Ads by nuffnang

Thursday, October 28, 2010

GUNUNG MERAPI MENGAMUK LAGI......


Kisah korban bencana Gunung Merapi, Yogyakarta, mengisi setiap dada akhbar hari ini.

Lebih 30 orang dilaporkan terbunuh dan seorang daripadanya, Penjaga Kunci Gunung Merapi itu, Mbah Marijan, 83 tahun.

Mbah Marijan ditemui meninggal dunia dalam keadaan sujud menghadap kiblat di dalam bilik di rumahnya yang terletak kira-kira 4 kilometer dari gunung terbabit.

Mbah Marijan berkeras tidak mahu meninggalkan gunung berkenaan, walaupun pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk sekitar 10 kilometer berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Jun 2006, Gunung Merapi meletus tetapi Mbah Marijan terus berada di kediamannya dan terselamat menyebabkan dia menjadi ikon kepada penduduk Indonesia kerana keberaniannya.

Mungkin Mbah Marijan beranggapan sejarah 2006 dapat diulangi, dia akan terselamat, tetapi ternyata, hidup matinya seseorang itu hanya di ketahui Yang Maha Besar. 

Daripada DIA kita datang kepada DIA kita kembali.....

Al-Fatihah kepada Mbah Marijan dan mangsa yang lain.

Pada Mei 2008, saya berpeluang ke Yogyakarta bersama rakan saya, Rosmina mesra dengan panggilan Yong, Hajar dan Nora.


Yong, Hajar, Nora bergambar kenangan di Borobodur
Percutian kami lebih berbentuk santai, tanpa menggunakan pakej daripada mana-mana syarikat pelancongan.

Tempahan tiket penerbangan dan penginapan semuanya melalui internet.

Bila sebut Yogyakarta, tidak sah percutian pengunjung ke sana,jika tidak ke Borubodur,  antara lokasi yang menerima kunjungan jutaan pelancong setiap tahun.

Beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan pengunjung adalah di Istana
Kraton, Candi Prambanan, Taman Sari, Pasar Beringharjo dan Muzium Kekayon.

Suasana pagi berhampiran Pasar Beringharjo
Selain menikmati makanan tempatan dengan harga yang berpatutan, pelbagai jualan barangan yang terletak di Jalan Malioboro, bagaikan menggamit pengunjung.

Kumpulan saya mengambil keputusan untuk menyewa kenderaan untuk memudahkan pergerakan. Kami beruntung mendapat Pak Leo sebagai pemandu kerana dia juga merangkap pemandu pelancong kami.

Selain membawa ke lokasi menarik, dia juga mencadangkan untuk ke Kampung Kinahrejo, Slamen, melihat kesan kemusnahan kawasan persekitarannya akibat amukan Gunung Merapi Jun 2006.

Pak Leo juga mencadangkan kepada kami untuk singgah di kediaman Penjaga Kunci Gunung Merapi, Mbah Marijan.
Gunung Merapi diseliputi awan dan antara kediaman yang musnah
"Boleh ke jumpa Mbah Marijan, pak", Yong begitu teruja dengan  cadangan Pak Leo.

"InsyaAllah, esok kalau dia ada di rumah, bisa sajaaa", Pak Leo menjawab sambil melemparkan senyuman ke arah Yong yang menutup pintu kereta, selepas letih berjalan di kawasan Borobudor.

Selesai sarapan di hotel keesokan hari, kembara kami diteruskan ke daerah Slamen kira-kira sejam setengah dari hotel penginapan kami.

Lagi kesan letusan Merapi Jun 2006
Pak Leo terus membawa ke kawasan yang hanya tinggal sisa-sisa rumah yang musnah akibat muntahan lahar Merapi 2006.

Kawasan sekitar juga dijadikan penduduk tempatan untuk menjual cenderamata antaranya gambar saat saat Gunung Merapi  mengeluarkan debu panas, topi, kemeja T dengan lakaran gambar Merapi dan juga muka Mbah Marijan.
Gambar Letusan Merapi 2006 turut menjadi bahan cenderamata
Setelah berada di kawasan terbabit kira-kira 30 minit, kami di bawa Pak Leo ke rumah Mbah Marijan yang tidak jauh dari tempat kami lawati.

