan nostalgia terutama zaman sekolah.

Dengan telefon bimbit sentiasa menjadi peneman setia,
apa saja nak dirakamkan sekelip mata tekan saja......

Sekarang ini saya suka juga ambil gambar "pose dulu dan
sekarang".

Maksudnya kalau saya "repeat" kembali ke lokasi yang
sama, saya akan cuba mengabadikan gaya sepertimana
diambil seperti sebelumnya.

Hah di bawah ini ada beberapa photo yang saya maksudkan
samaada gambar saya sendiri mahupun bersama staf.......

Lokasi sama:  Pantai Merdeka / Program sama : Bersamamu
Bulan sama : Mac / Wartawan : Teh / Rose

 
 
Pemnggambaran di Menara Berkembar Petronas
Tahun 2014 / 2015


 

Wednesday, March 25, 2015

Sesat di hutan dan tumpang kereta di tepi jalan.......

Entri hari ini ada kesinambungan dengan coretan entri
semalam mengenai Kem Remaja Bersamamu 2015.

Seperti sahabat sediamaklum, tatkala 35 peserta yang
datangnyadaripada pelbagai negeri dan latarbelakang maka
masing masing mempunyai karektor tersendiri.

Hari pertama di Petrosains mereka turut dibawa ke
Menara Berkembar Petronas menyaksikan suasana senja
di ibukota yang sungguh indah sekali.

Beberapa remaja bukan sahaja perempuan malah remaja
lelaki ada yang probia menaiki lif yang laju serta berada
di tempat tinggi, menangis ketakutan......

Saya dan wargakerja Bersamamu memujuk dan menyuntik
semangat kepada mereka supaya perlu berani seperti juga
menjalani kehidupan seharian.

Ketika berada di I-City, keterujaan jelas terpancar di wajah
setiap anak anak Bersamamu tatkala berada di "Snow Walk".

Tak adalah salji turun lebat tapi bila bercakap tu memang
mulut keluar asaplah.....

Keadaan sejuk dalam "snow walk" macam dalam peti sejuk
dengan  suhu serendah kira kira -15 darjah celcius.

Beberapa igloo dibina indah dan beberapa aktiviti seperti
"slide" dan "tolak kerusi dgn kayu" di atas ais menjadi
tarikan dan saya serta wartawan Teh Syuhaida tidak
terkecuali mencuba.

Rasa macam jadi orang Eskimo pun ada......menggunakan
kerusi seumpama sebagai kenderaan mereka....

Pelbagai aktiviti disediakan untuk peserta yang menyertai
Kem Remaja Bersamamu ini yang merangkumi pengisian
duniawi dan ukhrawi.

Berikutan ada antara peserta berumur 9 tahun, ketika
bermalam di Nur Lembah Bistari, Ulu Yam, seorang peserta
berjumpa saya dan menangis teresak esak ingin balik ke
rumahnya di Kuala Kangsar.

Dah nama pun budak budak, sungguhpun ditemani oleh
abangnya, perasaan rindu kepada ahli keluarga lain tetap
menghambat jiwa.

Setelah dipujuk, Alhamdulillah dia kembali tenang dan
keesokan paginya dia antara peserta yang begitu teruja
sekali untuk melakukan aktiviti menuruni bukit batu kapur
malah lebih berani daripada abangnya.

Untuk ke bukit batu kapur, kami perlu meredah hutan
kira-kira 45 minit.

Peserta yang berumur di antara 9 dan 17 tahun pastinya
mempunyai daya ketahanan yang kuat berbanding kami
yang 3 series dan 4 series.

Mencunggap jugalah nak sampai ke lokasi.....

Selesai Teh Syuhaida melakukan lompatan dan "standupper", 
menuruni bukit,  saya dan dia meninggalkan lokasi
bersama Firdaus selaku pengiring.

Kami terpaksa balik ke Sri Pentas kerana perlu
menyelesaikan beberapa perkara lain untuk penggambaran
seterusnya.

Jalan punya jalan meredah hutan, saya perasan jalan
yang dilalui tidak sama dengan laluan yang dilalui
sebelum ini.

Menurut Firdaus, ia adalah jalan pintas........

Jalan pintas dah jadi jalan tak berhaluan..... Kami
dah tersesat....

Meneruskan perjalanan dalam keadaan mentari  telah
mula menegak di kepala dan segala bekalan air
semuanya di lokasi bukit batu kapur...
sesuatu yang merisaukan.....

Line telefon juga kejap ada kejap tak ada.....

Setelah berjalan lebih setengah jam, kami berjumpa
pondok usang tanpa berpenghuni....

