Ads by nuffnang

Tuesday, November 30, 2010

"Kaum Hawa bagai lilin membakar diri....."

Bermula sebagai pendidik, setelah bersara, insan ini diberi amanah untuk menjaga kebajikan penduduk di sebuah pulau yang tidak jauh dari Kota Kinabalu, ibunegeri Sabah.

Tanggungjawab yang diamanahkan semenangnya besar, namun dapat dilaksanakan dengan jaya demi kebaikan penduduk kampungnya.

Tanpa mengira waktu, tatkala diperlukan khidmat dan nasihatnya, beliau terus melakukan yang terbaik.

Saya kongsikan pengalaman mendekati Saimah Salam, wanita Pertama yang menjadi Ketua Kampung di sebuah pulau di Negeri Bawah Bayu.



Saya dan Saimah di Pulau Gaya

Hebat kaum wanita .......

Untuk ke Pulau Gaya, pengunjung boleh menaiki bot penambang dari jeti Jesselton, Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 15 minit.

Pulau Gaya antara lima pulau yang terdapat dalam lingkungan Taman Tunku Abdul Rahman - T.T.A.R.

Pulau lain yang termasuk dlm T.T.A.R adalah Pulau Mamutik, Manukan, Sapi dan Sulug.
Keempat empat pulau itu menjadi lokasi kegemaran bagi yang meminati "snorkelling".

Gaya dalam bahasa bajau adalah “gayo” bermaksud besar, dan sememangnya Pulau Gaya, pulau terbesar di antara lima buah pulau di sini.


Rata-rata Pulau Gaya dihuni sukukaum Bajau di mana  kebanyakan rumah mereka terletak di atas air dan sebahagiannya di pesisir pantai.

Kejernihan air laut membuatkan saya rasa teruja untuk terjun ke laut, tapi disebabkan ada tugasan, menggeleng kepala ajalah tatkala melihat kanak kanak terjun ke laut.

Di SMK Pulau Gaya

Saimah, bekas guru di SRK Pulau Gaya, berasal dari Sembulan, Kota Kinabalu, dan telah menetap di pulau ini lebih 20 tahun.

Tanggungjawab sebagai Ketua Kampung, menuntut ibu kepada 8 anak dan 11 cucu ini berkhidmat dengan masyarakat setempat, tanpa mengira waktu.

Sungguhpun pada mula dilantik, terdapat pihak tertentu yang kurang senang dengan Saimah, namun dia membuktikan bahawa amanah yang diberi, dipikul dengan baik.

“Memanglah lumrahlah, saya dengar, mereka-mereka kata mengapa pula perempuan jadi ketua kampung. Jadi saya tak hairanlah, dan tak kisah, yang penting atas  kepercayaan saya punya ADUN, ketua-ketua bahagian,yang melantik saya dan menaruh kepercayaan yang saya boleh memimpin", Saimah berkongsi cerita.


Kanchi, saya , Saimah dan Jurukamera Sabah Kassem Mahmun


Terdapat empat buah kampung di Pulau Gaya  dengan kepadatan penduduk kira-kira 8 ribu orang.

Penduduk di bawah penyelarasan Saimah kira-kira 2 ribu dan rata-rata penduduk di sini beragama Islam.

Lazimnya, saban minggu, Saimah dan ahli jawatankuasa kampung berkunjung ke rumah penduduk setempat bertujuan meleraikan sebarang masalah .

Sebelum ini penggunaan tenaga letrik di situ, terhad dari jam 6 petang hingga 12 malam sahaja.

Saimah berusaha untuk dipanjangkan waktu hingga ke 6 pagi bagi memudahkan kanak-kanak  mengulangkaji mahupun bagi individu yang mempunyai keluarga yang kurang sihat. 

Di sebalik kejayaan seseorang, pastinya ada insan sebagai tulang belakang menjadi pembakar semangat.

Senja di Pulau gaya

Selain AJK kampung yang sering memberi kerjasama, Kanchi Abdullah, suami Saimah sentiasa membantu terutama membabitkan kebajikan penduduk.

Dia tidak menafikan turut menerima tempias pihak tertentu yang tidak puashati dengan perlantikan Saimah.
  
“Adalah juga cakap, komen yang tak elok kita dengar, konon kenapa seorang wanita dilantik sebagai ketua kampung. Mereka bercakap di depan saya. Saya kata ada Perdana Menteri dan Presiden pun ada  di kalangan wanita, seperti Presiden di Filipina, dan menteri kita pun ramai jadi menteri, kenapa pulak wanita tidak boleh jadi ketua kampung". Lama-lama, mereka boleh terima. Alhamdullilah, bahkan Saimah merupakan ketua kampung wanita yang pertama di bahagian Putatan”.
 
