Ads by nuffnang

Tuesday, November 30, 2010

"Kaum Hawa bagai lilin membakar diri....."

Bermula sebagai pendidik, setelah bersara, insan ini diberi amanah untuk menjaga kebajikan penduduk di sebuah pulau yang tidak jauh dari Kota Kinabalu, ibunegeri Sabah.

Tanggungjawab yang diamanahkan semenangnya besar, namun dapat dilaksanakan dengan jaya demi kebaikan penduduk kampungnya.

Tanpa mengira waktu, tatkala diperlukan khidmat dan nasihatnya, beliau terus melakukan yang terbaik.

Saya kongsikan pengalaman mendekati Saimah Salam, wanita Pertama yang menjadi Ketua Kampung di sebuah pulau di Negeri Bawah Bayu.



Saya dan Saimah di Pulau Gaya

Hebat kaum wanita .......

Untuk ke Pulau Gaya, pengunjung boleh menaiki bot penambang dari jeti Jesselton, Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 15 minit.

Pulau Gaya antara lima pulau yang terdapat dalam lingkungan Taman Tunku Abdul Rahman - T.T.A.R.

Pulau lain yang termasuk dlm T.T.A.R adalah Pulau Mamutik, Manukan, Sapi dan Sulug.
Keempat empat pulau itu menjadi lokasi kegemaran bagi yang meminati "snorkelling".

Gaya dalam bahasa bajau adalah “gayo” bermaksud besar, dan sememangnya Pulau Gaya, pulau terbesar di antara lima buah pulau di sini.


Rata-rata Pulau Gaya dihuni sukukaum Bajau di mana  kebanyakan rumah mereka terletak di atas air dan sebahagiannya di pesisir pantai.

Kejernihan air laut membuatkan saya rasa teruja untuk terjun ke laut, tapi disebabkan ada tugasan, menggeleng kepala ajalah tatkala melihat kanak kanak terjun ke laut.

Di SMK Pulau Gaya

Saimah, bekas guru di SRK Pulau Gaya, berasal dari Sembulan, Kota Kinabalu, dan telah menetap di pulau ini lebih 20 tahun.

Tanggungjawab sebagai Ketua Kampung, menuntut ibu kepada 8 anak dan 11 cucu ini berkhidmat dengan masyarakat setempat, tanpa mengira waktu.

Sungguhpun pada mula dilantik, terdapat pihak tertentu yang kurang senang dengan Saimah, namun dia membuktikan bahawa amanah yang diberi, dipikul dengan baik.

“Memanglah lumrahlah, saya dengar, mereka-mereka kata mengapa pula perempuan jadi ketua kampung. Jadi saya tak hairanlah, dan tak kisah, yang penting atas  kepercayaan saya punya ADUN, ketua-ketua bahagian,yang melantik saya dan menaruh kepercayaan yang saya boleh memimpin", Saimah berkongsi cerita.


Kanchi, saya , Saimah dan Jurukamera Sabah Kassem Mahmun


Terdapat empat buah kampung di Pulau Gaya  dengan kepadatan penduduk kira-kira 8 ribu orang.

Penduduk di bawah penyelarasan Saimah kira-kira 2 ribu dan rata-rata penduduk di sini beragama Islam.

Lazimnya, saban minggu, Saimah dan ahli jawatankuasa kampung berkunjung ke rumah penduduk setempat bertujuan meleraikan sebarang masalah .

Sebelum ini penggunaan tenaga letrik di situ, terhad dari jam 6 petang hingga 12 malam sahaja.

Saimah berusaha untuk dipanjangkan waktu hingga ke 6 pagi bagi memudahkan kanak-kanak  mengulangkaji mahupun bagi individu yang mempunyai keluarga yang kurang sihat. 

Di sebalik kejayaan seseorang, pastinya ada insan sebagai tulang belakang menjadi pembakar semangat.

Senja di Pulau gaya

Selain AJK kampung yang sering memberi kerjasama, Kanchi Abdullah, suami Saimah sentiasa membantu terutama membabitkan kebajikan penduduk.

Dia tidak menafikan turut menerima tempias pihak tertentu yang tidak puashati dengan perlantikan Saimah.
  
“Adalah juga cakap, komen yang tak elok kita dengar, konon kenapa seorang wanita dilantik sebagai ketua kampung. Mereka bercakap di depan saya. Saya kata ada Perdana Menteri dan Presiden pun ada  di kalangan wanita, seperti Presiden di Filipina, dan menteri kita pun ramai jadi menteri, kenapa pulak wanita tidak boleh jadi ketua kampung". Lama-lama, mereka boleh terima. Alhamdullilah, bahkan Saimah merupakan ketua kampung wanita yang pertama di bahagian Putatan”.
 