Kami meneruskan langkah perjalanan dan akhirnya
berjumpa beberapa pekerja binaan yang sedang
memperbaiki rumah.

Alhamdulillah....

Kami bertanyakan laluan paling mudah dan mereka
mencadangkan ikut aliran sungai....

Kami ke sungai dan ternyata laluannya agak sukar.

Justeru kami mengambil keputusan keluar dan akhirnya
berjumpa jalanraya.

Masih buntu dengan kedudukan kami, beberapa kereta
yang melalui jalan yang sunyi sepi tu cuba kami
tumpang, tapi ternyata tidak dilayan.

Saya nyatakan pada Teh, kalau saya sendiri pandu
bersendirian di laluan ini dan ada orang nak
menumpang, belum tentu saya akan berhenti.

Teh juga bersependapat dengan saya.......

Sambil berjalan sambil memberi isyarat ingin
menumpang......

Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik
untuk setiap hambaNYA.

Dari kejauhan saya nampak sebuah kereta dan terus
memberi isyarat ingin menumpang.... kereta itu seperti
teragak agak nak berhenti pada mulanya dan akhirnya
berhenti juga.

Saya berlari ke kereta dan  menerangkan apa yang
terjadi dan pemandu terbabit dengan senang hati terus
menjemput saya, Teh dan Firdaus menaiki keretanya.

Pemandu yang baik hati tu dari Ipoh dalam perjalanan ke
Kuala Lumpur menghantar kami ke Nur Lembah Bistari
yang jaraknya kira kira dua kilometer dari tempat kami
menahan kereta.

Terima Kasihlah Encik Murali.....

Hulurkan tangan, ringankan beban....

Kalaulah nak menapak sampai ke lokasi tu boleh tahan
juga penatnya......

Bab berjalan tu satu hal, tapi bila fikirkan ada juga insan
yang sanggup berhenti menumpangkan kami, sungguh
terharu......

Bukan apa..... macam macam perkara boleh berlaku andainya
orang yang menumpang melakukan perkara yang tidak
diingini...

Apapun kami selamat sampai dan terus mencari air mineral...

Begitu juga dengan anak anak Bersamamu yang melakukan
aktiviti menuruni Bukit Batu Kapur.

Semuanya selamat menuruni bukit dan menambah kekuatan
kepada mereka untuk terus cekal menghadapi cabaran.....

Tolong....tumpangkan kami.....dah tak larat berjalan.....

Terima Kasih Encik Murali......

Lif untuk naik ke Menara Berkembar

Yanie antara anak Bersamamu yang takut berada
di tempat tinggi..



Mengabadikan potret di I-City, Shah Alam

Antara aktiviti di "Snow Walk" yang diminati...

Tak cuba tak tahu......

Sungguhpun "pancit" sempat juga ambil gambar......
Mereka "anak anak" saya........

Tuesday, March 24, 2015

Kem Remaja Bersamamu 2015


Syukur Alhamdulillah, selesai sudah Kem Remaja Bersamamu 2015,
Jumaat lalu.

Penganjuran edisi keenam di Nur Lembah Bestari, Ulu Yam, Selangor,
diadakan dari 15 hingga 20 Mac berperanan membentuk
jati diri dan memperkuatkan ikatan kasih sayang sesama insan.

Kem ini dianjurkan juga bagi menjadikan remaja yang terpilih tabah
menjalani hidup dan mendidik mereka supaya menjadi insan cemerlang
pada masa hadapan.

Kem santai motivasi di kawasan peranginan yang diadakan khas untuk
kumpulan remaja anak anak Bersamamu ini menyediakan peluang
memperbaiki sahsiah diri bersama rakan senasib dengan mereka.

Ia juga membentuk sikap dan nilai-nilai murni untuk bertambah
utuh dalam diri mereka tatkala sebilangan besar rakan-rakan sebaya
mereka yang lebih bernasib baik menjalani hidup sempurna.


Peserta dibimbing dan didedahkan kepada cabaran serta realiti hidup
supaya lebih hebat pada masa akan datang juga untuk mengenali diri
sebagai Hamba Allah yang menumpang di bumi Allah swt ini..... 

35 peserta yang berumur 10 hingga 17 tahun ini terdiri daripada
anak-anak daripada keluarga kurang bernasib baik mahupun anak
yatim yang pernah dipapar menerusi program realiti kebajikan
Bersamamu.

Seramai 28 peserta kali pertama menyertai kem manakala 7 orang
peserta lama turut terpilih berdasarkan kepada peningkatan dalam diri
serta pelajaran mereka.