Sebagai suami yang sering memberi semangat kepada isterinya, Kanchi adalah individu penting di SMK Pulau Gaya.

Lebih 12 tahun, dia memegang jawatan sebagai Pengerusi PIBG di sekolah itu, atas kewibawaannya.
Sekolah itu juga telah memenangi berapa anugerah kecemerlangan pendidikan dan tahun 2009 terpilih sebagai Pusat Sumber terbaik  di Sabah kategori Luar Bandar. 

Untuk menarik pengunjung ke Pulau Gaya, Kanchi turut melontarkan saranan kepada pihak PIBG membina 2 buah chalet, berhampiran sekolah,di mana secara tidak langsung, menambah dana persatuan mereka.

Hanya Jauhari sahaja yang mengenal Manikam.

Warga emas di Pulau Gaya

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin Marcus Mojigoh tidak menafikan Saimah seorang pemimpin yang bersemangat waja dan bagaikan lilin membakar diri demi menerangi orang di sekelilingnya.

Sebelum menjadi ketua kampung, jiran tetangga sering meminta pertolongan dari Saimah dan suaminya.

Kebolehannya memang ada. Orang yang sungguh proaktif. Dia kita tidak lihat sebagai wanita, kita lihat dia sebagai seorang insan yang boleh diharap, boleh memimpin masyarakat di kawasan perkampungan dan dihormati oleh orang, penduduk setempat.Itu satu kriteria, keupayaan dan satu kreadibiliti seorang pemimpin yang aktif sekali dan sungguh dihormati. Ini memang dr dulu, seblm jadi ketua kampung pun, ramai orang datang berkunjung dengan beliau”,Datuk Dr Makin Marcus menjawab pertanyaan saya mengenai Saimah.

Daripada pengamatan saya sendiri sepanjang penggambaran 2 hari di Pulau Gaya, Saimah, seorang pemimpin yang tidak lokek dengan senyuman, bertanggungjawab dan sentiasa mendampingi masyarakat. 

Sebagai ketua kampung, Saimah mengharapkan Pulau Gaya dibangunkan sebagai pusat peranginan yang turut menjadi mercu tanda kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

Pihak tertentu perlu meniti pelan pembangunan yang menarik, agar mendapat faedah kepada semua lapisan masyarakat Negeri Di Bawah Bayu.

Semoga, satu hari nanti,  Pulau Gaya bakal dicoret sebagai lokasi yang menggamit ramai pengunjung…….

Tangan yang mengoyangkan buaian tidak mustahil juga boleh menggoncangkan dunia......

Kaum Hawa sememanganya pemimpin yang baik bermula dengan urusan rumahtangga hinggalah ke urusan lain yang dipertanggungjawabkan.....

"Lakukan yang terbaik kepada orang lain sebagaimana kita inginkan orang lain melakukan yang terbaik kepada diri kita......."

 
 
 

Monday, November 29, 2010

"Mazlin Nordin dah boleh bersara...."

Semalam anakbuah saya Nur Atikah Mazlan menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM)  ke 73 di Shah Alam, Selangor.

Alhamdulillah, dia tamat pengajian dengan mendapat 2 anugerah iaitu Anugerah Naib Canselor dan Pelajar Terbaik Kewartawanan, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa.

Tahniah anak sedara....juga tenaga pengajar yang memberi ilmu, rakan rakan diskusinya....dan terutama sekali pada abang saya Haji Mazlan dan kakak ipar saya Hajah Zaimah.

Ika @ Chik Inn Jnr

Kira kira 20 tahun lalu, di lokasi yang sama, saya juga menerima segulung diploma(dulu dikenali sebagai diploma yang setaraf dengan ijazah, sekarang terus ijazah) kursus Kajian Sebaran Am (sekarang Komunikasi Massa).

Tapi saya tak lah dapat Anugerah Naib Canselor......

Pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.37 kalau tak silap...

Alhamdulillah kira kat buku konvokesyen tu sebelah nama saya adalah satu bintang.....

Sejak kecil lagi, Ika nama manjanya selalu melabelkan dirinya "Chik Inn Junior" dan ternyata minatnya untuk mewarisi dalam bidang ini daripada saya, telah dibuktikan.




Bercuti di Korea bersama dua anak sedara Ika dan Jehan

Semalam saya menasihatkan Ika,

" Awak pelajar terbaik, kerana rajin mengulangkaji, ingin memberi terbaik dan buktikan  pada ibubapa awak, tetapi bila berada di dalam dunia pekerjaan yang sebenarnya ternyata berbeza sekali, perlu bekerja dengan penuh minat, berdisplin, bersungguh sungguh, amanah dan mengamalkan sikap kerjasama di antara satu sama lain".