Sebagai suami yang sering memberi semangat kepada isterinya, Kanchi adalah individu penting di SMK Pulau Gaya.

Lebih 12 tahun, dia memegang jawatan sebagai Pengerusi PIBG di sekolah itu, atas kewibawaannya.
Sekolah itu juga telah memenangi berapa anugerah kecemerlangan pendidikan dan tahun 2009 terpilih sebagai Pusat Sumber terbaik  di Sabah kategori Luar Bandar. 

Untuk menarik pengunjung ke Pulau Gaya, Kanchi turut melontarkan saranan kepada pihak PIBG membina 2 buah chalet, berhampiran sekolah,di mana secara tidak langsung, menambah dana persatuan mereka.

Hanya Jauhari sahaja yang mengenal Manikam.

Warga emas di Pulau Gaya

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin Marcus Mojigoh tidak menafikan Saimah seorang pemimpin yang bersemangat waja dan bagaikan lilin membakar diri demi menerangi orang di sekelilingnya.

Sebelum menjadi ketua kampung, jiran tetangga sering meminta pertolongan dari Saimah dan suaminya.

Kebolehannya memang ada. Orang yang sungguh proaktif. Dia kita tidak lihat sebagai wanita, kita lihat dia sebagai seorang insan yang boleh diharap, boleh memimpin masyarakat di kawasan perkampungan dan dihormati oleh orang, penduduk setempat.Itu satu kriteria, keupayaan dan satu kreadibiliti seorang pemimpin yang aktif sekali dan sungguh dihormati. Ini memang dr dulu, seblm jadi ketua kampung pun, ramai orang datang berkunjung dengan beliau”,Datuk Dr Makin Marcus menjawab pertanyaan saya mengenai Saimah.

Daripada pengamatan saya sendiri sepanjang penggambaran 2 hari di Pulau Gaya, Saimah, seorang pemimpin yang tidak lokek dengan senyuman, bertanggungjawab dan sentiasa mendampingi masyarakat. 

Sebagai ketua kampung, Saimah mengharapkan Pulau Gaya dibangunkan sebagai pusat peranginan yang turut menjadi mercu tanda kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

Pihak tertentu perlu meniti pelan pembangunan yang menarik, agar mendapat faedah kepada semua lapisan masyarakat Negeri Di Bawah Bayu.

Semoga, satu hari nanti,  Pulau Gaya bakal dicoret sebagai lokasi yang menggamit ramai pengunjung…….

Tangan yang mengoyangkan buaian tidak mustahil juga boleh menggoncangkan dunia......

Kaum Hawa sememanganya pemimpin yang baik bermula dengan urusan rumahtangga hinggalah ke urusan lain yang dipertanggungjawabkan.....

"Lakukan yang terbaik kepada orang lain sebagaimana kita inginkan orang lain melakukan yang terbaik kepada diri kita......."

 
 
 

6 comments:

  1. makcik ni memang patut di contohi..
    walaupun perempuan, tapi itu semua bukan penghalang bagi beliau..
    good la makcik nie :)

    ReplyDelete
  2. kehebatan wanita skrg setanding dgn lelaki...salute dgn makcik nie

    ReplyDelete
  3. makcik ni memang hebat. amanah menjalankan tanggungjawabnya. & kata2 kak lin yang kat bawah sekali tu memang hebat.

    ReplyDelete
  4. Salam nabil_potter, Wati dan Azmask...

    Makcik Saimah memang seorang pemimpin yang berwibawa dan membuktikan bahawa kaum wanita setanding dengan lelaki.

    Yang penting bila diberi kepercayaan dan tanggungjawab, lakukan dengan ikhlas serta bersungguh sungguh. InsyaAllah, Allah akan permudahkan segala tugasan kita.

    Kira ingatan itu buat diri saya sendiri juga buat rakan -rakan lah....

    ReplyDelete
  5. iyer ramai kaum wanita yang berkorban segala-galanya untuk anak-anak, untuk family, untuk masyarakat... sampai dirinyer pun turut terkorban sama..

    ReplyDelete
  6. adalah sesungguhnya..kaum hawa mmg hebat masa kini..

    bagus..bagus..!

    good job Makcik Saimah!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...