Ads by nuffnang

Thursday, October 21, 2010

"KEKAYAAN BUKANLAH KERANA HARTA BERTIMBUN......"



Jutawan atau orang kaya sering dikaitkan dengan mempunyai aset atau harta yang banyak, berpendapatan dan berpangkat tinggi, rumah besar, kereta mewah dan bermacam macam yang boleh dikecapi ......... 

Adalah itu istilah KAYA yang sebenarnya......

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,

"Bukanlah kekayaan itu kerana mempunyai banyak harta, tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kaya jiwa".

Menghayati maksud sabda di atas, mengembali memori ketika saya bertugas di Christchurch, New Zealand yang baru baru ini, di landa bencana gempa bumi.


Pinggir Bandar Christchurch

Jumlah biri biri lebih banyak daripada penduduk New Zealand

Saya ke sana sekitar Jun 2007 untuk merakamkan kisah seorang insan yang berjiwa besar dan mempunyai semangat yang tinggi bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah untuk agama Islam.

Keindahan alam semulajadi dan udara yang segar serta nyaman antara faktor pelancong memilih New Zealand sebagai destinasi percutian.

Christchurch , bandaraya yang terkenal dengan gelaran "The Garden City" terletak di wilayah Canterbury di bahagian timur Pulau Selatan, New Zealand.

Bersama pelajar Malaysia yang menyambung PHD di Christchurch.
Di sebelah kanan saya Dr Nik Norma, selaku juruiring krew Potret Terbilang.
 

Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke 50

Saya diperkenalkan oleh abang saya Mazlan Nordin, kepada sahabat karibnya, Ishak Mahyuddin, antara rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Christchurch.

Anak kelahiran Mersing, Johor ,berhijrah ke bumi Maori,  lebih 10 tahun lalu. 

Beliau merantau ke sana untuk mencari pengalaman dan memulakan kehidupan baru setelah perniagaannya di tanahair, tidak begitu memberangsang.

Bermula dengan bidang perkapalan, diikuti dengan penternakan biri-biri seterusnya menceburi bidang katering dan penyediaan makanan halal untuk pasaran tempatan.

Menurut Ishak, hatinya terbuka untuk menceburi bidang ini setelah bertemu dengan agen pelancongan tempatan.

"Waktu tu, saya ditemukan dengan beberapa travel agents, tourism is the biggest income in New Zealand, tapi bekalan makanan halal kurang, itu mereka galakkan saya buat katering untuk pelancong Islam".

Abang Ishak juga menerima tempahan khas untuk majlis konvokesyen universiti sekitar Christchurch dan sambutan kemerdekaan negara anjuran Persatuan Anak Anak Malaysia di New Zealand.

Beliau dibantu, Rokiah Ahmad, isteri kesayangannya.


Rumah Abg Ishak di Penruddock Rise,Westmorland


Ayah kepada 4 cahayamata itu, turut diberi kepercayaan membekalkan makanan untuk pelajar Malaysia tajaan Petronas yang menuntut di pelbagai jurusan di Universiti Canterbury.


Makan malam dijamu Udang Galah (Lobster)


Seorang yang sentiasa merendah diri, paparan Abang Ishak untuk program Potret Terbilang adalah sempena 50 tahun Kemerdekaan Malaysia.

Penduduk setempat dan rakyat Malaysia, sama ada yang bekerja mahupun menuntut di bandar itu, mengenali Abg Ishak.

Selain sebagai pengusaha katering, beliau juga seorang pendakwah.

Abang Ishak, menubuhkan Christchurch Islamic Community Centre atau CIC, lokasi pertemuan penduduk Islam tempatan, tanpa mengenal usia dan bangsa.

Terletak di Lincoln Road, Addington, kira-kira 3 km barat daya bandar Christchurch, asalnya bangunan itu sebuah gereja kecil yang dibina pada tahun 1919.

Untuk mengelakkan salah tanggapan masyarakat sekeliling, Abang Ishak mengadakan perbincangan dengan mereka mengenai tujuan pengambilalihan gereja tersebut.