"Kerana bila beroleh kejayaan atau mendapat anugerah ia adalah kejayaan yang diperolehi hasil kerjasama pelbagai pihak....bukan atas kesungguhan diri sendiri seperti yang awak dapat hari ini.... " 

Berikutan Ika berminat dalam bidang yang saya ceburi kini, nampaknya boleh lah saya secara perlahan lahan mengundur diri dalam dunia penyiaran dan memberi peluang dan laluan kepada generasi baru.....


Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya.....



Tidak mustahil Ika akan berjaya dengan cemerlang dalam dunia penyiaran kelak....

Seorang lagi anakbuah saya Syasha Batrisiyia Kamal Baharein juga dah nampak ke arah "Chik Inn Junior 2", tapi perjalanannya masih jauh, tahun depan baru darjah 6.....


Syasya kena belajar rajin rajin ya.....

Syasya (Chik Inn Junior 2)

Bagi saya yang dah masuk "4 series" ...... sendiri mahu ingatlah......


Stamina pun tak sekuat dulu.....panjat gunung dah sakit lutut, jalan cepat mudah semput, buat editing pukul 2 pagi dah menguap berkali kali.....tapi minat terhadap kerja, yang menguatkan semangat terhadap setiap tugasan yang diberi menjadikan ia bertahan hingga kini........


Apapun bidang yang kita ceburi, tidak kiralah siapa idola kita, bila berada di landasan pekerjaan, seseorang itu perlu melakukan yang terbaik kerana ia satu amanah dan rezeki yang diperolehi, biarlah rezeki yang berkat......

Sunday, November 28, 2010

Kau boleh berlari ke hujung dunia.....

"Kau boleh berlari ke hujung dunia.....tapi kau tidak boleh lari daripada maut......"

"Tidak sesaat cepat....tidak sesaat lambat....."

Petikan katabual Jalaluddin Hassan dalam cerekarama bertajuk "Penggali" malam tadi.....

Renung renungkan.....

Saturday, November 27, 2010

"Bijak Wang...Bijak Belanja...Bijak Menyimpan"


Semalam entri saya menyentuh keindahan rumah Mr Bean atau Encik Kekacang, selebriti yang terkenal seluruh dunia dengan watak bendulnya.....

Seleberiti macam dia memanglah berkemampuan memiliki rumah besar, kereta mahal dan macam macam kemewahan sebab bayaran yang diterima untuk satu satu lakonan begitu tinggi sekali.

Tak palah, itu kisah hidupnya dan memang ditakdirkan dia berjaya dalam dunia lakonan, punyai harta dan simpanan wang yang melimpah ruah.

Kita juga boleh memiliki dan menyimpan wang yang banyak jika kita ada perancangan kewangan yang betul.

Saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai bagaimana untuk menguruskan kewangan ketika penjadi penerbit penyelaras program Bijak Wang, siaran 3 Oktober 2009.

Kami mendekati pasangan suami isteri Marzuki Ahmad dan Halimatus Sadiah Bahari yang menguruskan kewangan mereka dengan cara tersendiri sejak 19 tahun lalu.

Menyedari hakikat gaji yang agak kecil dan kos sara hidup yang semakin meningkat, pasangan itu mengamalkan kaedah pengurusan wang mulai tahun kedua perkahwinan mereka, dengan "Sistem Sampul Surat atau Envelop".

"Bila saya main kutu saya terpaksa minta budi bicara daripada kawan kawan supaya saya dpt tepat pd bulan yang sepatutnya utk bayar "road tax", tapi bukan semua boleh tolak ansur sebab kadang kadang orang lain pun ada keperluan sendiri" Halimatus Sadiah Bahari berkongsi cerita dengan kami.

"Jadi di situ timbul saya buat sistem envelop untuk "road tax"... dah tu terfikir buat untuk yang lain sekali....asingkan untuk pakaian, biasalah memang selalu masalah kewangan bila hujung bulan", Halimatus Sadiah menambah.

Bilangan sampul yang merangkumi perancangan jangka masa panjang dan pendek, bertambah dari tahun ke tahun mengikut keperluan semasa.

Formula pengurusan kewangan pasangan itu adalah mendahulukan wang simpanan sebelum membahagikan baki gaji untuk perbelanjaan lain.

Lazimnya, bagi Halimatus Sadiah dan Marzuki, mereka membeli keperluan dapur sebulan sekali di samping meneruskan simpanan untuk bayaran sewabeli kereta walaupun sudah langsai pinjamannya.

