Ads by nuffnang

Tuesday, December 23, 2014

Terus sabar dan redha.....

Petang tadi saya dipanggil untuk mengambil surat keputusan
rayuan MSS dan ternyata rayuan saya ditolak juga.

Beberapa rakan yang menghantar surat rayuan juga menerima
berita yang menyedihkan....

Sememangnya kita merancang namun perancangan yang terbaik
sudah semestinya Allah swt.

Setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.....

Namun sebagai insan kerdil yang menumpang di satu sudut dunia
ini, tatkala segala perancangan telah diatur dan ia tidak dapat
digenggam, hati kecil merintih sedih......

Kadangkala pada zahirnya seseorang itu nampak kuat, hakikatnya
batinnya berjiwa lembut....

Semalam hari pertama saya kembali bertugas setelah empat hari
membawa jiwa berkelana, terasa begitu sepi sekali di pejabat.

Ramai rakan rakan yang sama sama menjadikan TV3 sebagai
rumah kedua telah berhijrah ke satu fasa baru.....dan saya masih
di sini....

Semalam seketika air mata saya bercurahan membasahi pipi
kerana kehilangan rakan rakan baik saya....
rakan rakan yang sama sama bersarapan pagi atau
makan tengahari, rakan rakan berkongsi pelbagai pengalaman
dalam hal tugasan, masalah kerja dan pelbagai lagi....

Tatkala saya menulis coretan ini juga beberapa kali air mata
saya menitis...sukar untuk saya maklumkan di sini tapi terasa
hidup ini kosong seketika.

Sukar untuk saya bersemuka dengan rakan rakan yang
sememangnya sedia untuk mendengar bisikan hati kecil saya
yang dilanda kesedihan...saya lebih selesa dengan menulis
perasaan daripada bercerita.....

Saya amat menghargai silaturahim yang dibina...
benar masih dapat berkomunikasi atau berjumpa dengan
mereka tapi pastinya dalam arena dan keadaan yang berbeza....

Sungguhpun wargakerja tenaga muda di sisi saya, seperti
Ain, Teh, Zahir, Almaz, Rose, Ainul sentiasa memberi kerjasama,
sentiasa memberi sokongan namun kehilangan
ramai rakan rakan lama mengganggu sedikit sebanyak jiwa
dan emosi saya........

Tatkala saya bertanya kepada pihak pengurusan ketika membuat
rayuan kenapa permohonan saya ditolak, alasan yang diberikan
mereka memerlukan khidmat saya.

Terima kasih kepada mereka kerana berkeyakinan dengan
kemampuan saya tetapi faktor umur saya yang makin meningkat
dan tahap kesihatan yang makin menurun, mana mungkin saya
dapat "berkarya" dengan sebaiknya seperti sebelum ini.

Namun saya akan cuba buat yang terbaik segala tanggungjawab
dan amanah yang diberikan biarpun saya bagaikan lilin membakar
diri.......

Mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat "habuan" daripada
persaraan atau MSS.....

In sya Allah rezeki lain menanti....

Sampai satu masa nanti saya akan tetap meninggalkan juga
TV3.....waktu terdekat ini mungkin......

TV3 bagaikan satu universiti kehidupaan kepada saya , ia tempat
yang banyak mengajar saya erti kehidupan, memberi pelbagai
pengalaman suka duka, gelak tawa...

Misi saya ketika ini selagi di TV3, hendak melunaskan beberapa
perkara sempena 10 tahun Bersamamu pada 30 Mei tahun depan......

Kekuatan saya untuk terus berkhidmat adalah kerana program
Bersamamu dan keluarga Bersamamu......

Jika pihak pengurusan mengatakan saya adalah aset syarikat, bagi
saya keluarga Bersamamu adalah aset akhirat saya......

Mereka yang dalam kesusahan, dalam kemiskinan, orang kurang
upaya, anak anak yatim......

Tatkala jiwa dibaluti kesunyian, hati yang serba kekosongan,
saya terus memanjatkan doa kepada Illahi untuk menunjukkan
hambaNYA ini apa yang terbaik.....

Menunjukkan hambaNYA ini langkah ke mana arah
seterusnya..... dan memohon terus menguatkan jiwa dan terus
redha.......