Peserta terdiri daripada mereka yang menetap di sekitar
Lembah Klang, Negeri Sembilan,Perak, Kedah, Pahang dan Johor.

Terima Kasih kepada semua yang memberi kerjasama sepanjang
kem ini diadakan antaranya Hajah Faiza Bayumi,
Dato Dr Arzil, Pengasas V'Asia Cosmetic, Petrosains, I-City Shah Alam,
Aquaria, KFC, Maxus, Pusat Pakaian Hari Hari dan ramai lagi.

Bagi saya dan krew sungguhpun keletihan dengan penggambaran
produksi, perlu naik dan turun bukit serta meredah hutan dengan
usia yang makin "muda" ini dan waktu yang sama menjaga
keselamatan mereka, kepenatan kami hilang tatkala melihat mereka
gembira menyertai kem ini.

Seribu satu telatah dan wajah mereka terus memberi kekuatan
kepada saya.

Ia juga dapat memberi satu pengalaman atau dimensi baru bagi
mereka untuk menempuh satu episod kehidupan yang lebih baik
di hari mendatang.

Pesan Mama Inn pada mereka....

"Solat jangan dilupakan, hormati dan sayangi ibubapa dan
ahli keluarga, fokus dalam pelajaran dan terus menyimpan cita cita
untuk menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat...."

Krew Bersamamu bersama peserta kem di
Menara Berkembar Petronas
 




Lawatan tetamu istimewa kami di Petrosains

Krew bersama penaja utama Kem Remaja Bersamamu 2015
Dato Dr Azril pengasas  V'Asia

Temuramah di rancangan Malaysia Hari Ini mengenai
harapan pihak Bersamamu terhadap peserta



Anak anak Bersamamu bergambar dengan penaja
Kem remaja Bersamamu 2015 

Memanah tanda Kem Remaja Bersamamu 2015
dirasmikan

Peserta tidak sabar untuk mencuba aktiviti
menuruni bukit batu kapur



Bukit Batu kapur yang mempunyai ketinggian
kira kira 150 meter
 
Khairul Azhar jurukamera kami turut menuruni
Bukit Batu Kapur merakamkan keadaan peserta
 

Sunday, March 1, 2015

Lembaran sejarah diri ini dan Mesyuarat PIBG...........

Kisah Semalam.....

Bab menghadiri mesyuarat, perkongsian 
pengalaman atau apa apa majlis tak kira di 
mana saja saya dijemput memang dah biasa.

Tapi semalam membuka satu lembaran baru
dalam kamus hidup saya tatkala dijemput
untuk menghadiri dan sekaligus merasmikan
majlis terbabit.

Mesyuarat Agung PIBG SK Yaacob Latif (1)
kali ke 41........

Sangkaan saya, kehadiran saya ke Sekolah 
Kebangsaan Yaacob Latif 1 di Jalan Peel, 
Kuala Lumpur lebih kepada perkongsian 
pengalaman yang kerap saya hadiri......tetapi
ternyata mengejutkan saya......

Dah rasa macam YB lah pulak.....

Diarak masuk ke Dewan Terbuka sekolah dengan
bunga manggar lagi......

Sebelum merasmikan majlis, saya perlu memberi
sepatah dua kata..... 

Bab ni yang pada mulanya buat jiwa saya kacau 
seketika kerana tidak menyediakan teks ucapan 
sebaliknya "power point" perkongsian pengalaman....

Bagaimanapun Alhamdulillah...

Allah swt mempermudahkan tutur bicara saya......

Majlis yang diadakan sangat signifikan dan mampu 
memupuk kerjasama erat di kalangan PIBG dan 
sekolah juga dengan pelbagai agensi badan korporat, 
swasta, awam dan juga bukan kerajaan (NGO)....

Kehadiran saya selain mewakil program BERSAMAMU 
saya turut mewakili Yayasan Alummiyah yang sering
bekerjasama dengan kami untuk menghulurkan 
sumbangan kepada insan yang memerlukan.

Sambutan wargakerja sekolah saya dahului dengan
terima kasih.....terutama kepada Guru Besar
Tuan Haji Ghazali juga tenaga pengajar.

Seronok tengok pelajar pelajar buat
persembahan dan ia mengembalikan nostalgia 
saya ketika di sekolah rendah "berpuluh'
tahun lalu.......  

Juga terima kasih pada pemandu merangkap
pembantu peribadi merangkap adik saya 
Teh Syuhaida Sharip yang menemani saya 
ke majlis terbabit.

Saya pengalaman yang sungguh berharga.... 