Ia sebagai persediaan membeli kereta baru secara tunai di kemudian hari.

Malah kaedah yang diamalkan membolehkan mereka sekeluarga menunaikan ibadah umrah dan bercuti di seluruh Malaysia sekurang-kurangnya setahun sekali.

Halimatus Sadiah menambah,

"Pertama displin diri mesti kuat, istiqamah dan satu lagi kita mesti berjaya mengekang nafsu untuk membeli sesuatu yang kadang kadang bukan satu keperluan".

Saya memang setuju seratus peratus pandangan Halimatus Sadiah, bahawa jangan beli sesuatu yang bukan satu keperluan.

Kekadang saya sendiri kalau ke pusat membeli belah, tenguk ada benda yang menarik sikit, contoh kasut, belek punya belek, terus beli, padahal kasut kat umah tu ok lagi.

Lepas itu "budget" dah terlari sikit.......

Penat kerja, simpan duit lepas tu
bolehlah pergi bercuti
Saya pun sejak dua menjak ni, buat jugalah sistem "envelop".
Asingkan mengikut kategori masing masinglah...

Mungkin ada di kalangan rakan rakan blogger dah lama mempraktikkan sistem ini.

Tahniahlah.....yang belum masih belum terlambat...

Contoh bagi diri saya sendiri, makan tengahari diperuntukkan RM10, kalau adda baki atau kawan belanja makan, duit tu diasingkan.....jadi akhir bulan ada baki berlebihan bolehlah makan yang "best" sikit....dan tambahan simpanan....

Antara menu kegemaran pengunjung di Restoren Daun

Begitu juga kalau nak bercuti, perlu fikirkan lokasi, bila nak pergi, matawang negara yang dilawati, pengangkutan awam, tempat tinggal justeru bolehlah kita asingkan simpanan tersebut dalam sampul yang telah dilabelkan...

Makan tengahari di Restoren Daun
Bandung, Indonesia

Menurut Halimatus Sadiah lagi, mereka hanya menyimpan dalam simpanan biasa dan Tabung Haji untuk setiap ahli keluarganya.

Namun beberapa tahun lalu, mereka melabur dalam dana yang mampu memberi pulangan yang lebih lumayan.

Pengetahuan cetek mengenai pelaburan dalam unik amanah, mendorong mereka mendapatkan khidmat pakar perunding kewangan.

"Jadi bila kita dah dapat penerangan bahawa "unit trust" ini sesuatu yang kita boleh "trust" dan halal so kita ambik keputusan untuk beli "unit trust", suami isteri dan semua anak anak...yang masuk uni masuk pelaburan asas,  manakala anak anak sekolah tabungan "monthly"..."auto debit". Kita tak payah bergantung sangat kepada pinjaman atau dana dana lain", Marzuki Ahmad memaklumkan kepada kami.

Saya pun syorkan rakan rakan untuk melabur di "unit trust", melalui potongan KWSP.

Alhamdulillah saya dah labur beberapa tahun lepas, nampaklah hasil ....kira adalah simpanan tambahan bila saya dah bersara kelak....mesti ada perancangan masa depan....

Kembali kepada pasangan yang sudah 21 tahun melayari bahtera perkahwinan itu, mereka lebih gemar meluangkan masa bersama keluarga tersayang, di rumah yang diubahsuai sendiri.

Bagi Halimatus Sadiah, tiada bebanan hutang yang mengganggu ketenteraman, ia perancangan bijak untuk masa depan beserta doa agar sentiasa dimurahkan rezeki.....

Kegagalan mengurus dan merancang kewangan dengan baik boleh menyebabkan seseorang mudah terperangkap dengan gaya hidup berhutang sama ada dengan pelbagai tawaran kad kredit atau pinjaman daripada institusi kewangan.


Hajah Rohani


Pengerusi Eksekutif, Hijrah Wealth Management,Hajah Rohani Datuk Shahir, juga selaku penasihat program Bijak Wang,  memberitahu kami bahawa pengurusan kewangan yang bijak termasuklah mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan bijak serta mengikut syariah dan memastikan pendapatan diperoleh mendapat keberkatan.
Kalau tak ada rumah sebesar Mr Bean pun tak palah , yang penting hidup tidak dibelenggu hutang, hidup serba sederhana dan sentiasa di dalam peliharaan Yang Maha Besar..... 

Friday, November 26, 2010

"ENCiK KEKACANG YANG KAYA RAYA......"

