Sepatutnya semalam saya nak menulis entri mengenai
penterjemah dan adik angkat di Simferopol, Ukraine
iaitu siapa lagi kalau bukan Amina, tetapi biasalah
kita merancang Allah menentukan.
Ada beberapa perkara saat akhir yang perlu dilakukan
dan balik apartmen dah lewat malam, maka tak dapatlah
meneruskan hajat terbabit.
Seperti dimaklumkan terdahulu, kami sampai di stesyen
keretapi Simferopol 1 April kira kira 4.15 pagi di sambut
beberapa pelajar diketuai oleh Ikhwan dan Marini.
Setelah "check in" di hotel, rehat seketika dan tepat
10.30 pagi, kami telah bersedia menunggu pelajar pelajar
untuk menemani kami bagi penggambaran di bandar
dan masyarakat setempat bersolat Jumaat.
Kami di bawa ke Masjid di tengah bandar dan ketika jemaah
menunaikan solat Jumaat, saya dan Marini yang menunggu
berhampiran pejabat masjid di datangi seorang gadis dan
memperkenalkan dirinya sebagai Amina.......
Selesai solat, kami makan tengahari di sebuah restoren
yang tidak jauh daripada masjid.
Kebetulan waktu untuk menunggu pesanan makanan
begitu "lama" sekali, maka saya penuhi dengan
perbincangan dengan Marini, Ikhwan dan Amina
mengenai jadual penggambaran di Crimea.
Sepanjang perbincangan terbabit, apa yang dapat saya
katakan Amina begitu teruja sekali dengan segala
perancangan tugasan kami mendekati masyarakat
Islam di beberapa daerah di Crimea.
|
Di restoren bersama Ikhwan, Marini dan Amina |
Kemudian barulah saya mengetahui yang dia adalah
saudara baru dan selain menjadi penterjemah, ruang
yang ada akan digunakan olehnya untuk memanjangkan
lagi silaturahim dengan masyarakat Islam di situ.
Fasih berbahasa, Inggeris, Russia, Ukraine, Urdu,
Hindustan dan sedikit "cakap Melayu", seorang yang
peramah, periang, sentiasa melemparkan senyuman
dan suka ambil gambar.(saya turut gelarnya Ratu Fotograpi)
Setiap kali kalau guna kameranya, dia sering meminta
rakan rakan mengambil dua kali.
"One more pleaseee....." perkataan kegemarannya.
Dia memang begitu gembira dipilih menjadi penterjemah
dan sering melebalkan dirinya juga sebagai
krew produksi TV3.....
|
"Wartawan pelatih" TV3 di Ukraine |
Hari demi hari ikatan persahabatan saya dengannya
makin rapat.
Maklumlah masa yang dikongsi bersama melebihi 12
ke 15 jam saban hari.
Dari situ saya mula mengenali siapa sebenarnya Amina
baik daripada pengamatan sendiri, dia berkongsi
kisah hidupnya mahupun dimaklumkan rakan rakan
rapatnya terdiri pelajar tahun akhir perubatan di Crimea
State Medical University, Simferopol.
Dilahirkan kembar pada bulan June 1987, dia dibesarkan
oleh neneknya penganut Kristian Orthodox kerana ketika
masa kecil kedua ibubapa meninggal akibat kemalangan.
Di zaman persekolahannya, dia mengaku pada peringkat
permulaannya, melabelkan agama islam adalah
agama yang ganas dan suka berperang dari pembacaan
mahupun tontonan di televisyen.
Namun tatkala berkawan dengan masyarakat tempatan
beragama Islam, hatinya mula tertarik untuk mendalami
Islam.
Dengan menghadirkan diri di persatuan persatuan
berlandaskan agama Islam, hatinya terus terbuka
untuk memeluk Islam.
Sungguhpun mendapat tentangan daripada nenek dan
adik kembarnya, dia pasrah.....
Amina melafazkan Kalimah Shahadah dan menjadi
saudara baru dalam usia remajanya....
Bagi Amina, setelah memeluk agama Islam hatinya lebih
tenang dan hidupnya dirasakan lebih tenteram.
Persepsi mengenai Islam sama sekali berbeza daripada
apa yang diketahui sebelum ini.
Dia terus mendalami agama Islam dengan menghadiri
kelas kelas agama di adakan oleh "NGO" agama islam
setempat mahupun rakan rakan lain.
Tahun kedua menuntut bidang perubatan di Simferopol,
hatinya telah dipikat oleh pelajar tahun akhir perubatan
di universiti yang sama.
Berikutan pelajar terbabit rakyat India beragama Islam,
terus menyuntingnya sebagai suri di hati, maka Amina
menerima lamarannya.
Amina berhenti daripada pengajiannya dan terus
mengikuti suaminya yang bertugas sebagai pakar
bedah di India.
Mempunyai seorang anak lelaki yang saling tidak
tumpah rupa suaminya, Amina mudah menyesuaikan
diri dengan keluarga mertuanya baik segi berkomunikasi
mahupun di dapur.
Namun sangkakan panas sampai ke petang, rupanya
salji di tengahari, (sebab negara ada salji) rumahtangga
yang dibina atas paksi cinta suci berakhir dengan
perpisahan.