Tahniah SK Yaacob Latif (1).......

In sya Allah kita akan bekerjasama lagi di
masa mendatang.......


Sepatah dua kata dah jadi berpuluh puluh
patah perkataan

Persembahan yang mencuit hati 
Pukulan gong tanda Mesyuarat PIBG dirasmikan.....
Teh Syuhaida dijemput untuk menyampaikan
hadiah cabutan bertuah...
.

Sunday, February 22, 2015

Sebulan bersama Nasi lemak Kopi O....

Sungguh cepat masa berlalu, Februari akan
melabuhkan tirainya tidak lama lagi....dan
Mac muncul dengan pelbagai lagi kisah....

Saya juga genap sebulan menyelaras program
bual bicara pagi Nasi Lemak Kopi O -NLKO di
TV9.

Rutin harian saya juga telah bertukar....

Lazimnya hujung minggu kalau tiada ke luar
daerah untuk penggambaran Bersamamu, usai
Subuh saya akan ke taman berdekatan dengan
kediaman saya untuk beriadah dan diikuti
menikmati sarapan pagi di restoren pilihan...

Tapi sejak sebulan lalu, usai solat Subuh, hujung
minggu, terus ke Sri Pentas untuk menyelaras NLKO.

Alah bisa tegal bisa.... In sya Allah lama kelamaan
saya akan biasa dengan rutin ini.

Berikutan kebanyakan wargakerja NLKO memang
dah lama mengendalikan program ini, justeru saya
memantau dengan kadar yang minima....

Seperti MHI, NLKO juga kerap mengundang
artis atau selebriti sebagai tetamu, jadi selesai siaran
langsung, jika mereka belum meninggalkan set,
dapatlah saya mengambil kesempatan bergambar
dengan mereka.

Saya ini nak kata suka sesangat ambil gambar tu
tak lah juga....boleh lah sikit sikit...

Yang sebenarnya ketika ini saya sedang menyiapkan
buku mengenai kerjaya saya...itulah sebab saya
banyak mengabadikan potret bersama personaliti
mahupun selebriti.......



Bersama Winnie K dan Angeline Tan
"Very Goat Year"

Bersama Dato Seri Dr Vida ....
"Qu Puteh - Barulah Puteh..."

Rahmad Mega
Tamu NLKO pagi tadi....
Sempat bergambar dengan Anuar Zain
ketika menjadi tamu MHI





Monday, January 26, 2015

Kejutan kisah semalam.......

Entri hari ini berkaitan kisah semalam.

Usai siaran langsung Nasi Lemak Kopi O (NLKO) dan
bersarapan dengan krew produksi... (tak makan nasi lemak
tapi tosai telur dengan teh tarik), kami mengadakan
mesyuarat utk "post mortem" siaran NLKO pada Jumaat,
Sabtu dan Ahad.

Ia adalah mesyuarat pertama kali saya sebagai pengerusi,
setelah diamanahkan untuk menyelaraskan program
temubual yang ke udara di TV9 jam 8 hingga 10 pagi.

Beberapa perkara berbangkit mahupun tugasan akan datang
dikongsi bersama.....

Berikutan saya akan bercuti dari Khamis ini hingga Isnin
depan (perancangan dah lama buat...)maka banyak jugalah
dibincangkan...

Selesai mesyuarat saya terus ke Jenjarom, Selangor untuk
menghadiri majlis persandingan ahli keluarga Bersamamu
yang pernah dipaparkan pada tahun 2005.

Tahniah pada kedua mempelai Nizam dan Zulaiha, semoga
bahtera perkahwinan yang dilayari kekal hingga ke Jannah.

Berikutan saya sampai agak lewat, beberapa keluarga
Bersamamu yang hadir telah pulang..

Agak sedih juga saya tak dapat berjumpa mereka...
bukan mudah nak berkumpul beramai ramai....

Yang membuat saya lebih terharu tatkala tuanrumah
membuat kejutan menyanyikan dan menyediakan kek hari
jadi kepada saya......

Subhana Allah,... bergenang air mata saya di kelopak mata
dengan ingatan dan keikhlasan Kak Ani dan Wak Mansor
mengingati tarikh lahir saya sungguhpun telah beberapa hari
berlalu.

Bagi saya yang umur semakin bertambah ibarat kata "rumah
kata pergi, kubur kata mari" sambutan dan memotong kek
bukan satu kemestian seperti zaman kanak kanak dulu.

Apapun saya menyampaikan ucapan ribuan terima kasih
kepada Kak Ani dan Wak Mansor...yang meraikan ulangtahun
saya bersama jemputan lain.

