Botswana yang mempunyai keluasan melebihi 580 ribu kilometer persegi, antara negara Afrika yang mempunyai koleksi hidupan liar yang mempunyai tarikan tersendiri.
Delta Okavango lokasi 4 badak air dilahirkan |
Misi membawa pulang empat badak air mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya hidupan liar diterbangkan dari negara asalnya ke Malaysia dengan menggunakan pesawat tentera C130H.
Pada 20 September 2001, seramai 23 ahli misi translokasi terdiri daripada saya dan jurukamera Marzuki Razali, menyertai misi translokasi badak air ke Botswana.
Ia turut disertai kakitangan Paya Indah Wetlands, Tentera Udara DiRaja Malaysia, wakil Wisma Putra dan wakil daripada akhbar News Straits Times.
Delta Okavango , antara habitat semulajadi badak air di Botswana dan dikenali sebagai "kubu" oleh masyarakat tempatan.
Badak Air tidak menyerang kecuali bila dirasakan dirinya terancam |
Ia dilatih membiasakan diri untuk masuk ke kandang dengan meletakkan umpan makanan seperti daun alfafa, di waktu petang.
Empat ekor badak yang ditangkap di antara Jun dan Julai 2001, bukanlah satu misi yang mudah.
Suka hidup berkumpulan |
Sungguhpun tergolong dalam kategori maun atau makan tumbuh tumbuhan, ia akan menyerang sesiapa yang difikirkan akan mengancamnya dan boleh membawa maut.
Justeru setiap warga Hidupan Liar Botswana perlu berhati-hati ketika menjalankan tugas.
Seramai 14 warga hidupan liar Hutan Simpan Gabarone terbabit dan antara yang menyaksi dan turut terbabit menangkap badak air adalah Pearl Galebotswe, selaku penolong pegawai hidupan liar yang telah berkhidmat lebih 5 tahun.
"Saya antara yang terbabit menangkap badak air ini. Apa yang kami lakukan, kami meninjau lokasi d mana badak air suka berendam dengan menggunakan helikopter. Setelah kenal pasti, juruterbang akan terbang rendah dan secara tidak langsung, badak badak akan keluar dari air".
"Doktor haiwan kami sudah bersedia dengan senapang dan ubat pelali di darat dan akan menembak badak".
Doktor Kevin Lazarus, pengarah serta doktor haiwan di Zoo Taiping yang mewakili Paya Indah tidak menafikan badak air hanya menyerang mangsa jika ia terasa dirinya terancam.
"Badak air hidup berkumpulan dan kebanyakkan masanya diketuai badak betina. Badak jantan hidup berseorangan atau berdua-dua tetapi berdekatan dengan keluarganya. Ia masuk ke kumpulan bila hendak mengawan saja".
"Kita dimaklumkan bahawa badak air paling merbahaya disebabkan kalau orang terjumpanya di kawasan yang tidak sesuai, ia akan menyerang dan memberi gigitan yang boleh mencederakan", Doktor Kevin memberitahu saya semasa dalam C130H.
Misi kami bermula dengan menaiki pesawat TUDM di Lapangan Terbang Subang.
Pesawat tentera bukanlah seperti pesawat komersial yang biasa kita naik.
Tiada kerusi yang empuk, tiada tandas yang sempurna, bagaimanapun keluasannya boleh membuat anda bermain badminton di dalamnya kerana belum dihuni tetamu istimewa dari Botswana.
Setelah lebih 8 jam penerbangan, kami transit dan bermalam di Seychelles Island.
Sebuah pulau yang indah dengan airnya yang jernih dan mempunyai kaitan dengan Sejarah Negeri Perak.
Ingatkah anda dengan pembunuhan Residen British di Perak JWW Birch? Raja Abdullah yang didakwa bersubahat dengan pembunuhan Birch telah dibuang daerah ke Pulau Seychelles.
Benarlah kata Laksamana Hang Tuah, "Takkan Hilang Melayu Di Dunia".