PadaMU ku terus bersujud..........




 

Friday, December 19, 2014

Membawa diri dan berjumpa KeluangMan.........

Salam dari bumi Medan....

Saya berada di bumi Medan sejak Selasa lalu... bukanlah
betul betul bercuti tetapi membawa hati yang lara....

Mungkin ramai juga sahabat sediamaklum Isnin lalu
adalah hari terakhir kepada lebih 600 wargakerja Media
Prima mahupun NSTP.

Mereka mengakhiri perkhidmatan di stesen swasta itu
selepas menerima Skim Persaraan  atau MSS -
(Mutual SeparationSheme).

Saya turut menghantar permohonon selepas hampir 24
tahun berkhidmat di stesen terbabit tetapi permohonan
saya tidak diterima......

Kalau nak ikutkan hati kecil saya ini memang begitu
kecewa dan sedih...

Ramai juga sahabat rapat yang sama sama dengan saya
sejak di zaman Bangsar meninggalkan Media Prima.

Antaranya Zakiah Anas sahabat saya sejak di zaman
menuntut ilmu di UITM, juga Norlizah Yusof,
Hartina Ayu Harun, Siti Zainah Jauhir, Ifawani Omar,
Junaidah Md Din, Jebat M Roseli,  Mazidol Akmar Sidek,
Mohd Naim Niamat, Azman Nahar, Anuar Shamsudin,
Azizah Ariffin, Azzura Azizul Azman dan ramai lagi.......

Walaupun sedih saya perlu redha dan terima segalanya..

Namun  saya terus mengharapkan agar permohonan 
diterima kerana staf yang merayu akan dapat
keputusannya dalam waktu terdekat ini.

Ketika ini saya berkelana ke Medan, Indonesia.

Secara kebetulan kakak saya ada urusan di Medan,
maka saya diajak menemaninya.

Kalau baca tajuk blog ada membabitkan KeluangMan...

Sebenarnya Rabu lalu dalam perjalanan dari Medan ke
Brastagi kami melalui satu perkampungan yang rata rata
di pesisir jalan ramai penduduk kampung yang menjual
Keluang.

Keluang atau Flying Fox turut dikenali sebagai Kalong
oleh masyarakat setempat.

Selain dijual untuk menjadi haiwan peliharaan, keluang
turut menjadi santapan masyarakat di sini terutama
masyarakat keturunan Batak.

Ia sama spesis dengan kelewar tetapi saiznya lebih
besar daripada kelewar......

Dijual antara 100 ringgit ke 150 ringgit, tepuk dada
tanpa selera.......bagi penggemarnya...

Di Brastagi saya singgah sebentar ke atas Bukit Gundaling
untuk menyaksikan tersergam gagah Gunung Sinabung.

Ia adalah gunung berapi di Dataran Tinggi Karo, Sumatera
Utara dan aktif serta menjadi puncak tertinggi di provinsi
itu dengan ketinggian 2,460 meter.

Letusan terakhir gunung ini terjadi Januari 2014 dan 
dilaporkan 14 orang terkorban terkena luncuran awan panas
ketika berada di Desa Suka Meriah.

Letusan atau semburan awan panas masih terus hingga
kini.

Sepanjang lebih sejam saya berada di Gundaling, beberapa
kali gunung terbabit mengeluarkan asap hitam dan pihak
berkuasa tempatan sentiasa memantau pergerakan gunung
terbabit.

Jauh perjalanan, bertambah pengalaman.......

Ini Keluang yang jinak dan dijual dengan harga RM150 seekor
untuk menjadi haiwan peliharaan.....

Saiz Keluang lebih besar daripada Kelewar

Gunung Sinabong yang nampak mendamaikan.....

Tiba tiba asap hitam meledak dari Gunung Sinabong........
 

 

Wednesday, October 29, 2014

Perkongsian bersama pensyarah baru... Dr Mazlin....

Syukur Alhamdulllilah sesi perkongsian bersama
rakan rakan sekuliah saya bagi kelas "research method"
berjalan lancar petang tadi.