"Alaaa ni sikit aja, TV3 Bersamamu, Lin dan kru  banyak
bantu Kak Ani dan keluarga', Kak Ani terus memeluk saya.....

Kak Ani antara contoh keluarga yang satu masa dahulu
ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun dengan bantuan dan sumbangan yang diterima
daripada masyarakat prihatin ternyata dia dan keluarga
telah keluar daripada kepompong kemiskinan......

Alhamdulillah..... hendak seribu daya.........

Terima kasih juga pada staf produksi Bersamamu yang
mulanya nak menyanyi lagu Hari Jadi pada saya tetapi
saya menolak dan terus memotong kek yang disediakan.

Juga buat adik saya yang berjaya dapat MSS Norlizah
Yusoff atau cikgu atas kiriman hadiah istimewa petang
tadi.......

Doa saya mengiringi kalian semua.......

Terima kasih Allah swt menemukan saya dengan insan
insan yang berhati mulia........

Pengantin lelaki adalah anak pasangan Kak Ani dan Wak Mansor

Terima kasih adik adik...ada seorang lagi dah balik....

Suka  dapat jam di atas.....

Thursday, January 22, 2015

Nasi lemak Kopi O - hadiah harijadi......

Kisah semalam......

Alhamdulillah bertambah setahun lagi usia saya.

Terima kasih kepada kaum keluarga dan sahabat handai
yang mengirimkan ucapan beserta doa buat saya.

Terima kasih Ya Allah Ya Rabb, menemukan saya dengan
insan insan istimewa dan sahabat serta keluarga yang
sentiasa bersama dan memahami keadaan saya....

Maklumlah sebagai manusia biasa pelbagai episod kehidupan
yang penuh dengan pasang surutnya perlu dihadapi.

Saya panjatkan doa buat sahabat  semua agar sentiasa dalam
peliharaanNYA dunia dan akhirat.

Semalam, selain dijamu makan, memotong kek dan
mendapat beberapa "cenderahati harijadi", hadiah yang paling
besar yang saya dapat semalam adalah diberi tanggungjawab
untuk menyelaraskan dan sebagai Penerbit Eksekutif program
bualbicara pagi di TV9 iaitu Nasi Lemak Kopi O atau NLKO.

Allah hu Akhbar......

Dah lah minta MMS tak dapat, rupanya dapat NLKO pulak....

Beberapa pertukaran berlaku sejak lebih 600 wargakerja Media
Prima/NSTP yang mendapat MSS meninggalkan kami.....

Penerbit Eksekutif NLKO sebelum ini, adalah sahabat saya
Wan Sabariah, dia ditukarkan ke bahagian berita TV9.

Maka saya dipertanggungjawabkan menjadi Penerbit Eksekutif
baru NLKO.

Sudah agak lama saya tidak menerbit atau menyelaras program
siaran langsung kecuali edisi khas seperti Pilihanraya, jadi ia
satu cabaran baru untuk saya.

Waktu yang sama, saya masih menerbitkan program Bersamamu
dan tahun ini adalah ulangtahun kesepuluh Bersamamu, justeru
beberapa program khas dalam perancangan perlu diselaraskan.

Ya Allah terus berikan kekuatan kepada hambaMU ini dalam
melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan......

Dalam usia yang makin meningkat, tahap kesihatan makin
berkurangan, saya khuatir tidak dapat memberikan yang terbaik
sungguhpun saya memang hendak buat yang terbaik......

Saya akan beri tempuh tertentu kepada diri saya sendiri.

Andai saya tidak dapat memberi yang terbaik dalam memikul
tanggungjawab yang besar itu, saya rasa saya akan berundur diri
dan akan memfokuskan kepada pengajian saya peringkat Master
dan seterusnya PHd........

Ketika itu pastinya saya dalam keadaan lebih tenang dan saya
dapat menikmati hidangan Nasi Lemak beserta Teh Tarik
lebih santai....

Sesungguhnya DIA maha mengetahui apa yang terbaik buat
setiap hambaNYA.......

Merenung jauh........
memikirkan kekuatan zahir dan batin....
 

Wednesday, January 21, 2015

Entri Pertama 2015.....

Tahun 2015 dah masuk hari ke 21, baru saya berkesempatan
menulis entri di blog ini.

Hari ini bertambah satu lagi angka dalam usia dan hidup
saya......

Alhamdulillah, kini jiwa dan perasaan saya kembali normal
setelah agak "sedih" dan "tertekan" tatkala MSS yang saya
minta ditolak Disember lalu....