Sebut Encik Kekacang pasti ramai yang tak kenal, tapi kalau sebut nama MR Bean, dari golongan kanak-kanak hinggalah warga emas pasti mengenali lelaki Inggeris yang mempunyai perwatakan yang pelik tapi mencuit hati.

Nama sebenar Mr Bean adalah Rowan Sebastian Atkinson dilahirkan di Newcastle Upon Tyne, pada  9 Januari 1955, kira sama bulan dengan saya, Januari.....tapi tahun jauh bezalah....

Mr & Mrs Atkinson aka Bean
Isteri bernama Sunitra Sastry dan mempunyai 2 cahayamata, Benjamin Atkinson dan Lily Atkinson.

Berikutan saya sedang menyelaraskan rancangan berbentuk dekorasi rumah "home ideas" untuk siaran TV3 tahun depan, maka rakan saya emelkan beberapa keping gambar rumah Mr Bean di England.....

Memang hebat rumahnya......


Ruang rehat famili

Ruang tamu

Ruang makan

Kolam renang dan Jakuzi
Benjamin Atkinson
(sebijik macam bapanya)
Lily Atkinson

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu....
....itulah rezeki ......

Apapun, bila kita hidup mewah, rumah besar dan indah, dah dapat capai bintang di langit....rumput dibumi dilupa jangan......

 







Thursday, November 25, 2010

"TANDAS menjadi sahabat KARIBKU......'

Hari ini awal tulis entri kerana terpaksa ambik BOD dan tengah lepak kat rumah ni..... ( BOD-Book Of Day- bila kami bekerja hari cuti, diganti dengan hari lain).

Dan rakan mesti tertanya tanya apa kena mengena dengan tandas??

Sebab dari sebelum subuh hingga waktu saya menulis entri ini ( kul 10.45 pagi) dah lebih 9 kali berulang alik melawat ke tandas rumah akibat perut meragam.....

Nak kata keracunan makanan, hidangan yang sama dinikmati dengan anakbuah, tapi dia ok aja......

Mungkin perut orang dah masuk 4 series ni tak boleh salah makan kot berbanding dengan orang muda...... 

Dalam perut meragam ni, tadi sempat juga ke Sri Pentas kejap ambik "external hard disk" ada sedikit "editing" visual yang perlu dibuat.

Kalau buat kat ofis asyik keluar masuk tandas, menyusahkan kengkawan lain pulak......dan diri sendiri......

Sepatutnya ada sesi diskusi Misteri Nusantara musim baru dengan staf, terpaksalah di batal....

(Kalau rakan rakan ada cadangan untuk memantapkan lagi paparan Misteri Nusantara utk siaran tahun depan, saya mengalu-alukan.....Usah biarkan hidup anda diselubungi musteri....)

Perut oh perut......pagi ni tandas menjadi sahabat baik dan karib saya....

Mudah mudah menjelang tengahari ni oklah perut ni......ada beberapa kerja perlu diselesaikan.

Bagus juga dengan segala teknologi maklumat serba canggih, buat kat rumah aja apa yang patut....

Apapun, kita perlu berhati hati dengan apa yang kita makan terutama jika kita makan diluar atau makanan terbabit dibeli, justeru sebaiknya masaklah sendiri, selain ia menjimatkan, kita tahu tahap khasiatnya, kebersihannya dan halalnya....... 

Ada sesetengah restoren meletakkan logo "halal" palsu hanya untuk mengabui mata pelanggan beragama Islam...seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan hari ini...

MasyaAllah......


Menikmati jamuan Raya Media Prima 2009


Wednesday, November 24, 2010

"TAK KAN HiLANG MELAYU Di DUNiA"

Adelaide adalah ibu negeri Australia Selatan.



Terkenal dengan gelaran "City of Churches", Adelaide adalah bandar ke 5 terbesar di Australia.

Dianggarkan kira-kira 1.1 juta penduduk menetap di bandar Adelaide yang  berkeluasan 1,827 kilometer persegi.

Saya, wartawan Norlizah Yusoff dan Jurukamera Jebat M Roseli berkembara di negara kanggaro itu untuk program Potret Terbilang sempena Kemerdekaan Malaysia yang ke 50 tahun pada 2007, untuk memotretkan kejayaan anak anak Malaysia di luar negara.

Sesi temubual dengan Razak Mohamed

Razak Mohammed anak jati kelahiran Melaka telah berjaya mencipta namanya dalam bidang rekaan fesyen di Australia lebih 20 tahun lalu.

Dia terkenal dengan rekaan ringkas di kalangan generasi muda sesuai untuk majlis koktel mahupun jamuan makan malam.

Berusia awal 50an, dia sentiasa sibuk dengan kerjayanya lebih lebih lagi Razak perlu menyiapkan 7 hingga 8 koleksi pakaian sepanjang tahun.

