Ads by nuffnang

Sunday, November 21, 2010

"MERANGKAK DI LUBANG TIKUS...."

Selain saya ke Vietnam pada Ogos 2002, untuk program Potret Kejayaan, Dr M Shimi Shumathi, saya turut membuat paparan Misteri Nusantara di sana mengenai Terowong Cu Chi.

Pintu masuk ke Terowong Cu Chi

Tahun 1960an menyaksikan episod sedih bumi itu disimbah darah akibat kezaliman manusia sesama manusia.

Isteri kehilangan suami, anak kehilangan ayah dan tidak kurang juga ramai yang cacat angota badan kesan peperangan yang tidak dipinta.


Keratan rentas sebahagian daripada terowong bawah tanah
 Sungguhpun telah lebih 50 tahun berlalu, kesannya masih segar di ingatan penduduk setempat mahupun dunia.

Tatkala saya berkesempatan ke sana, melihatkan pelbagai jenis jerangkap samar yang dipamerkan menimbulkan perasaan terharu kepada rakyat Vietnam, bahawasanya mereka serba kekurangan ketika peperangan itu berlaku.

Jurukamera Sahidin dan Juruteknik Rahman
(Kamera Betacam tu besar dan berat tau...)
Menyedari kelemahan sendiri, mereka banyak menggunakan bahan alamsemulajadi seperti buluh untuk memerangkap dan menawan pihak musuh.

Cara pemasangan jerangkap samar ternyata berjaya mengabui mata tentera Amerika yang banyak menjadi mangsa.


Antara jerangkap samar tentera Viet Cong

Di satu sudut terpencil kawasn Cu Chi, sebuah bangsal yang usang menempatkan pelbagai bahan letupan menimbulkan rasa kurang senang kerana ia menyimpan pelbagai misteri, ada di kalangan bahan letupan dikatakan tidak meletup bila ditujukan kepada sasaran.

Terowong Cu Chi terletak kira kira 70 kilometer dari bandar Ho Chi Minh dan satu masa dulu dikatakan mempunyai keluasan kira kira 200 kilometer bersempadan hingga ke Kemboja.


Besut di hadapan petugas terowong adalah sistem pengaliran udara ke bawah tanah

Terowong pertama dibina sekitar awal 1940an dan dikatakan bagaikan satu pekan di bawah tanah, terdapat tempat bermesyuarat, hospital , tempat tinggal, dapur, stor senjata serta banyak lagi kemudahan yang tidak terduga tentera Amerika.

Kecil dan sempit

Ruang udara yang disalurkan daripada luar juga turut menggagalkan pihak Amerika untuk mengesan kedudukan tentera Viet Cong.

Tanah seperti busut anai-anai, dijadikan sistem pengaliran udara mereka.

Hidup tentera Viet Cong semasa zaman perang Amerika -Vietnam sentiasa diselubungi misteri.

Ruang yang kecil muat untuk saiz tentera yang kecil

Tidak siapa menduga di tengah semak samun, terdapat satu lubang tempat persembunyian mereka.

Kecil dan sempit, namun bukan halangan untuk terus berjuang demi tanahair mereka.

Saya dan krew sempat masuk ke beberapa terowong bawah tanah yang kedalamannya melebihi 15 kaki.

Suspen juga nak masuk.....

Ternyata ketika merangkak ke dalamnya, pelbagai perasaan mendebarkan menyelubungi diri dan bermain di kotak fikiran.

Manakan tidak, dalam kegelapan tanpa sebarang cahaya dan melalui terowong yang sempit, setiap individu tidak dapat mengagak apa yang menunggu di hadapan...

Ketika masuk di dalam satu daripada terowong, pada mulanya keluasannya agak selesa dan tatkala berada di tengah tengah menjadi semakin kecil.

Saya yang berada di belakang sekali telah mula rasa ""claustrophobia" atau lemas dan panik kerana terowong gelap dan rasa sukar untuk bernafas.

Ini terowong yang telah diperbesarkan keluasannya

Lebih lagi jurukamera dan juruteknik saya berbadan besar, dan kamera yang di bawa kamera Betacam (sekarang dah ada kamera kecil), mereka juga dan tersekat.

"Hooiii ...Sahidin... Rahman cepatlah merangkak....Chik Inn dah lemas kat belakang ni....." 


"Aku dah tersekat kat sinilah  terowong makin kecil....dengan kamera lagi...." Sahidin menjawab.....