Terima kasih kepada Dr Suzana yang memberi ruang
dan peluang kepada saya untuk berkongsi teknik
menemuramah baik individu berjawatan tinggi, wargaemas,
orang dewasa, remaja serta kanak-kanak secara santai
mahupun serius.

Juga kepada rakan kuliah saya Ain, membantu dan
menyediakan slide dan visual sepanjang perkongsian.

Sebenarnya saya kurang sihat sejak dari semalam lagi.

Kira kira jam 3.30 petang, saya mohon untuk balik rumah
untuk berehat kerana saya terasa lemah dan letih sekali.

Rasa nak pengsan dan ternyata selepas maghrib sambil
subuh saya tak sedarkan diri.

Mujurlah anak buah saya ada dan dia terus memantau
keadaan saya.

Besar kemungkinan keadaan saya jadi begitu kerana
tugasan tiga hari terakhir di Sabah, berulang alik ke
Pulau Gaya dari Kota Kinabalu menggunakan bot laju
justeru hentakan bot melanggar ombak sememangnya
agak menyakitkan.

Saya sudah biasa tugasan menaiki bot baik di sungai
mahupun laut dalam.

Lazimnya kami menaiki bot pelancong yang
berbumbung atau bot besar maka bot tidak dibawa
laju.

Semasa tugasan beberapa hari tu,tidak rasa sakit tetapi
semalam dan mula terasa sendi dan urat kesakitan.

Faktor umur pun boleh jadi juga serta kurang rehat
berikutan tugasan tanpa henti saya lebih seminggu di
luar daerah bermula dengan Kempas, Johor,
Cameron Highland dan terus ke Sabah.

Pagi tadi memang masih terasa sakit lagi dengan
tekak mula perit dan selsema.

Berikutan sebelah petang dah janji dengan seorang
pelajar bernama Ely untuk membantu tugasannya
serta Dr Suzana dan rakan kuliah untuk berkongsi
pengalaman maka saya kuatkan semangat.

Alhamdulilllah, ternyata segalanya dipermudahkan
Allah swt.

Saya maklumkan kepada Dr Suzana akan mengambil
masa kurang daripada 40 minit tetapi hakikatnya
setelah seronok berkongsi cerita serta sesi soaljawab
masa yang saya ambil melebihi 1 jam 15 minit.

Terasa macam pensyarah pulak...

Terima kasih kepada geng Super Senior M Phil,
merakamkan gambar ketika saya beraksi di depan
dewan kuliah.

Dan Kak Maznah, yang terus mengelar saya Dr Mazlin.......
macam macamlah rakan sekuliah saya ini.....

In sya Allah.....selesai Master, ada perancangan untuk
menyambung PHD....

Apapun, kita merancang segalanya ketentuan Illahi.....

Yang pasti tambah satu lagi nama gelaran saya.....

Daripada Auntie Bluee dan jadi Dr Mazlin pulak...

Terima Kasih Dr Suzana....

Pensyarah baru.....
 
 
 

Monday, October 27, 2014

Sabah dan Auntie Bluee........

Semalam sampai di Sri Pentas dari Kota Kinabalu
kira kira pukul sebelas malam.

Alhamdulilllah segala pekerjaan kami di sana
dipermudahkan Allah swt.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan di sini
adalah panggilan diri saya dikalangan keluarga
Bersamamu tak kiralah di mana saya
bertugas....

Selain panggilan Auntie Inn, Kak Cik Inn, Kak Lin, 
Akcik Mazlin, ketika saya di Kuala Pilah mendekati
keluarga Fauziah atau Along anaknya Diniy,
kanak kanak hiperaktif pula memanggil saya
Enek Inn.

Nenek pun nenek lah.....saya pun dah ada
sembilan cucu sedara.

Apa pun panggilan mereka kepada saya ia
tidak menjadi masalah yang penting kemesraan
dan keakraban di antara saya dan mereka
terus berpanjangan hingga ke Jannah.

Di Tanjung Aru, Kota Kinabalu juga saya ada
gelaran baru.

Jalani Husin, OKU yang kehilangan kaki 
kiri akibat kemalangan jalanraya mempunyai
tiga cahayamata perempuan berumur di antara
enam, lima dan tiga tahun.

Nama manja setiap seorang adalah Pinky, Apple
Green dan Princess.

