Ads by nuffnang

Tuesday, November 9, 2010

"SERBA SEDERHANA TETAPI BAHAGIA........"

Apa sebenarnya makna BAHAGIA????

April lalu ketika bertugas untuk Jejak Rasul Srikandi di Mesir, saya juga sempat berkelana dan mendekati masyarakat Badwi di daerah Dumyaat.

Perjalanan dari Kaherah ke Dumyaat mengambil masa kira-kira 5 jam untuk program Raya "EID SEANTERO" siaran TV9.


Perkampungan Badwi di Dumyaat
Seperti yang kita maklum, masyarakat Badwi mempunyai gaya hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Lazimnya seawal jam 6 pagi, penduduk perkampungan Badwi telah memulakan aktiviti harian. 

Hidup serba sederhana
Kawasan didiami 15 keluarga itu menyara hidup dengan membela ternakan seperti lembu dan kambing.



Ternakan di situ bukan semuanya milik mereka, sebaliknya mengambil upah menjaga daripada orang perseorangan.

Sesi temuramah dengan Ahmed Adeil

Mereka akan berada di satu satu lokasi, di antara 6 ke 10 bulan tertakluk kepada keadaan cuaca dan persekitaran.


Sungguhpun tiada sumber letrik mahupun air bersih, penduduk di situ tidak pernah merasakan perjalanan hidup seharian mereka membebankan.


Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka tetap terus mewarisi cara hidup datuk nenek mereka.

Seerha yang berdiri di belakang sekali

Bagi masyarakat Badwi cara hidup yang berpindah randah bukanlah satu penghalang untuk mengecapi hidup bahagia.

Terdapat segelintir daripada mereka yang telah mengikut arus pembangunan dengan mempunyai tempat tinggal yang sempurna.

Anak-anak mereka juga digalakkan menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi demi masa depan yang lebih baik.

Naemah menyediakan hidangan pagi - nasi, roti, telur rebus dan tomato
Saya mendekati Mohamed Seerha, 13 tahun yang menumpang di kemah ibu saudaranya Naemah Maaza, kerana ibunya telah meninggal dunia.

Sungguhpun Naemah mempunyai 2 cahayamata, dan mengambil tempat sebagai ibu Seerha, kasih sayang yang diperolehi Seerha tidaklah sama.

Namun dia redha dengan pemergian orang tersayang dan berpendapat masih ada saudara mara yang mengambil berat mengenai dirinya.


Naemah berdiri disebelah kanan saya
Dia tidak menafikan ada kanak-kanak lain yang tidak pernah kenal erti kasih sayang kerana takdir menentukan keluarga mereka menjadi mangsa peperangan mahupun bencana alam.

Di sebelah pagi Seerha membantu Naemah membersihkan najis ternakan mereka dan memberi makan kepada ternakan manakala disebelah petang dia banyak menghabiskan masa dengan rakan rakan. 


Tanpa mempunyai padang bola yang sempurna, bukanlah penghalang untuk Seerha dan rakan-rakan bermain bolasepak.

Mesir antara pasukan bolasepak dikagumi di Afrika Utara.



Tiada komputer mahupun  playstation hanya inilah tempat mereka
bermain dan memenuhi zaman kanak kanak.
Kegagalan pasukan Mesir untuk ke Perlawanan Bolasepak Piala Dunia di Afrika Selatan baru baru ini, sememangnya mengecewakan Seerha.

Gelagat masyarakat Badwi ni nampak kasar, tapi hakikatnya mereka tu peramah dan mengalu-alukan kedatangan tetamu.


Gelak tawa yang terukir di wajah jelas menunjukkan mereka teruja dengan cara yang dilaluinya, gembira dengan corak kehidupan yang diwarnai turun temurun.

Di kemah Naemah
Sungguhpun kebanyakan kanak-kanak dan remaja di penempatan itu tiada pendidikan tinggi mahupun berpeluang untuk menjejakkan kaki di bangku sekolah, mereka tetap peka dengan pergolakan dunia.


Walaupun episod kehidupan serba kekurangan, yang penting hidup tanpa dibelenggu perasaan tertekan dan ketakutan dihujani peluru dan letupan bom.

Saya sempat bertanyakan pandangan mereka tentang rakan sebaya yang berada di negara jiran mereka, iaitu Palestin, ini jawapan mereka.

Wajah ceria anak anak Badwi
"Mereka juga seperti keluarga kami juga, saya harap mereka dapat hidup dengan aman, tiada peperangan lagi. mereka juga saudara seagama saya", Seerha memberi pandangan.

Saya turut meminta pandangan rakan karib Seerha, Ahmed Adeil, "Saya mendoakan saudara kami di Palestin hidup dengan aman seperti mana saudara kami di tempat lain, jauh daripada peperangan".

Saya turut bertanyakan kepada Ahmed mengenai Malaysia, ini jawabnya,
"Ya saya tahu dan ada pernah dengar negara Malaysia, tapi saya tak tahu kat mana. Saya dengar Malaysia ramai orang Islam dan orangnya semua baik-baik".

Sememangnya Malaysia bumi bertuah, dihormati dan saya bersyukur dilahirkan di Malaysia.....

Kehadiran suria Syawal di bumi Mesir, lazimnya disambut sederhana penduduk tempatan di banding Aidil Adha.

Di mana sekalipun dan apa sekalipun hari perayaan diraikan, jangan dilupakan ada segelintir insan yang tidak dapat mengecapinya.

Bahagia sentiasa........
Kehidupan diragut tanpa belas kasihan oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan......

Kanak kanak di bumi Palestin juga ingin mengecapi kasih sayang, kedamaian dan hidup aman seperti Seerha mahpun Ahmed...........

.......serba sederhana tetapi bahagia..........

4 comments:

  1. Ya...bangga dan bersyukur menjadi rakyat malaysia,Chikk Inn...Seerha tu nampak cerdik dan matang memberikan pendapat...mungkin alam yang menjadi universiti kehidupan mereka yang menjadikan dia dan kawan kawannya matang...

    ReplyDelete
  2. Hiba dan pilu Mas rasakan bila membacanya....
    Terasa betapa bertuahnya kita yang dilahirkan di Malaysia, Syukur Alhamdudillah....
    Kebahagiaan tu ada dimana2 kan Kak Lin....bukan harta yang menjadi ukuran....
    Mas juga setuju ngan Cikgu Nurin....

    ReplyDelete
  3. “Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
    Syukur kita dilahirkan dlm keadaan aman dan selesa, moga kita lebih bersyukur lagi agar tidak dicabut nikmat tersebut oleh-Nya

    ReplyDelete
  4. Bersyukur menjadi rakyat yang menghuni di bumi sendiri..semoga Malaysia akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...