Ketika di Kepulauan Seychelles, saya dimaklumkan terdapat perkampungan keturunan bangsa Melayu, tetapi kerana kesuntukan masa, kami tidak dapat ke lokasi yang dimaksudkan.
Keesokan harinya pesawat kami sepatutnya berlepas kira-kira jam 9.30 pagi tetapi tertangguh beberapa jam kerana tidak mendapat kebenaran melalui ruang udara Madagascar.
Photo di akhbar ketika kami menunggu di dalam C130H kebenaran melintasi ruang udara Madagascar |
Ia berikutan kejadian 11 September di New York yang baru berlaku, justeru pesawat yang melalui ruang udara negara mereka terutama pesawat bukan berbentuk komersial perlu mendapat kelulusan pelbagai pihak.
Setelah sampai ke Lapangan Terbang Sir Seretse Khama, Gabarone, kami terus ke hotel dan berehat setelah lama menungg di Lapangan Terbang Seychelles Island dan berada di pesawat lebih daripada 10 jam.
Selesai makan malam, kami mengadakan perbincangan untuk misi seterusnya, dan kata sepakat dibuat, esok jam 8 pagi kami akan terus ke Hutan Simpan Gaborone.
Pintu masuk Hutan Simpan Gaborone |
Gabungan Kerjasama Selatan Selatan yang tidak kira sempadan jelas tergambar dengan kesungguhan setiap petugas yang ingin misi ini berjaya.
Sampai saja kami ke kurungan sementara empat badak itu, saya terus menjenguk di tepi kurungan dan berkomunikasi dengan badak-badak tersebut.
Saya memulakan dengan salam kemudian terus berkomunikasi sungguhpun jarak antara saya dan mereka agak jauh...
"Badak oh badak, saya datang dari jauh ada misi nak bawa awak semua balik ke Malaysia, jadi jangan nakal nakal, jangan buat hal dan menghampakan harapan kami semua tau....".
Bunyi macam kelakar, tapi saya rasa, bagi yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, ikan, mungkin perkara biasa berkomunikasi dengan haiwan peliharaan.
Saya berpesan pada anak anak badak itu kerana jika ia tidak berkelakuan baik sepanjang penerbangan ke Malaysia, ia akan dilepaskan ke laut kerana keutamaan adalah nyawa penumpang.
Di belakang kami tempat kurungan sementara 4 ekor badak air |
Sungguhpun badak badak air itu di anggap masih kecil berumur di antara 1 dan 2 tahun, ia tetap boleh menyerang dan mengganggap manusia sebagai musuhnya.
Untuk merakamkan aksi badak badak dalam kurungan sementaranya, kami perlu memanjat tunggul pokok dan batang besi kerana kami tidak dibenarkan masuk ke kewasan kurungan.
Comelnya dia.... |
Setiap badak mempunyai kandang besi sendiri berukuran 1.2 meter lebar, 2.4 meter panjang dan 1.5 meter tinggi yang menjadi rumah sementara dalam translokasi dari Botswana ke bumi Malaysia.
Justeru Dr Kevin dan Pearl memastikan anak anak badak selesa di dalam kurungan masing masing.
Sebahagian daripada ahli misi Translokasi Hippo |
Kira kira 11 malam, kami dimaklumkan tiga ekor anak badak yang bersaiz sederhana telah masuk ke kandang masing masing.
Bagaimanapun yang paling besar masih berdegil.
Di kedinginan kira kira jam 1 pagi dengan suhu 10 darjah celsius,sama sekali tidak melemahkan semangat dan kami bergegas semula ke Hutan Simpan Gabarone.
Ternyata anak badak air bersaiz besar tidak menampakkan ciri-ciri mengikuti yang si kecil.
Terdetik di hati saya, mungkin si besar belum bersedia meninggalkan bumi tumpah darahnya?
Pelbagai cara digunakan untuk mengumpan si besar, tapi masih tidak menampakkan kejayaan.
Setiap langkah diatur dengan perlahan dan senyap agar tidak menakutkan si badak besar mahupun penghuni lain
Di hati kami turut berdebar, manakan tidak, misi menunggu si badak air tidak berhasil tetapi takut bertukar bertemu si badak sumbu.