Entah macamana kebetulan pada hari pertama
ketika "recce' ke rumah mereka, saya
memakai kemeja biru dan jeans biru terus
anak anak yang comel tu memanggil saya
Auntie Blueee......

Auntie Blueee...... ok juga panggilan tu.......

Ketika saya mendekati keluarga Siti Habsah Mat
di Pulau Gaya, seorang pelajar perempuan asyik
senyum dan menunjuk nunjuk di kad media
saya.

Saya yang sibuk mengarahkan jurukamera untuk
mengambil beberapa sudut, hanya tersenyum dari
jauh.

Selesai penggambaran di kelas adik kepada 
Habsah, kelas tahun 3, baru saya perasan pelajar
perempuan terbabit mempunyai nama yang sama
dengan saya....Mazlin.....

Saya mengusiknya dah besar nak jadi wartawan
macam saya....dia hanya tersenyum....

Seminggu saya di bumi Negeri Di Bawah Bayu...

Bagi saya mendekati keluarga Jalani di Tanjung
Aru dan Habsah di Pulau Gaya menambahkan
lagi pengalaman dan erti kehidupan buat saya
Hamba Allah yang kerdil di mukabumi ini.

Jelas sekali, keihklasan, kejujuran, kasih sayang,
pengorbanan dan tanggungjawab menguatkan
lagi keakraban antara satu sama lain.

Dan paling penting, mereka yang diuji dengan
pelbagai dugaan terus tabah dan redha dengan
segala kada dan kadar daripada Yang Maha Esa...

Dan nama Auntie Bluee melekat di kalangan
krew saya yang menjalankan penggambaran
di Sabah yang terdiri daripada Teh Syuhaida,
Rafi, Amirul dan Pak Kassem......


Warna warna Sabah

Jalani OKU yang disenangi pemancing
 laut dalam

Auntie Bluee bersama Apple dan Pinky

Tatkala Mazlin bertemu Mazlin

Kekangan kewangan membataskan Habsah
untuk ke sekolah

 

Tuesday, October 21, 2014

Kota Kinabalu dan makanan laut......

Semalam saya bersendirian ke Kota Kinabalu, Sabah 
untuk recce beberapa keluarga di sini.

Petang ni baru krew saya terdiri dari jurukamera,
juruteknik dan wartawan saya sampai.

Hujan rahmat yang membasahi bumi Kota Kinabalu 
membataskan kami untuk memulakan penggambaran 
awal.

Dan di Sabah ni cepat gelap, jam enam petang 
seperti jam lapan malam di Semenanjung.

Justeru untuk penggambaran malam dibuat awal.

Selesai penggambaran, acara seterusnya makan
malam.

Biasalah kalau di Sabah makanan laut memang 
segar dengan harga yang berpatutan.

Maka kami pun makanlah di tapak pasar kalau
tak silap namanya.

Hah saksikan gambar gambar di bawah ini.....  

Terbaik bah......

Segar dengan harga yang berpatutan...

Udang lipan.....

Pilih jangan tak pilih......

Selesai sudah bah.......




 

Monday, October 20, 2014

Jom petik strawberi di Cameron Highland....

Kisah semalam....

Saya ke Cameron Highland bersama krew 
Bersamamu untuk memenuhi permintaan anak 
terbaru kami iaitu Adam Roslan.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang berumur
7 tahun, menghidap barah otak dan telah melakukan 
pembedahan dan kimoterapi.

Kini dia perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan 
di HKL.

Ketika penggambaran dibuat bersama Adam, kami
bertanya jika diberi peluang untuk memenuhi aktiviti
hujung minggu ke mana dia hendak pergi....

Jawapannya ringkas.....

"Adam, nak gi Cameron Highland nak petik strawberry". 

Kami agak terperanjat juga dengan permintaannya.

Lazimnya kanak kanak sebaya Adam pasti ingin ke
Taman Tema seperti Sunway Lagoon, Legoland atau 
Universal Studio Singapura.....

Tidak bagi Adam yang petah berkata kata.

Maka semalam kami pun membawa Adam dan 
keluarganya ke Opah Strawberries & Jams untuk 
memetik dan menikmati buat strawberri dicicah jem....