Sesungguhnya Allah swt lebih mengetahui kekuatan dan
kelemahan setiap hambaNYA.

Kerja adalah satu amanah, maka perlu laksanakan dengan
ikhlas demi mencari rezeki yang halal dan diberkati.

Dan selagi saya terdaya, saya akan meneruskan perjuangan
membantu mereka yang memerlukan dan menerbitkan program
yang memberi info dan berbakti buat agama, bangsa dan negara
serta terus mencari saham saham akhirat.......

Awal bulan saya sibuk dengan peperiksaan akhir semester satu.

Mak oiii... dah lama tidak menghadapi situasi menjalani
peperiksaan, terasa gementar jugalah untuk peperiksaan
pertama saya.

Semoga keputusan yang bakal diterima mengembirakan
pelajar "otai" ini.....

Awal tahun juga saya sibuk dengan tugasan harian dan
perancangan Pasca Banjir Bersamamu Pantai Timur iaitu
menzarahi keluarga Bersamamu yang menjadi mangsa banjir
di Pantai Timur serta menyampaikan sumbangan Tabung
Bencana NSTP / Media Prima kepada mereka yang terbabit.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin.....

Lima hari bersama krew produksi Bersamamu dan wargakerja
Media Prima yang lain ke Pantai Timur, pelbagai pengalaman
baru yang dapat saya pelajari.

Tatkala berada di Kuala Krai menyaksikan keadaan rumah
yang dilanda banjir, ia bagaikan tsunami kecil.......

Sedih dan terharu mendekati dan mendengar isihati dan
perasaan mangsa banjir........

Berhari hari tanpa bekalan letrik dan air bersih......

Berpanas dan berembun kerana tiada tempat penginapan
yang sempurna.....

Mengikat perut kerana kekurangan makanan....

Subhana Allah......ujian yang mereka hadapi bukan satu
ujian yang mudah......

Menziarahi kaum keluarga Bersamamu di Mentakab, Jerantut,
Tumpat, Pasir Mas dan beberapa daerah lain benar benar
membuat saya terkesan.

Mereka baru bangkit satu fasa memperbaiki diri, kini dugaan
lain mendepani mereka....

Semoga keluarga Bersamamu dan mangsa banjir lain terus
tabah dan sama sama kita menghulurkan sumbangan baik dari
segi wang ringgit, makanan, pakaian, juga semangat dan doa
kepada mereka.....

Ada kalanya melihat sesuatu musibah.... akan buat kita lebih
menghargai dan bersyukur dengan apa yang kita miliki.......

Allah hu Akhbar......




 

Tuesday, December 23, 2014

Terus sabar dan redha.....

Petang tadi saya dipanggil untuk mengambil surat keputusan
rayuan MSS dan ternyata rayuan saya ditolak juga.

Beberapa rakan yang menghantar surat rayuan juga menerima
berita yang menyedihkan....

Sememangnya kita merancang namun perancangan yang terbaik
sudah semestinya Allah swt.

Setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.....

Namun sebagai insan kerdil yang menumpang di satu sudut dunia
ini, tatkala segala perancangan telah diatur dan ia tidak dapat
digenggam, hati kecil merintih sedih......

Kadangkala pada zahirnya seseorang itu nampak kuat, hakikatnya
batinnya berjiwa lembut....

Semalam hari pertama saya kembali bertugas setelah empat hari
membawa jiwa berkelana, terasa begitu sepi sekali di pejabat.

Ramai rakan rakan yang sama sama menjadikan TV3 sebagai
rumah kedua telah berhijrah ke satu fasa baru.....dan saya masih
di sini....

Semalam seketika air mata saya bercurahan membasahi pipi
kerana kehilangan rakan rakan baik saya....
rakan rakan yang sama sama bersarapan pagi atau
makan tengahari, rakan rakan berkongsi pelbagai pengalaman
dalam hal tugasan, masalah kerja dan pelbagai lagi....

Tatkala saya menulis coretan ini juga beberapa kali air mata
saya menitis...sukar untuk saya maklumkan di sini tapi terasa
hidup ini kosong seketika.

Sukar untuk saya bersemuka dengan rakan rakan yang
sememangnya sedia untuk mendengar bisikan hati kecil saya
yang dilanda kesedihan...saya lebih selesa dengan menulis
perasaan daripada bercerita.....

Saya amat menghargai silaturahim yang dibina...
benar masih dapat berkomunikasi atau berjumpa dengan
mereka tapi pastinya dalam arena dan keadaan yang berbeza....