"Man kau tolaklah Sahidin", saya menambah.

"Aku pun dah tak boleh geraklah.......aku dah rasa nak pitam", Rahman menjawab.....

Itu antara pengalaman yang sukar saya lupakan, memang rasa tidak selesa dan berdebar juga di dalam terowong terbabit....sukar dibayangkan bagaimana keadaan tentera Viet Cong ketika itu...

Perigi bawah tanah

Bagaimanapun saya dimaklumkan oleh petugas di situ bahawa keadaan fizikal tentera Viet Cong kecil dan kurus kurus belaka.....

Terowong bawah tanah itu turut digelar pihak tentera Amerika sebagai lubang tikus kerana saiz yang kecil.

Beberapa kesan letupan masih dapat dilihat dengan jelas.

Dikatakan tentera Viet Cong yang mendiami terowong ketika itu ramai terkorban dan terus berkubur di situ  kerana terperangkap di bawah runtuhan tanah.

Alhamdulillah....selamat.....

Kerana terdengar perkhabaran cerita sebegitu, tatkala memasuki beberapa terowong lain, perasaan seram turut saya rasai seolah olah ada sesuatu yang memerhatikan kami.

Mungkin kerana roh atau semangat tentera Viet Cong yang terkorban di situ masih merayau-rayau, yang membangkitkan perasaan gundah gulana kepada sesetengah pengunjung. 

Saya turut di bawa ke satu bilik bawah tanah yang dijadikan tempat bermesyuarat.

Bilik mesyuarat bawah tanah

Beberapa patung yang menyerupai tentera VietCong secara tidak langsung menimblkan perasaan seram dan jika terlalu asyik memerhatikan patung patung itu, ia seolah olah bergerak.

Mungkinkah perasaan sendiri atau ada sesuatu di sebaliknya???

Beberapa terowong telah diperbesarkan lubangnya untuk memudahkan pengunjung masuk namun terdapat juga beberapa terowong dalam bentuk asal dan tidak digalakkan untuk pengunjung masuk.



Alasan yang diberi petugas, adalah sebab sebab keselamatan.

Hidup serba kekurangan menjadikankan rakyat Vietnam ketika itu perlu bijak untuk meneruskan kehidupan.

Siapa sangka batang buluh yang kelihatan seperti batang buluh biasa sebenarnya sistem saliran mereka.

Berada d kawasan yang menyimpan pelbagai kisah suka duka dan misteri di waktu petang, sememangnya satu pengalaman lain daripada yang lain.

Namun bagi petugas di situ, walau apapun cerita daripada pengunjung mengenai rasa seram berada di beberapa lokasi mahupun kononnya patung yang menyerupai tentera tidak berada di kedudukan asal, hanyalah cerita sahaja.

Misteri tetap misteri, apa yang penting mengenang sejarah yang menyayat hati manusia sejagat.....

8 comments:

  1. kejam betul US.. huhu.. ngn negare yg lemah pon diorg nk attack.. pengecut.

    ReplyDelete
  2. US memang kejam..mereka sanggup serang negara lemah untuk nampakkan mereka tu HERO bila menang..padahal taktik mudah pun tak dapat dikesan...kagum dnegan semangat Chikk inn

    ReplyDelete
  3. salam chik inn

    ngeri bila membacanya dan rasa bersyukur yg amat2 sangat sebab tak pernah (tak mahu) melalui pengalaman sebegitu

    ReplyDelete
  4. salam cik inn..hebatkan tentera n orang2 vietnam yg berjaya mengaburi orang2 amerika ..tanpa alat2 yg canggih mereka tetap berjuang mempertahankan tanah air mereka..

    ReplyDelete
  5. Kalau ke sana..confirm saya tak masuk terowong tu..huhuhu

    ReplyDelete
  6. Seram tgk terowong tu. Tentera viet-cong bersaiz kecik mungkin sbb kekurangan sumber makanan kot.

    ReplyDelete
  7. Semangat perjuangan mereka yang nak selamatkan tanahair sendiri dari jajah oleh bangsa lain harus dicontohi. Mereka berjuang berhabis-habisan, sampaikan ramai tentera Amerika banyak fobiakan perang di Vietnam. Walaupun diorang semuanya kecik-kecik tapi pemikiran mereka besar.

    ReplyDelete
  8. tempatnya menarik sgt..
    tapi saya pon jenis claustrophobia jugak..
    mesti pikir banyak kali sebelum masuk..hmmm

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...