Ternyata Adam begitu teruja dan gembira 
impiannya direalisasikan......

Pemilik kebun strawberi yang mesra di sapa Opah
memberi kerjasama yang baik sepanjang 
penggambaran.

Banyak perubahan di Cameron Highland....

Saya rasa kali terakhir saya sampai di sana lebih 
15 tahun dulu ketika penggambaran Majalah 3
bersama Nor Azlina Redzuan pengacara ketika itu.

Seperti biasalah kebanyakan pengunjung "selfie"
baik bersendirian mahupun berkumpulan di kawasan
strawberi mahupun di ladang teh dan 
saya serta krew produksi tidak terkecuali.....

Sungguhpun ia hanya percutian seharian,Adam
benar benar teruja.....

Semoga Allah swt terus memberi kesihatan yang
baik buat Adam untuk meneruskan kehidupan
seterusnya.....


Petik jangan petik.....



Krew Produksi Bersamamu dan Adam
Strawberi cicah coklat.....terbaiklah....

Selfie bersama Adam dan dua kakaknya..

Sunday, October 12, 2014

Benang tertinggal di dalam tapak tangan.....

Kisah semalam......

Saya ke KPJ Damansara untuk temujanji
dengan Dr Rozman untuk rawatan susulan
pembedahan yang dilakukan hampir dua
minggu lalu.

Setelah membuka plaster yang menampal
kesan pembedahan, Dr Rozman puashati
bekas pembedahan mula kering.

Maka bolehlah proses mencabut benang.

Dengan gunting dan sejenis alat seperti
penyepit, doktor menggunting kulit tapak
tangan saya yang kering dan mencabut benang
yang berselerak di tapak tangan.

Sakitnya tak boleh nak dicakap tapi memang
sakitlah masa benang ditarik...

Oleh kerana tangan saya ni tak boleh diam
maka ada sikit benang tertinggal di dalam
kesan pembedahan.

Menurut Doktor ia tidak memudaratkan,
samaada ia akan keluar sendiri atau kekal.

Alhamdulilllah, kini jari saya boleh
dibengkokkan dan kembali lurus seperti biasa.

Sebelum pembedahan, kalau jari dibengkokkan
terutama jari manis, ia tidak boleh kembali
lurus sebaliknya perlu ditolak perlahan lahan
untuk kembali lurus.

Ia menjadi ketat dan "cramp'.

Terima kasih kiriman doa dan semangat
sahabat sekalian tidak kira di mana anda
berada.....

Dua minggu cuti sakit buat saya terus bertambah
sakit....esok dah boleh kembali bertugas....
seronoknya.....

Doktor Rozman dengan teliti menarik benang
di tapak tangan saya
 
Menahan sakit......


Monday, October 6, 2014

Cuti cuti dan "selfie selfie".....

Saya pasti ramai di kalangan sahabat telah
kembali ke rumah masing masing dari kampung
kerana esok dah mula kerja.....dan anak anak
mula bersekolah......

Semalam usai Solat AidilAdha, saya ke rumah
abang saya, tak berapa jauh dari rumah arwah mak.

Anakbuah saya Ika dan Tira merenget mengajak
saya bercuti dengan mereka......

Lazimnya setiap tahun memang saya bercuti dengan
mereka juga anak anakbuah yang lain dan yang
paling seronoknya percutian saya ditaja oleh mak
bapak mereka lah.....

Syukur Alhamdulilllah.....rezeki.......

Tapi semalam mereka dah pakat nak "pau' saya....
tapi dekat aja ke Singapura......nak ke Universal
Studio atau USS.

Lepas tu nak singgah JPO....shopping katanya....

Ok lah bila jari jemari saya dah ok...in sya Allah
saya akan bawa mereka....(kena semak baki di
kad kredit lah jawapnya)......

Saya dah tiga kali ke USS tu....sekali kerana tugasan
Bersamamu Penuhi Impian dan selebihnya bercuti.....

Tapi masa saya bercuti dengan tiga staf dan dua
pelatih industri Mei lepas paling haru biru dibuat......

Berikutan ia satu percutian maka lebih kepada
kembara dengan adik adik, tiada jurang antara bos 
dan staf........

