Ads by nuffnang

Tuesday, November 16, 2010

"PELUANG MENJADI TETAMU ALLAH......"


Memang ada kebenarannya, peluang mengunjungi Tanah Suci adalah atas jemputan Allah.

Jika "belum sampai seru" ertinya Allah belum jemput bertamu maka akan ada sahaja "aral  melintang" baik untuk mengerjakan Umrah mahupun Haji.

Catatan blog saya hari ini, mengenai mengerjakan Haji di Tanah Suci, membuatkan rasa rindu  dan teringat kenangan ketika di sana..... 

Sejak kecil saya dan mungkin rakan rakan pembaca juga ada memasang niat semoga satu hari nanti dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci...

Alhamdulillah, segalanya sudah ditakdirkan oleh Allah Yang Maha Besar....

Hajat hati mahu menunaikan Haji ke Mekah dengan duit sendiri,  tetapi apabila kakak kedua saya, mengajak serta menaja saya dan seorang lagi abang untuk menemaninya menunaikan Haji pada tahun 2006, tiada apa yang dapat saya lafazkan selain mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya dan terus bersyukur kepada Allah swt, kerana dapat menjadi tetamuNYA mengerjakan Rukun Islam kelima sebelum mencapai umur 40 tahun.

Walaupun telah beberapa kali, mengerjakan umrah tapi pengalaman menunaikan haji sangat berlainan.

Tatkala melangkah masuk ke Masjidil Haram dan ternampak saja Kaabah di depan mata, airmata dengan sendiri mencurah keluar dan rasa begitu kerdil diri saya ketika itu, namun tidak putus putus bersyukur ke hadrat Illahi...... 

Di depan Kaabah, saya munajat bersungguh sungguh minta Allah bukakan hati saya untuk kuatkan azam untuk mengamalkan syariatNYa.

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatNYA...


Dalam lautan manusia, saya menyaksikan kehebatan sifat pengasih Allah swt apabila melihat pelbagai ragam dan kerenah manusia dari pelusuk dunia ke Tanah Suci dengan satu tujuan,  untuk mendapat "Haji Mabrur".

Ibadah Haji adalah satu perjalanan manusia kembali menuju Allah Maha Mencipta.....

Kita sebagai manusia adalah hamba kepunyaan Allah, kerana dari Allah kita datang maka kepadaNYA setiap daripada kita akan kembali.

Perjalanan mengerjakan haji juga disifatkan sebagai gambaran episod kematian dan kehidupan selepas mati yang bakal ditempuh oleh kita.

Bermula dengan menanggalkan pakaian biasa dan perhiasan dunia di Miqat dan dengan hanya dibaluti kain ihram, diri menjadi setaraf tanpa beza dengan lautan manusia lain.

MasyaAllah....


Mengerjakan haji hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan janganlah riak. 

Seseorang yang ikhlas hanya mengharap pada Allah, Yang Hakiki, Yang Mutlak bukan sanjungan dan kebanggaan.

Rasulullah SAW bersabda:

"Contohlah cara manasik hajiku" (Riwayat Muslim)

Untuk mendapat Haji Mabrur, perlu mengerjakan haji sesuai dengan tatacara haji yang dipraktikkan Rasulullah SAW dan menjauhi perkara-perkara bidaah dalam haji bermula dengan niat sehinggalah haji wida.

Labbaik Kala Huma Labbaik.... 

"Ya Allah, hambaMu datang,
HambaMu datang, Ya Allah.
HambaMu datang menyahut
panggilanMu.
Ya Tuhan, hambaMu datang
menyambut panggilanMu.
Sesungguhnya segala pujian, nikmat
dan kekuasaan adalah kepunyaanMu
dan tidak ada sekutu bagiMu"......


Mudah-mudah dalam waktu terdekat ini, InsyaAllah,saya mahukan rakan rakan akan menjadi tetamuNYA di bumi Barakah Mekah dan Madina.....

Amiin......







2 comments:

  1. Salam Aidil Adha Chik Inn.
    Sungguh bertuah dapat menunaikan haji sebelum usia 40 thn. Ana juga telah dapat merasainya sebelum angka 40. Keinginan utk menjejakkan kaki di sana lagi juga semakin kuat. Tapi entah bila akan tercapai, senarai menunggu terlalu panjang dan masanya juga terlalu lama

    ReplyDelete
  2. Salam Aidil Adha Ana...
    Alhamdulillah saya dapat menunaikan Haji pada 2006.InsyaAllah tidak lama lagi Ana akan menjadi tetamuNYA untuk menunaikan Haji. Jika telah sampai "Seru dan Jemputan" sungguhpun senarai menunggu masih panjang, tidak mustahil Ana tidak perlu tunggu lama......
    Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatNYA....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...