Sungguhpun usianya sudah menjangkau separuh abad, Razak masih kreatif dalam menghasilkan rekaannya dan antara individu yang  mendapatkan khidmatnya adalah penyanyi antarabangsa Kylie Minoque.

Dia berkongsi pengalaman kedatangannya ke Australia awal 80an, adalah untuk menyambung pelajaran dalam bidang senibina.



Saya, Norlizah dan Jebat merakamkan suasana petang di Adelaide

"Saya budak kampung dah keluarga kata gi belajar kat luar negara, jadi ikut ajalah",tatkala menjawab persoalan kami mengenai kedatangan ke Australia.

Selepas dua tahun dalam bidang tersebut, Razak merasakan dia tidak boleh meneruskan lagi bidang yang diceburinya dan terus mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran.

Justeru segala biasiswa ditarik balik, dia perlu melakukan sesuatu untuk menyara hidup.

"Satu hari tu saya ke bilik stor bawah pangsapuri saya dan terjumpa sebuah mesin jahit, tenguk ia masih baik lagi dan terpanggil untuk menggunakan".



Di tingkat 1 butik Razak

Bermula daripada saat itu, Razak mencari rezeki dengan menjalankan perkhidmatan "alteration"  pakaian rakan rakannya dan hari demi hari minatnya makin mendalam dan terus mencipta nama dalam bidang rekaan fesyen di sana.

Kini Razak mempunyai 20 pekerja warga tempatan dan ada di antara pekerja telah berkhidmat lebih 15 tahun dengan Razak.




Pertunjukan fesyen koleksi Razak di tingkat 2 butiknya

Menggunakan jenama "Razak" dan "Milk and Milkman", butiknya yang terletak di Rundle Street, Adelaide atas nama "Miss Gladys Sym Choon" saban hari dikunjungi peminat rekaannya.



Tetamu yang terdiri daripada pemilik butik dan pereka fesyen tempatan

Di atas butiknya turut di jadikan lokasi untuk diadakan pertunjukan fesyen koleksi terbaru yang boleh memuatkan lebih 70 orang.



Di hadapan Butik Razak....
Maznah Zolkifli turut menjadi tetamu pertunjukan fesyen koleksi Razak

Bersama rakankongsi, Joff Chappel, jenama Razak juga mendapat tempat di rangkaian pasaraya serbaneka Myers yang terkenal di seluruh Australia.

Rundle Street selepas jam 11 malam

Jika ada masa terluang, Razak lebih gemar menghabiskan hujung minggu di rumah musim panas miliknya di Port Wilunga, kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Adelaide.






Kami turut dibawa ke sana dan menikmati keindahan matahari terbenam di pinggir pantai Wilunga.



Menikmati suasana matahari tenggelam di pantai Wilunga

Ternyata di situ, Razak berpeluang menikmati suasana tenang dan lazimnya dia akan mengajak rakan rakan berehat dan bersantai bersama.

Kenalan rapat Razak terdiri daripada warga tempatan dan juga anak anak Malaysia yang menuntut mahupun bekerja di Adelaide.

Bagi warga tempatan, mereka suka dengan masakan Razak dan sememangnya Razak juga seorang tukang masak yang hebat.

Lazimnya jika bertugas di luar negara kami bawa bekalan  mee segera, sardin,
serunding dan periuk nasi
Kami pun dapatlah menikmati nasi himpit, kuah lodeh, sambal tumis udang dan rendang ayam yang dihidangkan untuk tetamu.

Sedap dan menyelerakan.......(makan mee segera / sardin setiap hari tak laratlah pulak......)



Sebagai perantau, Razak pasti menghubungi ahli keluarga di tanahair dan ibunya sendiri telah beberapa kali melawatnya di Adelaide.

Dia tidak menafikan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri.....

Bagi dirinya, demi kerjaya, Razak sanggup berkorban dengan berjauhan daripada keluarga semata mata untuk meletakkan nama Malaysia di peringkat global.


Tahniah anak Malaysia.....tak kan hilang Melayu di dunia.....



Bersama beberapa pelajar Malaysia selepas merakamkan Ucapan Raya
pada sanak saudara di tanahair
 

Tuesday, November 23, 2010

"MULUT JANGAN CELUPAR....."

Jun 2009, saya sempat singgah di sebuah rumah yang terletak di Kampung Baginda, kira kira 15 kilometer dari Pekan Keningau, Sabah Negeri di Bawah Bayu.

Dari jauh saya lihat, ia nampak seperti kediaman lain di sini, tetapi sebaliknya ia mempunyai tarikan tersendiri.

