Ads by nuffnang

Saturday, October 30, 2010

LASONG DAN LOYANG TERUS TERPINGGIR........

Catatan hari ini, saya kongsikan pengalaman ketika membuat liputan segmen Perspektif Majalah 3 untuk siaran 26 Januari 2002. 

Wanita Bidayuh antara sukukaum pribumi Sarawak Bumi Kenyalang yang berusaha mengekalkan aksesori tradisional mereka.

Segelintir wanita warga emas Bidayuh masih memakai barangan perhiasan dikenali sebagai "lasong" dan "loyang".

Lasong dipakai di bahagian betis manakala loyang dipakai dipergelangan lengan, adalah lingkaran atau lilitan dawai tembaga yang menjadi kebanggaan wanita Bidayuh sejak beratus tahun.

Mereka menganggap lasong dan loyang boleh menyerlahkan kecantikan pemakainya, walaupun pada hakikatnya pemakaian perhiasan itu agak menyukarkan pergerakan.

Tatkala dimaklumkan wakil TV3 Sarawak, Haji Basri Mohamed, bahawa kurang 15 wanita Bidayuh di Kampung Semban,yang masih memakai lasong dan loyang, krew Majalah 3 terpanggil untuk merakamkan kisah hidup mereka.

Dari Kuching ke Kampung Bengoh, Hulu Padawan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.

Kami meletakkan kenderaan di Kampung Bengoh, laluan masuk ke Kampung Semban dan memulakan ekspedisi jam 10 pagi.


Sesi temuramah bersama Nyipon, Peluk dan Anyu
Tiada pengangkutan lain untuk sampai ke Kampung Semban, kecuali berjalan kaki meredah hutan, mendaki dan menuruni bukit serta menyeberangi sungai. 
Perjalanan kami disulami hujan yang secara tidak langsung melambatkan pergerakan kerana laluan denai yang lecak dan licin.

Beberapa kali saya dan krew tergelincir.

Di sebalik gunung ganang setinggi hampir 3 ribu meter itu, tersimpan satu tarikan bumi Sarawak yang bakal berkubur dimamah arus kemodenan.

Namun daripada segi perhubungan untuk ke lokasi dituju, masih di takuk lama.

Jambatan gantung yang diperbuat daripada buluh benar-benar mencabar dan mendebarkan, kami terpaksa berhati-hati meniti dua batang buluh yang licin sepanjang 70 meter.

Kami dimaklumkan sungguhpun air sungainya mengalir lesu tetapi mempunyai kedalaman di antara dua ke tiga meter.

Walaupun terdapat dua batang buluh di kiri dan kanan sebagai pemegang, ia bukanlah penawar kepada debaran kami kerana terdapat juga insiden penduduk setempat terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimana goyangnya jambatan gantung itu, begitu juga kocakan naluri kami.

Dua buah jambatan gantung berukuran sama terpaksa ditempuh dan selainnya kurang daripada 20 meter.

Bagi penduduk Kampung Semban perjalanan dari Kampung Bengoh ke kediaman mereka mengambil masa kurang dari 5 jam.

Alah bisa tegal biasa, laluan melintasi 12 buah bukit sudah sebati dengan jiwa mereka berbanding kami yang bergerak perlahan kerana keletihan.

Akhirnya setelah berjalan hampir lapan jam, sampailah ke desa terpencil Kampung Semban yang semua penghuninya telah berada di teratak masing-masing sungguhpun di ketika itu senja baru saja melabuhkan tirai malam.
Nyipon dan anaknya Peluk
Kami bermalam di rumah Bujus anak Kian, Ketua Kampung yang mempunyai beberapa bilik tambahan untuk tetamu.

Malam pertama, kami keletihan, mee segera yang di bawa menjadi makan malam dan terus melelapkan mata.

Tanpa hawa dingin mahupun kipas, keadaan sekeliling sememangnya dingin kira kira 15 darjah celcius dan kami terus dibuai mimpi.

Keesokannya, menyedut udara pagi di Kampung Semban, menyegarkan.

Kicauan beburung dan unggas rimba bagaikan satu melodi indah.