Sungguhpun wargakerja tenaga muda di sisi saya, seperti
Ain, Teh, Zahir, Almaz, Rose, Ainul sentiasa memberi kerjasama,
sentiasa memberi sokongan namun kehilangan
ramai rakan rakan lama mengganggu sedikit sebanyak jiwa
dan emosi saya........

Tatkala saya bertanya kepada pihak pengurusan ketika membuat
rayuan kenapa permohonan saya ditolak, alasan yang diberikan
mereka memerlukan khidmat saya.

Terima kasih kepada mereka kerana berkeyakinan dengan
kemampuan saya tetapi faktor umur saya yang makin meningkat
dan tahap kesihatan yang makin menurun, mana mungkin saya
dapat "berkarya" dengan sebaiknya seperti sebelum ini.

Namun saya akan cuba buat yang terbaik segala tanggungjawab
dan amanah yang diberikan biarpun saya bagaikan lilin membakar
diri.......

Mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat "habuan" daripada
persaraan atau MSS.....

In sya Allah rezeki lain menanti....

Sampai satu masa nanti saya akan tetap meninggalkan juga
TV3.....waktu terdekat ini mungkin......

TV3 bagaikan satu universiti kehidupaan kepada saya , ia tempat
yang banyak mengajar saya erti kehidupan, memberi pelbagai
pengalaman suka duka, gelak tawa...

Misi saya ketika ini selagi di TV3, hendak melunaskan beberapa
perkara sempena 10 tahun Bersamamu pada 30 Mei tahun depan......

Kekuatan saya untuk terus berkhidmat adalah kerana program
Bersamamu dan keluarga Bersamamu......

Jika pihak pengurusan mengatakan saya adalah aset syarikat, bagi
saya keluarga Bersamamu adalah aset akhirat saya......

Mereka yang dalam kesusahan, dalam kemiskinan, orang kurang
upaya, anak anak yatim......

Tatkala jiwa dibaluti kesunyian, hati yang serba kekosongan,
saya terus memanjatkan doa kepada Illahi untuk menunjukkan
hambaNYA ini apa yang terbaik.....

Menunjukkan hambaNYA ini langkah ke mana arah
seterusnya..... dan memohon terus menguatkan jiwa dan terus
redha.......

PadaMU ku terus bersujud..........




 

Friday, December 19, 2014

Membawa diri dan berjumpa KeluangMan.........

Salam dari bumi Medan....

Saya berada di bumi Medan sejak Selasa lalu... bukanlah
betul betul bercuti tetapi membawa hati yang lara....

Mungkin ramai juga sahabat sediamaklum Isnin lalu
adalah hari terakhir kepada lebih 600 wargakerja Media
Prima mahupun NSTP.

Mereka mengakhiri perkhidmatan di stesen swasta itu
selepas menerima Skim Persaraan  atau MSS -
(Mutual SeparationSheme).

Saya turut menghantar permohonon selepas hampir 24
tahun berkhidmat di stesen terbabit tetapi permohonan
saya tidak diterima......

Kalau nak ikutkan hati kecil saya ini memang begitu
kecewa dan sedih...

Ramai juga sahabat rapat yang sama sama dengan saya
sejak di zaman Bangsar meninggalkan Media Prima.

Antaranya Zakiah Anas sahabat saya sejak di zaman
menuntut ilmu di UITM, juga Norlizah Yusof,
Hartina Ayu Harun, Siti Zainah Jauhir, Ifawani Omar,
Junaidah Md Din, Jebat M Roseli,  Mazidol Akmar Sidek,
Mohd Naim Niamat, Azman Nahar, Anuar Shamsudin,
Azizah Ariffin, Azzura Azizul Azman dan ramai lagi.......

Walaupun sedih saya perlu redha dan terima segalanya..

Namun  saya terus mengharapkan agar permohonan 
diterima kerana staf yang merayu akan dapat
keputusannya dalam waktu terdekat ini.

Ketika ini saya berkelana ke Medan, Indonesia.

Secara kebetulan kakak saya ada urusan di Medan,
maka saya diajak menemaninya.

Kalau baca tajuk blog ada membabitkan KeluangMan...

Sebenarnya Rabu lalu dalam perjalanan dari Medan ke
Brastagi kami melalui satu perkampungan yang rata rata
di pesisir jalan ramai penduduk kampung yang menjual
Keluang.

Keluang atau Flying Fox turut dikenali sebagai Kalong
oleh masyarakat setempat.

Selain dijual untuk menjadi haiwan peliharaan, keluang
turut menjadi santapan masyarakat di sini terutama
masyarakat keturunan Batak.

Ia sama spesis dengan kelewar tetapi saiznya lebih
besar daripada kelewar......