Kami ke Singapura menaiki keretapi dan balik
menaiki bas.....

Sesekali buat aktiviti sebegitu hilangkan tekanan
kerja dan merapatkan lagi silaturahim di antara
satu sama lain.......

Kebetulan masa tu deman "selfie" sedang berleluasa,
pantang ada aktiviti menarik asyik nak bergambor
aja.....macam saya tulis sebelum ini kalau pakai
filem tak larat nak cuci gambarlah.......

Lepas dah ambil banyak banyak gambor maka apa
lagi masing masing pun buat "collage" dan hantar
kat saya........

Lepas ni kalau saya ke USS lagi, berselfie dengan
anak anakbuahlah pulak....

Bab selfie ini bukan aja di kalangan remaja, malah
mak mak dan bapak bapak pun apa kurangnya....

Setuju tak sahabat.......

Pelbagai aksi dirakamkan....

Andai HP blh berkata kata......
"ASYIK ASYIK MUKA DEPA AJA...."

Teh, Liza, Almaz, Fatin dan Khyra...
masing masing ada gaya tersendiri....




 

Saturday, October 4, 2014

Sambung cuti sakit.... menghitung hari bersama Krisdyanti.....

Pagi tadi saya ada rawatan susulan di
KPJ Damansara berjumpa dengan Dr Rozman.

Ingatkan hari ini dah bolehlah buka jahitan
kat tapak tangan... tapi tidak ....

Sabtu depan dah betul betul kering baru di
buka jahitan....

Aduhai... sesekali berdenyut kat tapak tangan
jangan ceritalah bagaimana nyilunya...tapi
redhalah.....in sya Allah setiap dugaan ada
hikmah tersembunyi.

Dr Rozman beri lagi satu minggu cuti sakit....

Saya bukan boleh cuti lama dok kat rumah...
rasa tekanan dan kacau jiwa dibuatnya.

Kalau cuti makan angin tak palah.......

Balik hospital..dok kebosanan bukalah
photo yang beribu jumlahnya dlm iphone saya.

Dok membelek gambar serta menghitung hari
untuk keluar buat pemggambaran, ternampak
photo dengan penyanyi tidak asing lagi dari
seberang iaitu Krisdayanti atau KD.

Itu seronoknya bertugas di stesyen TV..

Kalau ada personaliti atau selebriti datang,
jika tidak mengganggu produksi, wargakerja boeh
berjumpa atau bergambar dengan mereka.

KD hadir menjadi tetamu di MHI untuk
mempromosikan konsert yang akan diadakan
tidak lama lagi.

Beberapa rakan rakan lain dah selesai bergambar,
maka tiba giliran saya.

" Ok turn Chik Inn, mana boleh lepaskan peluang
bergambar dengan kawan lama masa tadika
dulu ni", saya bercakap sambil duduk di sebelah KD.

Dia tersenyum dan terus mengiyakan...

" Ya benar kita sama sama  satu tadika dulu kan..
lama enggak jumpa ya....."

Nadia pengacara MHI pagi tu tergaman dan termakan
dengan lakonan spontan kami.

"Betul ke akak dulu tadika dengan Krisdayanti"?

Beberapa rakan yang ada di studio dok gelakkan
Nadia.....kerana bersikap lurus bendul sekali...

KD memang sporting....ini bukan kali pertama saya
berjumpa dan bergambar dengan dia....

Nasib baik zaman sekarang ni zaman digital, kalau
masih gunakan filem..rasanya banyaklah roll filem
digunakan untuk merakamkan gambar terutama
dengan orang orang terkenal........

Oklah tak blh taip banyak sebab pakai jari kanan
saja ni.

Saya mengambil kesempatan ni mengucapkan
Salam AidilAdha....Maaf Zahir Batin buat sahabat
semua tidak kira di mana berada.......

Semoga Allah swt memberikan rahmat kepada
segala Ibadah, Haji dan Umrah kita semua... 

Aamin Aamin Ya Rabbal Alamiin....

Pose istimewa bersama "rakan satu tadika" 



Nadia ooo Nadia.....

Seminggu lagi tapak tangan perlu di plaster......

Cuti sakit tambah lagi seminggu.....
 