Jumlah penduduk di sini kira kira 500 orang yang rata-ratanya adalah golongan tua dan kanak-kanak.

Kebanyakan rumah dibina berasaskan buluh, tersusun kemas dan persekitaran kampung juga bersih.

Kebanyakkan generasi muda berhijrah ke bandar untuk mengecapi kehidupan yang serba moden sungguhpun kemudahan asas telah mula dirasai penduduk di sini.

Kuasae letrik yang menggunakan generator beroperasi  4 jam sehari dan dilanjutkan hingga ke pagi pada musim perayaan. 

Sungguhpun hidup sederhana dan serba kekurangan,kanak-kanak di sini tidak mahu ketingalan daripada segi pendidikan.

Berjalan kira-kira sejam ke sekolah menjadi rutin harian demi untuk masa depan.

Kebanyakan penduduk di sini bertani secara kecil-kecilan. Mereka mengusahakan tanaman seperti padi bukit, lada hitam, jagung dan sayur sayuran.

Kenangan bersama Peluk
Pagi itu juga, 2 wanita warga emas, Nyipon anak Maisak, 82 tahun dan rakan karibnya Anyu anak Dae 70 tahun, melakukan pemujaan semangat padi di lereng bukit kediaman mereka.
Ia bertujuan agar padi yang ditanam akan membuahkan hasil lumayan.

Acara itu satu daripada pemujaan atau gawai yang sudah sebati dengan cara hidup yang diwarisi turun temurun.

Mentera dibaca untuk menghalau anasir jahat daripada menganggu tanaman mereka.

Selesai upacara semangat padi, kami mendekati wanita warga emas yang kelihatan berseri dengan pakaian yang serba warna warni.

Tambah unik lagi dengan kehadiran lasong, lingkaran tembaga yang membaluti betisnya.

Hanya segelintir wanita Bidayuh yang masih memakai barangan perhiasan ini. Bagi mereka biar mati anak, jangan mati adat.

Walaupun telah dimamah usia, kedua sahabat itu masih bertenaga dan bagi mereka berdua, lasong yang dipakai tidak menjejaskan untuk terus menjalankan rutin harian berbudi pada tanah tumpah darahnya.
Menyiapkan makanan untuk Gawai Sepaan
Tatkala sampai di rumah, Nyipon memukul gong menandakan upacara semangat padi di sebelah pagi telah dilaksanakan.

Warga emas itu juga tidak boleh dipisahkan dengan tabiat memakan sirih. Mereka percaya sirih dapat menguatkan gigi.

Daripada pemerhatian saya, wanita yang memakai lasong selesa dengan duduk berlunjur.

Untuk memakai lasong sepanjang satu meter, ia memerlukan lebih tiga jam untuk disiapkan.

Ia perlu dilakukan dengan teliti dan penuh kesabaran supaya lingkaran tampak kemas dan terserlah kecantikkannya.

"Lasong dan loyang dulu orang tua kami pakai adalah sebab kejelitaan wanita dululah. Mungkin datangnya dari Hanoi dan ada dengar juga dari China. Kebanyakan budak budak sekarang tidak mahu pakai, orang tua memang saya galak pakai supaya adat trasional kami tidak hilang",Bujus menerangkan kepada kami.

Ayah kepada Bujus,Kian anak Tuah, berusia 73 tahun, adalah ketua Gawai di Kampung Semban.

Seperti anaknya yang mahu adat dan budaya nenek moyang dikekalkan, Kian juga mempunyai prinsip yang sama.

Bagi dirinya, selagi nyawa dikandung badan, selagi itu dia memastikan adat warisan nenek moyangnya tidak lenyap ditelan zaman.

Walaupun di kala ini hanya segelintir warga emas yang masih mengamalkan kepercayaan Pagan atau kepercayaan mengikuti datuk neneknya, dia terus mengetuai setiap kali upacara Gawai.
Wanita warga emas yang memakai lasong dan loyang
memukul gong tanda permulaan acara Gawai Sepaan
Gawai yang dibuat adalah Gawai Sepaan, upacara sebelum padi masak.

Pukulan gong menyemarakkan lagi situasi di rumah Nyipon.