Batu tersusun adalah batu gong

Sejak 2 tahun lalu, di situ berdiri megah sebuah mini muzium yang menempatkan pelbagai koleksi batu-batuan khususnya dari sekitar Keningau.

Mungkin masih ramai yang ingat satu masa dulu, Pekan Keningau menjadi sebutan ramai kerana kejadian Ribut Grey pada 26 Disember 1996 yang meragut beratus nyawa. 

Saya berkesempatan berjumpa dengan Rohaimin Ariffin  44 tahun, ayah kepada 7 cahayamata, pemilik galeri Batu Unik Sakag Rohaimin.


Batu yang ada tulisan jawi

Minat Rohaimin terhadap koleksi batu unik bercambah sejak zaman remaja lagi.

Bersama Rohaimin dan Jurukamera di Sabah - Pak Kassem

“Sebenarnya memang minat sejak kecil lagi. Cuma dulu saya mengumpul batu hanya untuk ditengok-tengok sahaja. Lepas tu saya simpan kemudian hilang begitu sajalah. Sehinggalah saya kerja di Kota Kinabalu pada tahun 1996. Awal tahun tu, saya menemui sebiji batu yang ada huruf-huruf jawi. Sejak dari itulah saya mengumpul semula sehingga sekarang. Dan bila saya berpindah ke daerah Keningau, jadi dah kira-kira 13 tahunlah”, Rohaimin memberitahu saya.




Sungguhpun tiada latarbelakang dalam bidang geologi, Rohaimin menambahkan ilmu mengenai batu-batuan daripada pembacaan, bertukar-tukar pandangan sesama rakan mahupun melayari internet.



Pelbagai koleksi batu pelik

Bagi peminat setia koleksi batu, mereka lebih menghargai nilai seni  dan keindahan bentuk batu kerana hanya jauhari mengenal manikam.

Bentuk macam wajah ikan dan monyet belanda

Jika tahun lepas Rohaimin mempunyai lebih 500 batu-batuan pelbagai jenis dan bentuk, saya rasa kini lebih daripada 700 batu batuan menghiasi galerinya.



Rohaimin turut menggalakkan kaum ibu yang menganggotai kumpulan muzik tradisi sukukaum Dusun Liwan, mencari nada pada batu gong.




Bagi pegawai kerajaan itu, tidak mustahil, satu hari nanti, kumpulan muzik di kampungnya, turut menggunakan batu batu dalam koleksinya sebagai mengganti nada gong. 

Selain dikunjungi masyarat tempatan, galeri ini juga telah dikunjungi beberapa pelancong dari Jepun, Canada dan Sweden yang kagum melihat keunikan batu di sini, khususnya batu berbentuk wajah-wajah haiwan.

Lapan puluh peratus batu di galeri itu adalah usaha Rohaimin sendiri yang melapangkan masa di hujung minggu mencari di sungai sekitar Keningau.

Selebihnya, diberi saudara mara dan sahabat handai yang turut memberi semangat kepada Rohaimin meneruskan usaha mengumpul batu-batu unik.

Penggambaran di Sungai Keningau antara lokasi Rohaimin
mencari batu-batuan
Sungguhpun terpaksa mengharungi sungai yang dalam dan deras, tiada erti penat dalam kamus hidup Rohaimin, demi untuk mencari batu yang mempunyai keunikan tersendiri.

Dia juga mengalu-alukan kedatangan pakar geologi ke galerinya, untuk membuat kajian terperinci ke atas koleksinya.

Rohaimin tidak terkecuali mengalami peristiwa pelik ketika mencari batu di pinggir hutan.

Namun ia tidak melemahkan semangatnya, bagi Rohaimin pengalaman yang diperolehi semasa pencarian itu, jagalah pertuturan dan jangan tegur tatkala berhadapan dengan perkara pelik.




“Ketika kami turun ke sungai dekat Apin-apin, saya terhidu bau yang paling busuk seolah-olah najis ayam yang dibakar.Saya tanya anak-anak dan kawan, mereka kata mana ada bau. Cuma ada satu orang kampung tu, bila saya cakap begitu, dia diam sahaja. Bila sudah sampai di darat, baru dia tegur saya, lain kali kalau masuk hutan mulut tu jangan celupar”.

Ekspedisi untuk mencari batu di Apin Apin tidak membuahkan hasil.

Orang tua tua selalu berpesan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.......

Ia juga ingatan buat semua, bila bercakap jangan ikut sedap mulut aja....


Selain koleksi batu, di sekitar kediaman rumah Rohaimin turut dihiasi tanaman bonsai.

