Ads by nuffnang

Saturday, October 23, 2010

"KEHILANGANNYA TIADA PENGGANTI, PEWARISANNYA KEKAL ABADI"

Cuaca hari ini agak mendung dan sebelah petangnya hujan, membuatkan saya rasa sesuai untuk memanjakan diri dengan melepak di atas sofa, sambil meriba laptop.

Saya melihat beberapa photo sepanjang tugasan dan tatkala saya klik photo seterusnya, tetiba hati saya sayu.

Allah lebih menyayanginya.....Daripada Allah kita datang, kepadaNYA kita kembali......

Pemergiannya bukan sahaja diratapi ahli keluarga dan sahabat handai terdekat, malah peminatnya akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang Aidilfitri mahupun Hari Kemerdekaan. 

Alfatihah .....buat Arwah Yasmin Ahmad.

Gambar kenangan bersama pembikin filem tersohor - Yasmin Ahmad

Hasil kerjanya bukan sahaja mendapat pujian di negara kelahirannya sendiri, juga mendapat perhatian negara luar.

Ini kerana suntikan elemen masyarakat majmuk tanpa menunjukkan sebarang kemewahan dalam karyanya menbuatkan nama Yasmin melonjak, meraih perhatian pelbagai kaum.

Garapannya membuatkan penonton menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia.

Yasmin dilabelkan sebagai ikon kepada generasi baru dalam penghasilan iklan mahupun filem.

Pemergian Yasmin meninggalkan kesan yang mendalam kepada kedua ibubapanya Enom Yon dan Ahmad Hashim.

Krew Majalah 3 di bawah penyelarasan saya ketika itu, di tugaskan untuk menerbitkan satu program khas "Pewarisan Yasmin Ahmad" untuk siaran 1 Ogos 2009, beberapa hari selepas Yasmin di jemput Maha Pencipta buat selama-lamanya.

Kami ditugaskan untuk menemubual ahli keluarga dan sahabat handai Yasmin.

Kata kata yang dipetik daripada ibunya Enom Yon, membuat saya dan warga Majalah 3, bergenang air mata.

Sebahagian temuramahnya turut kami paparkan dalam rancangan khas itu. Hayati temuramah Enom Yon......

"Pemergian dia sebagai satu permata yang hilang. Pada saya dia tu satu anak yang "one in million". Saya tak fikir, saya tak tau ada orang merasa yang sama kehebatan anak seperti Yasmin.Seorang yang patuh, anak yang sentiasa ingat kat mak bapak. Apa pun mak bapak dulu", Puan Enom terhenti seketika sambil mengesat airmata.

"Adik-adik dia pun, kalau saya marahkan adik adik dia, nanti dia panggil adik dia. Dia kata, All my life I've been making mak happy, so I don't want you to make mak cry.So thankful for everything.Apa pun dia mesti ingatkan bapa dan saya".

"Dia ada darah tinggi tapi dia makan ubat, then biasalah tak ada tanda dia sakit. Dia sihat, ceria sentiasa. Kalau pegang tangan selalu cakap we go together ok. Kalau boleh sini kubur mak, sini orang dan sini abah. We want to be together ok".

"Ada dia kata, saya doakan mak mati dulu. Why?Tanya saya,  supaya saya dapat sempurnakan mak, supaya saya dapat jaga mak sampai mak tak ada. Kalau saya pergi dulu, siapa yang akan jaga mak....."

"Dia jaga mak bapak, jaga hati mak bapak. Rasa sayalah tak ada tolak banding. Dia tak pernah kecilkan hati mak bapak, tak pernah, tak pandai naikkan suara. Naik suara pun tak berani. Dia dah 51 tahun, kalau saya marah dia, dia diam, dia menangis kat situ.Then the next minute, dia datang jumpa mak dia, sembah dan cium mak dia minta ampun".

Menurut Puan Enom, Yasmin sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibubapanya kerana  bagi Yasmin, kedua ibubapanya adalah segala-galanya.

Sesibuk mana pun, Yasmin pasti akan menelefon bertanyakan kabar kedua ibubapanya. Dan sesibuk mana pun beliau di lokasi penggambaran, masuk waku solat, dia akan menunaikan solat terlebih dahulu.

Pernah ketika saya dan krew produksi BERSAMAMU yang terdiri daripada Khalijahwati Kassem, Noraini Tahir dan Mazliffah Ismail bertandang ke pejabatnya di Leo Burnett untuk berbincang, beliau memohon untuk mengerjakan solat asar terlebih dahulu.

Masih tersemat di kotak memori saya dengan kata-katanya,

"Kerja sesibuk mana pun, jangan lupa pada Allah tau.......tu ada teh, minum dulu ya adik adik.....", dengan melemparkan senyuman.

Selesai solat, beliau duduk di sebelah saya dan kami berbincang mengenai produksi Bersamamu.

Legasinya akan terus diingati dan bakal menjadi landasan bagi generasi baru untuk mengikuti jejak langkahnya kelak.

Pemergian Yasmin Ahmad sukar dicariganti......

Perginya pembikin filem tulen tu akan terus diingati....

Pewarisannya kekal abadi......

Al Fatihah.......

1 comment:

  1. Al fatihah untuk arwah. Btw Chik Inn tukar la layout blog. Tak cool la gambar buku-buku kat tepi-tepi ni. Hehehe.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...