Rentak kaki dan ayunan tangan bagi Tarian Pakak Pasuk mempunyai makna tersendiri yang tersirat di antara penari dan ketua Gawainya.

Setiap rentak gong memakan masa di antara 10 hingga 15 minit dan setiap penari yang mengiringi tarian diselang-selikan dengan minuman tuak.

Saya perhatikan kelapan-lapan wanita yang berlasong dan berloyang terus bertenaga dan khayal mengikut alunan gong.

Satu senario yang penuh dengan warnasarinya.

Hidangan kemestian adalah Tu Pit Mus, nasi yang dbungkus dengan daun yang dikenali sebagai daun nyireh.

Masyarakat Bidayuh di sini turut menggemari ikan pekasam serta ulat mulong atau ulat sago.

Di Kampung Semban, hanya Peluk dan ibunya Nyipon , hubungan anak beranak yang memakai lasong dan loyang.

Menurut Peluk, lingkaran tembaga dipasang, ketika kanak-kanak perempuan berusia lima atu enam tahun.

Setelah mencapai 12 tahun, lingkaran dilonggarkan bagi menyesuaikan dengan keadaan kaki yang membesar ketika itu.

Pada usia mereka mencecah 20 tahun, sekali lagi lingkaran dilonggarkan dan ia tidak akan diubahsuai lagi.

Ibu Peluk mempunyai alasan tersendiri untuk memakai lasong.

"Saya pakai lasong dan loyang kerana bila ada Pesta Gawai, orang akan memandang tinggi kepada kita, bagaimanapun ia terpulang kepada diri masing masing", Nyipon memberitahu kami.

Peredaran zaman juga menyaksikan ramai golongan tua tidak mahu meneruskan warisan ini atas nasihat anak mereka yang kebanyakkannya hidup moden di bandar.

Saya mendekati beberapa kanak-kanak perempuan yang sering mengekori kami sepanjang penggambaran di sebelah petang.

Ternyata kanak-kanak di situ tidak mahu meneruskan warisan yang telah bertapak lebih 150 tahun.

"Malu mau pakai, emak ada suruh pakai tapi saya tidak mahu pakailah",Mises memberitahu saya.

Manakala kakak Mises, Fanella mencelah, "Saya mahu tapi kawan tidak mahu pakai, jadi saya tidak pakailah".

Itulah generasi muda yang tidak lagi mahu meneruskan tradisi nenek moyang mereka.
Arus perubahan sering menjadi faktor utama kepada kelupusan adat serta tradisi yang menjadi amalan sejak sekian lama di kalangan masyarakat yang ada.

Warga emas yang memakai lasong lebih selesa duduk
dengan melunjurkan kaki
Ada pendapat yang menyatakan mereka malu untuk memakainya dan ada juga segelintir individu beranggapan bahawa adat dan budaya yang ada tidak sesuai lagi.
Sebagai ketua kampung dan pencinta adat dan tradisi, Bujus agak sedih kerana ibunya yang tinggal serumah tidak lagi memakai lasong dan loyang atas sebab sebab kesihatan.

Kanak kanak sekolah juga tidak digalak memakainya.

Ketika rakaman di buat awal Januari 2002, hanya tinggal sepuluh sahaja wanita Bidayuh di Kampung Semban yang masih mengamalkan adat memakai lasong dan loyang.

Kini hampir 9 tahun sudah berlalu.......masih adakah lagi yang memakainya atau masalah kesihatan membuat mereka tidak boleh meneruskan tradisi warisan nenek moyang mereka itu....

Setiap permulaan pasti ada perpisahan.....

Empat hari berlalu, begitu pantas sekali. Saat meninggalkan Nyipon, Anyu, Peluk dan warga Kampung Semban, terasa begitu sedih dan sayu sekali.


Atang'h Bata Mu Aku Boh........
Mereka sungguh peramah dan sentiasa memberi kerjasama sepanjang penggambaran.

Perkataan akhir mereka kepada saya, 'ATANG'H BATA MU AKU BOH..."
bermaksud "DATANGLAH BERJUMPA KAMI YA......"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...