Lebih 4 tahun hidup bersama....sudah ditakdirkan.......
jodoh tidak panjang.....
Mengikut adat masyarakat di kampung suaminya,
isteri yang diceraikan tidak dapat sebarang harta
termasuklah harta yang paling berharga dalam
dirinya iaitu anak lelakinya.........
Justeru pulanglah dia ke bumi Ukraine dengan
hati yang remuk.....
Nenek dan ahli keluarganya menyaran lupakan saja
apa yang berlaku dan kembali ke agama asal..
Tapi bagi Amina, sekali melangkah, dia tidak
akan pandang ke belakang kembali......
Islam adalah agamanya.......
Justeru dia mengambil keputusan untuk menyambung
pengajian awal tahun ini dan kebetulan duduk sebumbung
dengan rakan rakan lamanya pelajar pelajar Malaysia.
Rakan rakan yang memahami kisah hidupnya, terus
memberi semangat untuk dia membina kehidupan yang
baru.
Mereka turut membabitkan Amina dengan pelbagai
aktiviti terutama kelas agama bersama Kak Nabihahnya
atau Memey, Sam, Hani, Nabila, Marini, Fira, Tini, Shasha
Yana, Diana, Ayu dan ramai lagi.
|
Amina disenangi pelajar pelajar kita.... |
|
Memey sahabat karip Amina di sebelah kiri sekali... |
Semasa kami mendekati keluarga Rashid yang mengajar
di madrasah dan mempunyai tiga anak kecil, pada mulanya
dia begitu gembira bergelak ketawa dengan anak anak itu
dan seperti biasa banyak mengambil gambar.
Ketika saya dan krew hendak memulakan temuramah
di luar madrasah dengan Rashid, Shahril jurukamera
menegur dia yang duduk termenung panjang.
Saya turut menegurnya dan dia terus berlari ke arah
saya memeluk erat dan terus menangis teresak esak......
Dia rindukan anaknya........
Bekas suaminya tidak membenarkan bercakap dengan
anaknya dan untuk ke Ukraine apakan lagi.......
Saya turut sebak terus memujuk dan menasihatkan
dia terus bersabar dan terus memohon pada
Yang Maha Besar......
Ibu mana yang boleh menahan kesedihan tatkala tidak
berpeluang untuk melihat anaknya membesar di depan
mata sendiri........
Setiap kali berjumpa dengan kanak kanak, dari renungan
matanya dapat saya rasakan dia teringatkan anaknya.
Semasa satu lagi tugasan yang membabitkan aktiviti
wanita Tartar yang mempunyai dua orang cucu yang
comel, Amina mendekati kanak kanak terbabit.
Berikutan tidak mahu insiden yang sama berulang lagi,
saya meminta pelajar pelajar yang menemani kami ketika
itu membawa Amina bersiar-siar di perkarangan
rumah berhampiran.
Bukannya apa, kami kesian melihatkan keadaannya
bila dia murung......
Justeru kalau ada membabitkan kanak kanak, saya,
krew dan rakan rakannya sudah tahu peranan masing
masing.
Daripada pemerhatian dapat saya simpulkan setiap
tingahlakunya seperti suka bergambar dan suka
bercerita adalah untuk menghilangkan kedukaan hatinya.....
Dalam tawanya terselit seribu kedukaan....
Sayu dan tersentuh hati bila mengenangkan Amina...
Bagi pelajar pelajar Malaysia kita di Simferopol,mereka
bakal menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi dan
mereka adalah kumpulan terakhir di tempatkan di
Crimea State Medical University.
Sukar untuk saya bayangkan bagaimana keadaan
Amina tatkala rakan rakan rapatnya terutama
"Memey" tatkala kembali ke tanahair tidak lama lagi.
Amina memang berminat untuk ke Malaysia justeru
saya turut mengusik beberapa pelajar lelaki untuk
"mengenali" Amina lebih dekat lagi.
Insan seperti Amina perlu dibimbing terus.......
Buat Amina juga rakan rakan, renung renungkan
ungkapan yang saya terima ini untuk dikongsi
bersama......
"Kekadang kita minta kepada Allah
setangkai bunga segar, DIA beri
kaktus berduri....
Kita minta kupu kupu, diberi ulat
berbulu....
Kita sedih dan kecewa...
Namun kemudian kaktus itu berbunga,
indah sekali dan ulat itu menjadi
kupu kupu yang cantik....
Itulah jalan ALLAH, indah pada
masaNYA.....
ALLAH tidak memberi apa yang kita
harapkan, tetapi DIA memberi apa yang
kita perlukan....
Kekadang kita sedih, kecewa, terluka,
tetapi jauh di atas segalanya, DIA telah
mengatur yang terbaik dalam kehidupan
kita.....
Sesungguhnya percayalah akan janji
ALLAH kepada orang orang beriman....
Semoga kita diberi kekuatan untuk terus
beriman kepadaNYA......"
Amina, saya dan rakan rakan di sini terus mendoakan
kesejahteraan anda dan moga bertemu jodoh dengan insan
yang akan terus membimbing anda mengecapi kebahagiaan
dunia dan akhirat.....