Serpihan bom lama antara koleksi Rohaimin

Beberapa pohon bonsainya juga sering memenangi pertandingan yang diadakan.

Antara koleksi bonsai Rohaimin

Setakat ini Rohaimin telah membelanjakan lebih 30 ribu ringgit untuk menaiktaraf galeri batu dan kawasan rumahnya.

Dia bercadang untuk menjadikan kampung kelahirannya sebagai satu daripada lokasi wajib dilawati, jika pengunjung bertandang ke Keningau.



Bagi Rohaimin, jika ada kemahuan, pasti ada jalan...

Bermula dengan hanya hobi di waktu lapang, kini dengan terbinanya Galeri Batu Unik, ia bukan saja menjana ekonomi tambahan buat Rohaimin tetapi juga penduduk tempatan, di samping menghargai pelbagai keindahan ciptaan Illahi. 


 


 

Monday, November 22, 2010

"ORANG JATUH ..... KITA KETAWA......."

Salam singgah....

Hari ini, saya terpanggil untuk menulis entri mengenai orang yang jatuh tatkala membaca akhbar yang bertajuk,  "Hishammuddin hampir jatuh,
titi roboh".

Petikan Utusan Malaysia mukasurat 3:

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan rombongannya dalam perjalanan menyampaikan bantuan kepada sebuah keluarga miskin di Kampung Gersik di Kuching, Sarawak dikejutkan dengan kejadian titi runtuh petang semalam".


"Namun dalam kejadian itu, beliau berjaya diselamatkan oleh pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) yang mengiringi beliau".

Apa yang hendak saya kongsikan bersama rakan blogger, mengenai sikap masyarakat yang sering melemparkan senyuman dan ada yang ketawa besar, tatkala melihat seseorang itu terjatuh, tak kira bangsa, tak kira kanak-kanak, remaja , dewasa mahupun warga emas.

Jatuh tangga ke, tersungkur dalam bas ke, tergelincir di jalan licin ke, jatuh pokok ke, ada yang simpati dan tidak kurang geli hati....

Saya sendiri berpengalaman terjatuh semasa di kafetaria di Sri Pentas tatkala hendak bangun kerana kaki kerusi tersangkut dengan kerusi rakan saya.

Nak kata malu, adalah juga tapi yang sebenarnya lebih kepada sakit daripada malu, dan sudah ditakdirkan saya terjatuh, mana mungkin kita boleh melawan takdir....ketika itu tak berapa ramai warga Media Prima yang sedang menikmati sarapan.

Rakan yang bersarapan dengan saya, Kak Ros dan Nasariah,  menghulurkan tangan dan membantu saya berdiri semula, maklumlah lutut ni bukan kuat sangat selepas pembedahan beberapa tahun lalu, dan saya pasti ada juga rakan yang tersenyum mahupun yang terperanjat.

Sedikit pun saya tidak berkecil hati pada rakan rakan yang tergelak.....dah memang kelaziman manusia.....

Berlainan dengan senario tatkala seorang ahli sukan seperti pemain bolasepak yang terjatuh di padang kerana dihalang pihak lawan, secara tidak langsung, pasti kita menyalahkan pihak lawan malah akan memakinya....

Berbalik kepada bila seseorang itu jatuh dan kita ketawa.......lucu sangat ke tatkala lihat orang terjatuh?

Kenapa perlu ketawa sedangkan orang yang jatuh itu pasti mengalami kesakitan???

Apakah memang sifat semulajadi manusia suka melihat seseorang itu jatuh.......

...jatuh kerana tidak sengaja, jatuh dalam bisnes, jatuh hati tapi hanya bertepuk sebelah tangan......semua menjadi bahan bualan dan ditertawakan.

....kecuali jatuh sakit, baru adalah insan yang prihatin...

Tapi ada juga segelintir insan yang ketawa besar tatkala mendengar si polan bin polan jatuh sakit........

MasyaAllah....

Sukar lensa kamera untuk merakamkan detik seseorang itu jatuh dibanding wajah orang ketawa, menangis, senyum, makan, berjalan dan pelbagai aksi lain kerana kejadian jatuh berlaku sekelip mata. 


Bersama Hajah Rahimah (isteri Konsul Tabung Haji di Jeddah)
tergelak  mengimbas kejadian tiba tiba Shadiya dicium anak unta

Shadiya Abbas dan anak unta di Hudaibiah, Mekah

Kalau nak ketawa pun biarlah bertempat dan tenguk kepada situasi.....

.....apapun kita tidak boleh mengawal tindakan orang lain, tetapi kita boleh mengawal reaksi terhadap tindakan mereka.......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...