Ads by nuffnang

Tuesday, November 23, 2010

"MULUT JANGAN CELUPAR....."

Jun 2009, saya sempat singgah di sebuah rumah yang terletak di Kampung Baginda, kira kira 15 kilometer dari Pekan Keningau, Sabah Negeri di Bawah Bayu.

Dari jauh saya lihat, ia nampak seperti kediaman lain di sini, tetapi sebaliknya ia mempunyai tarikan tersendiri.

Batu tersusun adalah batu gong

Sejak 2 tahun lalu, di situ berdiri megah sebuah mini muzium yang menempatkan pelbagai koleksi batu-batuan khususnya dari sekitar Keningau.

Mungkin masih ramai yang ingat satu masa dulu, Pekan Keningau menjadi sebutan ramai kerana kejadian Ribut Grey pada 26 Disember 1996 yang meragut beratus nyawa. 

Saya berkesempatan berjumpa dengan Rohaimin Ariffin  44 tahun, ayah kepada 7 cahayamata, pemilik galeri Batu Unik Sakag Rohaimin.


Batu yang ada tulisan jawi

Minat Rohaimin terhadap koleksi batu unik bercambah sejak zaman remaja lagi.

Bersama Rohaimin dan Jurukamera di Sabah - Pak Kassem

“Sebenarnya memang minat sejak kecil lagi. Cuma dulu saya mengumpul batu hanya untuk ditengok-tengok sahaja. Lepas tu saya simpan kemudian hilang begitu sajalah. Sehinggalah saya kerja di Kota Kinabalu pada tahun 1996. Awal tahun tu, saya menemui sebiji batu yang ada huruf-huruf jawi. Sejak dari itulah saya mengumpul semula sehingga sekarang. Dan bila saya berpindah ke daerah Keningau, jadi dah kira-kira 13 tahunlah”, Rohaimin memberitahu saya.




Sungguhpun tiada latarbelakang dalam bidang geologi, Rohaimin menambahkan ilmu mengenai batu-batuan daripada pembacaan, bertukar-tukar pandangan sesama rakan mahupun melayari internet.



Pelbagai koleksi batu pelik

Bagi peminat setia koleksi batu, mereka lebih menghargai nilai seni  dan keindahan bentuk batu kerana hanya jauhari mengenal manikam.

Bentuk macam wajah ikan dan monyet belanda

Jika tahun lepas Rohaimin mempunyai lebih 500 batu-batuan pelbagai jenis dan bentuk, saya rasa kini lebih daripada 700 batu batuan menghiasi galerinya.



Rohaimin turut menggalakkan kaum ibu yang menganggotai kumpulan muzik tradisi sukukaum Dusun Liwan, mencari nada pada batu gong.




Bagi pegawai kerajaan itu, tidak mustahil, satu hari nanti, kumpulan muzik di kampungnya, turut menggunakan batu batu dalam koleksinya sebagai mengganti nada gong. 

Selain dikunjungi masyarat tempatan, galeri ini juga telah dikunjungi beberapa pelancong dari Jepun, Canada dan Sweden yang kagum melihat keunikan batu di sini, khususnya batu berbentuk wajah-wajah haiwan.

Lapan puluh peratus batu di galeri itu adalah usaha Rohaimin sendiri yang melapangkan masa di hujung minggu mencari di sungai sekitar Keningau.

Selebihnya, diberi saudara mara dan sahabat handai yang turut memberi semangat kepada Rohaimin meneruskan usaha mengumpul batu-batu unik.

Penggambaran di Sungai Keningau antara lokasi Rohaimin
mencari batu-batuan
Sungguhpun terpaksa mengharungi sungai yang dalam dan deras, tiada erti penat dalam kamus hidup Rohaimin, demi untuk mencari batu yang mempunyai keunikan tersendiri.

Dia juga mengalu-alukan kedatangan pakar geologi ke galerinya, untuk membuat kajian terperinci ke atas koleksinya.

Rohaimin tidak terkecuali mengalami peristiwa pelik ketika mencari batu di pinggir hutan.

Namun ia tidak melemahkan semangatnya, bagi Rohaimin pengalaman yang diperolehi semasa pencarian itu, jagalah pertuturan dan jangan tegur tatkala berhadapan dengan perkara pelik.




“Ketika kami turun ke sungai dekat Apin-apin, saya terhidu bau yang paling busuk seolah-olah najis ayam yang dibakar.Saya tanya anak-anak dan kawan, mereka kata mana ada bau. Cuma ada satu orang kampung tu, bila saya cakap begitu, dia diam sahaja. Bila sudah sampai di darat, baru dia tegur saya, lain kali kalau masuk hutan mulut tu jangan celupar”.

Ekspedisi untuk mencari batu di Apin Apin tidak membuahkan hasil.

Orang tua tua selalu berpesan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.......

Ia juga ingatan buat semua, bila bercakap jangan ikut sedap mulut aja....


Selain koleksi batu, di sekitar kediaman rumah Rohaimin turut dihiasi tanaman bonsai.

Serpihan bom lama antara koleksi Rohaimin

Beberapa pohon bonsainya juga sering memenangi pertandingan yang diadakan.

Antara koleksi bonsai Rohaimin

Setakat ini Rohaimin telah membelanjakan lebih 30 ribu ringgit untuk menaiktaraf galeri batu dan kawasan rumahnya.

Dia bercadang untuk menjadikan kampung kelahirannya sebagai satu daripada lokasi wajib dilawati, jika pengunjung bertandang ke Keningau.



Bagi Rohaimin, jika ada kemahuan, pasti ada jalan...

Bermula dengan hanya hobi di waktu lapang, kini dengan terbinanya Galeri Batu Unik, ia bukan saja menjana ekonomi tambahan buat Rohaimin tetapi juga penduduk tempatan, di samping menghargai pelbagai keindahan ciptaan Illahi. 


 


 

5 comments:

  1. Hobi yang dapat membuktikan lagi kekayaan Yang Maha Kuasa....

    ReplyDelete
  2. Suspen pulak ... dah macam masuk Episod Misteri Nusantara pulak. Bau apakah itu Chik Inn, nak gak tahu. Tanya kat sini tak consider celupar kan... kan ... kan :D

    ReplyDelete
  3. Hobi yang baik. Dapat berkongsi koleksi dengan orang lain.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...