Dijual antara 100 ringgit ke 150 ringgit, tepuk dada
tanpa selera.......bagi penggemarnya...

Di Brastagi saya singgah sebentar ke atas Bukit Gundaling
untuk menyaksikan tersergam gagah Gunung Sinabung.

Ia adalah gunung berapi di Dataran Tinggi Karo, Sumatera
Utara dan aktif serta menjadi puncak tertinggi di provinsi
itu dengan ketinggian 2,460 meter.

Letusan terakhir gunung ini terjadi Januari 2014 dan 
dilaporkan 14 orang terkorban terkena luncuran awan panas
ketika berada di Desa Suka Meriah.

Letusan atau semburan awan panas masih terus hingga
kini.

Sepanjang lebih sejam saya berada di Gundaling, beberapa
kali gunung terbabit mengeluarkan asap hitam dan pihak
berkuasa tempatan sentiasa memantau pergerakan gunung
terbabit.

Jauh perjalanan, bertambah pengalaman.......

Ini Keluang yang jinak dan dijual dengan harga RM150 seekor
untuk menjadi haiwan peliharaan.....

Saiz Keluang lebih besar daripada Kelewar

Gunung Sinabong yang nampak mendamaikan.....

Tiba tiba asap hitam meledak dari Gunung Sinabong........
 

 

Wednesday, October 29, 2014

Perkongsian bersama pensyarah baru... Dr Mazlin....

Syukur Alhamdulllilah sesi perkongsian bersama
rakan rakan sekuliah saya bagi kelas "research method"
berjalan lancar petang tadi.

Terima kasih kepada Dr Suzana yang memberi ruang
dan peluang kepada saya untuk berkongsi teknik
menemuramah baik individu berjawatan tinggi, wargaemas,
orang dewasa, remaja serta kanak-kanak secara santai
mahupun serius.

Juga kepada rakan kuliah saya Ain, membantu dan
menyediakan slide dan visual sepanjang perkongsian.

Sebenarnya saya kurang sihat sejak dari semalam lagi.

Kira kira jam 3.30 petang, saya mohon untuk balik rumah
untuk berehat kerana saya terasa lemah dan letih sekali.

Rasa nak pengsan dan ternyata selepas maghrib sambil
subuh saya tak sedarkan diri.

Mujurlah anak buah saya ada dan dia terus memantau
keadaan saya.

Besar kemungkinan keadaan saya jadi begitu kerana
tugasan tiga hari terakhir di Sabah, berulang alik ke
Pulau Gaya dari Kota Kinabalu menggunakan bot laju
justeru hentakan bot melanggar ombak sememangnya
agak menyakitkan.

Saya sudah biasa tugasan menaiki bot baik di sungai
mahupun laut dalam.

Lazimnya kami menaiki bot pelancong yang
berbumbung atau bot besar maka bot tidak dibawa
laju.

Semasa tugasan beberapa hari tu,tidak rasa sakit tetapi
semalam dan mula terasa sendi dan urat kesakitan.

Faktor umur pun boleh jadi juga serta kurang rehat
berikutan tugasan tanpa henti saya lebih seminggu di
luar daerah bermula dengan Kempas, Johor,
Cameron Highland dan terus ke Sabah.

Pagi tadi memang masih terasa sakit lagi dengan
tekak mula perit dan selsema.

Berikutan sebelah petang dah janji dengan seorang
pelajar bernama Ely untuk membantu tugasannya
serta Dr Suzana dan rakan kuliah untuk berkongsi
pengalaman maka saya kuatkan semangat.

Alhamdulilllah, ternyata segalanya dipermudahkan
Allah swt.

Saya maklumkan kepada Dr Suzana akan mengambil
masa kurang daripada 40 minit tetapi hakikatnya
setelah seronok berkongsi cerita serta sesi soaljawab
masa yang saya ambil melebihi 1 jam 15 minit.

Terasa macam pensyarah pulak...

Terima kasih kepada geng Super Senior M Phil,
merakamkan gambar ketika saya beraksi di depan
dewan kuliah.

Dan Kak Maznah, yang terus mengelar saya Dr Mazlin.......
macam macamlah rakan sekuliah saya ini.....

In sya Allah.....selesai Master, ada perancangan untuk
menyambung PHD....

Apapun, kita merancang segalanya ketentuan Illahi.....

Yang pasti tambah satu lagi nama gelaran saya.....

Daripada Auntie Bluee dan jadi Dr Mazlin pulak...

Terima Kasih Dr Suzana....

Pensyarah baru.....
 
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...