Keikhlasan Abang Ishak berjihad ke jalan Allah, mendapat persetujuan dan sokongan yang tidak disangka.

Allah Maha Pencipta, lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umatNYA.

Abang Ishak adalah antara tonggak utama dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Maori.


Sesi temuramah bersama Kak Rokiah di CIC


Bergambar kenangan bersama Abg Ishak, Kak Kiah dan anak bongsu mereka Iza
 Selaku pengerusi jawatankuasa pemegang amanah CIC, Abang Ishak juga kerap menjadi iman di Balai Islam itu.

Setiap Jumaat, kaum Adam pelbagai bangsa berkumpul dan bersolat di sana.

CIC menempatkan sebuah dewan solat, dewan makan dan dapur.

Kawasan yang luas memudahkan lebih ramai penduduk Islam untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan seperti kelas fardhu ain untuk kanak-kanak dan dewasa, kelas mengaji, sambutan Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Aidil Fitri mahupun Aidil Adha.

Bukan mudah bagi Abang Ishak mencari tapak untuk membina masjid di negara Kiwi itu.

Bagi dirinya, kesulitan, masalah dan kesempitan yang dialami, menyedarkan betapa kerdilnya diri sebagai hamba Allah, sekali gus menyedarkan akan keagungan dan kekuasaan Allah SWT.

Dengan bantuan beberapa warga tempatan, hasrat murni Abg Ishak menjadi kenyataan selepas 3 tahun berusaha mencari lokasi yang sesuai.

"Alhamdulillah, bangunan ini diperolehi pada malam Nisfu Syaaban bersamaan 6 Sept 2006", Abg Ishak berkongsi pengalamannya.

Sebagai tanda kesyukuran, Abg Ishak bersama 3  keluarga lain mengadakan majlis Nifsu Syaaban di premis itu.

Bagi diri saya sendiri, ketika melangkah masuk buat pertama kali ke Dewan Solat itu, airmata saya bergenang dan terasa begitu besarnya kekuasaan Allah Yang Maha Esa.

Di beberapa negara di Eropah, satu ketika dahulu, masjid ditukar menjadi gereja akibat peperangan, tetapi di bumi Maori ini seorang insan berbangsa Melayu membeli gereja yang mempunyai sejarah tersendiri dan dijadikan masjid.

Allahhu Akbar.........

Sungguhpun, usaha Abg Ishak dalam mengembangkan syiar Islam di bumi Kiwi itu masih jauh, namun beliau tabah mengharungi apa jua cabaran yang bakal ditempuhi.

Ujian adalah tanda Allah SWT mencintai seseorang itu.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: 

"Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya."
(hadis riwayat Al -Bukhari)

Dari kejauhan ini, saya terus mendoakan agar perjuangan Abg Ishak yang kaya jiwanya, dalam usaha mengembangkan syiar Islam di perantauan, sentiasa dilindungi dan diberkati YANG MAHA ESA. 

Amiin....




4 comments:

  1. Such a nostalgic post, Chik Inn. I miss Christchurch :( Btw, I just created satu gmail account so that I can comment on this page. Dasyat tak? Hehe

    ReplyDelete
  2. Memang dashyatlah "Senior" I yang bernama NIK ni......I mengalu-alukan komen rakan-rakan, Yang baik itu dari Allah, yang lemah itu diri sendiri......So kita perbaikilah......

    ReplyDelete
  3. Fuhhh..teringat kenangan mkn udang galah kat rmh abg Ishak, sedapnya tak terhingga sampai tak abis pun mkn sekor udang galah utk sorang krew...kpd abg Ishak, moga syiar Islam terus berkembang di bumi Maori...bila lah dpt pergi Christchurch lagi sekali.....

    ReplyDelete
  4. Semoga Allah S.W.T akan melimpah-limpahkan lagi rezeki abang ishak dan merahmati dia dan keluarga. Amin.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...