Monday, September 29, 2014

Debaran di Dewan Bedah.....

Alhamdulilllah segala galanya berjalan lancar.....

Terima kasih atas ingatan dan kiriman doa
daripada sanak saudara, sahabat handai mahupun 
sahabat di Facebook, W'appps, Instagram dan
medium lain...

Ternyata mesej mesej berbentuk semangat,
nasihat dan doa doa menguatkan saya untuk
berdepan dengan saat yang penuh debaran.

Ini bukanlah julung kali saya menjalani
pembedahan.

Sebelum ini saya pernah membuat pembedahan
hidung akibat sinus, pembedahan di lengan kiri
juga lutut kanan.

Tapi inilah kali pertama saya memasuki dewan
bedah dengan berjalan kali dari wad ditemani
jururawat, naik sendiri di atas katil bedah.

Ia kerana saya hanya dibius di bahagian tempat
pembedahan sahaja.

Ternyata debarannya memang berbeza..... 

Tatkala baru berbaring atas katil... terus sius lampu
dibuka tanda prosedur pembedahan akan bermula.

"Tup" terang benderang dewan bedah....

 "Tup beserta dap dip dup" juga di hati saya,
dah lah tekanan darah saya sebelum tu melebihi
178 bahagian atas 90 lebih di bahagian bawah.

Gementar.....akak.....

Jururawat menenangkan saya supaya lebih relak....

"Relak" katanya.....Ya lah dik oiiii.......

Saya pasti ramai juga di kalangan sahabat yang
pernah menjalani pembedahan.

Lazimnya sesampai di dewan bedah, pakar bius
akan menerangkan prosedur, memberi suntikan
dan bila tersedar....jururawat akan kata...

"Kak Mazlin...semua dah selesai"...tak sedar
apapun.....macam tidur aja...

Kali ini dalam keadaan sedar dapat melihat dan
mendengar segala bualbicara Dr Rosman yang
mengetuai pembedahan dibantu lima kakitangan
bahagian perubatan yang lain.

Dia menyembur spray pelali yang rasa macam
sesejuk salji dan terus suntik dan potong urat,
saya pun tak nak pandang peringkat permulaannya
memang ada rasa nyilu...

Saya terus berzikir dan diikuti dengan membaca
tanpa henti....

"Allahumma Rabbi Yaasir Wala Tu Assir...
Rabbi Tammin Bi Khair..."

Alhamdulillah segala galanya dipermudahkan
oleh Allah swt.....

Selesai pembedahan di jari diikuti dengan suntikan
ubat/steroid di tumit yang membengkak.

Maklumlah pesakit diebetes macam saya bab kaki
perlu penjagaan rapi...

Kira kira sejam segalanya berakhir....

Tapi tak payah berjalan balik ke wad... baring di
katil dan ditolak jururawat....

Ketika saya menulis perkongsian ini, jari jemari
saya masih kebas... taip pakai jari kanan satu
persatu....

Kepala sesekali berdenyut denyut.....

Kemungkinan lewat pagi ni tatkala ubat pelali
dah tak melalikan jari saya, mungkin akan rasa
berdenyut di bahagian empat jahitan di tapak
tangan.

Terima kasih sekali lagi kepada semua sahabat yang
tanpa jemu mendoakan saya dan bertanya kabar.....

Buat sahabat saya Azlina Ahmad terima kasih
kerana ambil "half day leave" dan berada di sisi
saya di saat hati saya bagaikan gelombang
tsunami.

Seperkara tentang diri saya, bab berkaitan untuk
menyuntikan gel atau steroid mahupun rawatan
susulan yang tidak serius, saya lebih gemar
pergi bersendirian.

Yang penting, saya memaklumkan kepada
adik beradik dan sahabat karib prosedur yang
akan dilakukan.

Saya tidak mahu menyusahkan mereka yang
masing masing ada tanggungjawab dan
komitmen sendiri.

Saya juga tidak mahu mereka risau tentang
diri saya.

Jika apa apa berlaku mereka akan dihubungi.

Pagi tadi, saya pandu sendiri ke KPJ Damansara
dan menunggu giliran bersendirian pada mulanya
untuk masuk ke dewan bedah.