Setelah menunggu lebih 4 jam, kami terpaksa akur dengan kedegilan si besar dan pulang ke tempat penginapan dan berharap esok akan membuahkan sesuatu.
Pearl Galebotswe yang berdiri di sebelah saya |
Kira-kira 10 pagi, kami kembali ke Hutan Simpan Gabarone dan ternyata si besar masih tidak mahu masuk ke kandang.
Pelbagai cara digunakan kakitangan Hidupan Liar Botswana dan tentera.
Setelah berkali kali dipujuk oleh kakitangan Hidupan Liar dan kami, akhirnya si besar akur untuk masuk.
Di atas lori dua daripada 4 kandang telah dinaikkan sebelum diiringi ke Lapangan Terbang Sir Seretse Khama |
Mungkin si besar memahami yang ia harus bersama tiga lagi badak air lain untuk berhijrah ke Malaysia dan menjalani kehidupan baru.
Ubat penenang siap menunggu untuk disuntik dan sebagai haiwan yang sensitif, ia perlu diberi dengan sukatan yang betul.
Kandang badak air yang diangkat ke atas lori dilakukan dengan berhati hati agar tidak mencederakan anak badak yang berlaga di dinding kandang mereka.
Lori yang mengangkut anak badak diiringi kereta peronda polis....kiranya memang macam VIP lah....
Di pesawat C130H, krew TUDM sibuk dengan tugas masing masing, maklumlah penerbangan ke Malaysia memakan masa yang lama.
Prosedur pertama, sebelum memasukkan kandang adalah mengukur berat kandang beserta anak badak air.
Dari itu barulah dikenalpasti kandang mana akan mengisi petak pertama, kedua diselangkan dengan tangki air dan seterusnya kandang ketiga dan keempat.
Lebih 70 tenaga kerja berhempas pulas dalam melaksanakan tugasan itu.
Kira-kira 3 jam proses dilakukan dan tibalah masanya, ahli misi meninggalkan bumi Botswana.
Dalam C130H dengan satu daripada kandang dan selepas berkomunikasi dengan si badak comel |
Jika sewaktu perjalanan pergi, ruang di pesawat luas dan kami bebas bergerak, kini senarionya telah berubah.
Kami terpaksa berkongsi ruang dengan tetamu istimewa itu yang mengambil tiga perempat daripada ruang pesawat.
Bagi saya, sempit pun sempitlah, yang penting selamat sampai ke tanahair.
Sektor pertama penerbangan dari Botswana ke Antananarivo, Madagascar mengambil masa kira kira 5 jam bersama Mejar Abduk Rahim Ahmad yang juga ketua misi translokasi badak air itu.
Sebagai hidupan liar yang sebati dengan air, badak air tidak boleh dibiarkan tanpa disirami air.
Vincent Arokiam, pegawai teknikal Paya Indah memastikan setiap kali di dapati anak badak air terjaga, dia akan menyiram dan memberi minuman.
Sesekali saya juga turut menjenguk dan berpesan pada makhluk Allah itu supaya jangan nakal....
Selepas transit di Madagascar, kami singgah semula di Secyhelles dan krew TUDM kumpulan kedua mengambilalih perjalanan.
Tiada kerusi empuk, di situ duduk dan di situlah saya tidur. Satu daripada catatan kanvas kehidupan saya sebagai warga TV3. |
Sungguhpun telah disemburkan pewangi di pesawat, namun bau si badak air dengan najisnya yang menyelubungi ruang pesawat, menyusuk ke hidung dan terpaksalah juga dihidu....
Dari Seychelles, sektor penerbangan transit pula di Mali, Maldives untuk mengisi minyak lagi.
Bagi ahli misi translokasi, ia satu catatan pengalaman yang sukar dilupakan.
Selamat Datang ke Malaysia.... |
Tepat jam 5.15 pagi, 26 September 2001,maka sampailah kami di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 45 minit lebih awal dari waktu yang ditetapkan.