Justeru bila mendengar saya berseorangan
menunggu untuk pembedahan, Azlina sukarela
menemani saya.

Selesai pembedahan dia belikan air dan roti
untuk saya melapik perut....

Terima kasih sahabat....semoga silaturahim
kita hingga ke Jannah....

Setelah rehat lebih sejam di wad harian dan
merasakan keadaan diri agak terkawal, rakan
sekuliah saya, Ain datang ke hospital dan
memandu kereta saya ke UKM Bangi.

Sekali lagi Allah Yang Maha Esa permudahkan
diri hambaNYA ini.

Syukur Alhamdulillah......

Kami dapat tempat letak kereta berdekatan
dengan dewan kuliah....selalunya kena menapak
jauh.....

Seperti sahabat sediamaklum, saya kan
menyambung pelajaran, jadi tak kan baru
beberapa minggu nak ponteng kuliah...
malu dengan adik adik junior.....

Dan jari jemari serta tumit masih kebas memang
tak ada istilah sakitlah masa di dewan kuliah.....

Syukur Alhamdulilllah....

Pesanan buat diri sendiri mahupun rakan rakan...
jagalah kesihatan anda dan ......
selain berzikir amalkan ayat......

"Allahumma Rabbi Yaasir Wala Tu Assir...
Rabbi Tammin Bi khair..."

"Ya Allah, permudahkan.. jangan dipersulitkan..
Ya Allah..sempurnakan dengan kebaikan....."

Ditandakan kawasan yang akan dibedah
Alhamdulilllah selesai pembedahan dalam masa seminggu
akan dicabut benang jahitan
 

Ruang menunggu untuk ahli keluarga/sahabat

 


 

Wednesday, September 17, 2014

Mahasiswa "Otai" jadi Pengetua Sekolah......

Alhamdulillah, sudah dua minggu saya bergelar
mahasiswa di UKM.

Setakat ini, semuanya dipermudahkan oleh
Allah swt.

Memang letih jugalah berulang ke Bangi tapi ia
tidak melunturkan semangat saya untuk terus
menimba ilmu.

Berikutan beberapa subjek adalah Pra Syarat
untuk memahami lebih terperinci kursus yang
diambil, maka kelas terbabit adalah kelas 
membabitkan pelajar pelajar "degree".

Kalau dah pelajar "degree" umur mereka dalam
lingkungan awal 20an antara 20 ke 23 tahun.

Saya rasa begitu "otai' atau "senior" sangat
dengan mereka yang bukan peringkat adik adik
tapi dah kira peringkat anak......

Anakbuah saya yang sulong pun berumur
38 tahun.

Selesai kelas pukul 12 tadi, ada sesi fotograpi
dengan rakan rakan sekuliah.

Adoiiii dah rasa macam ambik gambar untuk
majalah sekolah pulak.... siap kena pakai
blazer lagi......

Kata rakan rakan sekuliah saya, sesi fotograpi
ini untuk masuk dalam Buletin Fakulti.

Maka kira kira 50 siswa dan siwi pun ambiklah
gambar bersama......

Ketika masing masing mengambil tempat, adik
adik atau anak anak, rakan sekuliah....suruh
saya duduk ditengah tengah.

Saya merasakan seolah olah saya dah jadi
pengetua sekolah pulak.......di kelilingi murid
murid yang muda.....

Macam macam ......

Apapun memang seronok menimba ilmu dengan
generasi muda hari ini yang mempunyai cara
pemikiran ternyata berbeza dengan saya ketika
seusia dengan mereka........

Selain daripada saya, empat lagi pelajar '"otai"
turut sama dalam kelas membabitkan adik adik
ini..... tapi yang pasti sayalah yang paling........
"muda"....berusia pertengahan 4 series.......



Barisan Kedua duduk di tengah......
Pengetua baru.....Mazlin Nordin.........

Mengalahkan sekolah tentera dengan tabik hormat.......

Bersama adik adik....atau anak anak????
 
Empat lagi  siswazah "Otai"...
Baris belakang saya, Alwi dan Zurina
Barisan depan Aishah(student degree)
Maznah dan Liza

Staf saya Liza yang turut menyambung pelajaran
dengan saya..sempat posing lagi....
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...