Sungguhpun penerbangan mengambil masa lebih 28 jam termasuk 3 kali transit, masing masing pun dah bau macam badak, namun kami tersenyum lega kerana selamat sampai dan anak anak badak air juga selamat dan terus menghuni di bumi bertuah Malaysia.
Kerjasama daripada Tentera Udara DiRaja Malaysia, memantapkan lagi misi itu.
Kira-kira 10.30 pagi, dengan rasminya anak anak badak air itu menjadi penghuni tetap Paya Indah Wetlands.
Tasik dibuat khas untuk haiwan yang gemar berendam itu, berukuran 1.2 hektar dengan kedalaman kira kira 4 hingga 5 meter.
Sungguhpun ia menetap di Paya Indah, tetamu yang diterbangkan khas dari benua Afrika ketika itu, menjadi anak angkat Telekom Malaysia selama 2 tahun.
Itulah wujudnya BlueHyppo....
Kalau rakan rakan masih ingat, kalau tidak silap saya, iklan raya 2002 Telekom Malaysia, karektor BlueHyppo yang ingin balik kampung menaiki pesawat Mas, pesawat tidak boleh berlepas, kerana berat dan penumpang yang berat itu adalah BlueHyppo.
Pramugari berjumpa dengan Bluehyppo dan memohon untuk turun kerana ia tidak boleh menaiki pesawat terbabit.
(Daahhh.....si badak tu datang naik pesawat C130H, memang tak sesuailah naik pesawat komersial)......akhirnya ia gunakan perkhidmatan TM menghubungi keluarganya....
Kembali kepada empat anak-anak badak air itu, benua Afrika ditinggalkan buat selama-lamanya namun ia satu penghidupan baru di Malaysia.
Pearl juga mengikuti penerbangan ke Malaysia sebagai pegawai pengiring.
Dia terharu meninggalkan anak anak badak airnya, namun kegembiraannya tetap ada kerana dia tahu badak badak air itu akan sejahtera di Paya Indah.......
badak2 tu masih hidupkah di wetland?
ReplyDeleteSaya dimaklumkan seekor telah meninggal beberapa tahun lalu.
ReplyDeleteChik Inn...baru tau..asal-usul bluehyppo TM tu...thanks for the info
ReplyDeletesalam cik inn..seronok makcik baca..bertuah cik inn dapat mengembara dan mendapat pengalaman berharga..
ReplyDeletemakcik boleh bayangkan b/mana suasana dalam flight begitu lama..
dalam flight yg selesa pun dah terasa penat inikan dlam flight begitu..syabas cik inn..
tunggu cerita2 lain..
Terima kasih Makcik kerana sering memberi sokongan pada blog saya. Memang banyak pengalaman yang hendak dikongsi...
ReplyDeleteBuat Madam Casper, kiranya anak badak air tu lah maskot TM BlueHyppo masa tu....comel sangat...
Salam Cik Inn, saya salah seorang dari crew yang telah terlibat dalam operasi tersebut... memang banyak kenangan... Baru baca blog Cik Inn... Sedih dengar ada sekor badak air dah mati... Saya pernah bawa famili untuk tengok badak-badak air tu selepas di tempatkan di paya indah wetlands...
ReplyDeletesalam...sy anak salah seorang pekerja wetland yg bertanggungjawab menjaga hyppo pada ms tu....ayah sy mmg sedih bila seekor dari badak2 tu mati....yang 2 ekor lagi masih hidup hingga sekarang...
ReplyDeleteAssalammualaikum Cik Mazlin..
ReplyDeleteSaya baru dapat baca ttg ini bila ada yg membuat copy paste dr blog ini. Bagaimanapun saya rasa ada sedikit kesilapan pada ejaan nama ketua misi translokasi ini. Terimakasih.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteBerapa ekor lagi sampai hari ini?
ReplyDeleteHuhu, bila baca nukilan Pn Mazlin, teringat balik kisah yang tak dapat dilupakan ini... memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan... sebesar-besar C-130H masa on ground di lapangan terbang Antananarivo, Madagasca bergoyang-goyang jugak bila si badak gelisah dalam kandang kecilnya...
ReplyDelete