Salam kami di sambut seorang wanita yang agak berusia.

Ternyata wanita itu mengenali Pak Leo, dan setelah menerangkan hajat kami ingin berjumpa dengan Mbah Marijan, kami dibenarkan masuk.

Setelah duduk seketika di ruang tamu, seorang lelaki masuk dan Pak Leo terus meluru ke arah lelaki terbabit, mencium tangannya dan berpelukan.

Kami terpinga-pinga, sememangya Mbah Marijan, seorang yang dihormati dan disegani masyarakat setempat. 

Mbah Marijan kurang sihat hari itu, sesekali bercakap terhenti kerana batuk, namun tetap berkongsi secebis kisah kejadian Gunung Merapi 2006 kepada kami.
Tak dapat bergambar dengan Mbah Marijan,
di sebelah lukisan pun oklah ya Yong...
Sebelum pulang, Yong memohon kebenaran untuk bergambar dengannya, tetapi Mbah Marijan menolak dengan baik.

Berkali kali dia mohon maaf, bagaimanapun untuk tidak menghampakan permintaanYong, Mbah Marijan mencadangkan bergambar berhampiran lukisan wajahnya yang terletak di tepi ruang tamu. 

Kami akur dengan permintaannya, jadi bergambar sahajalah di tepi frame lukisan dan di depan pintu rumahnya.
Pintu masuk ke kediaman Mbah Marijan
Dalam perjalanan pulang, saya bertanya Pak Leo,

"Pak, kenapa Mbah tidak mahu gambarnya dipotretkan oleh kami?

Pak Leo menjawab, "saya kurang pasti Chik Inn, mungkin kerana Mbah kurang sihat atau mungkin juga ada pantang larangnya kerana datangnya kita pun secara tiba-tiba......."

Ya, mungkin Mbah Marijan ada pantang larang tersendiri sebagai Jurukunci Merapi...

Sungguhpun tidak dapat merakamkan gambar kenangan bersama Jurukunci Gunung Merapi itu.....kami tetap berpuashati dapat mengenali siapa Mbah Marijan secara dekat, bukan daripada pembacaan sahaja.......




















5 comments:

  1. Salam Chik Inn( takpe kot panggil nama ni walaupun tak rapat macam Bro Mazidul )salah seorang peminat yang selalu menonton dari atas sofa saja..Hehehhe...teruskan usaha, orang macam kami ni hanya boleh menyokong dari depan TV sambil berdoa....

    ReplyDelete
  2. Salam

    semoga sihat sihat sokmo

    ReplyDelete
  3. salam... cik inn or bole panggil kak inn. saya memang suka sangat dengan akak. Dari dulu saya peminat akak dan sekarang lagi bertambah2 minat. Saya mmg pembaca blog yg tegar... suka sgt baca blog org sampai sendiri punya blog pun x update.. hehehe.. bertuah nyer akak dpt gi tempat2 yg saya hanya bole baca jer dalam suratkabar, internet, blog. Tahniah. Teruskan menulis, sbb saya akan menjadi pembaca setia blog akak mcm saya baca blog abg mazidul.

    ReplyDelete
  4. salam chik inn,

    bestnya pergi tempat2 sejarah mcm tu ..dulu saya pernah pergi medan ,danau toba dll.masih teringat hingga sekarang tempat dia mcm terpencil tapi damai.

    nanti chik inn masukkan lagi tempat2 menarik yg chik inn pernah pergi ya.kita nak tgok.

    ReplyDelete
  5. Salam Chik Inn..

    Bertuah Chik Inn dpt jumpa Mbah Marijan walau x dpt brgmbr live. Waktu di Jogja sy hanya smpt naik candi borobodur saat mentari sedang naik dan kepanasan mmg terasa. Tp bila smp puncak nmpk view hijau dr atas, cukup nyaman smp ilang penat..teruskan berblog ya. Sntiasa menyokong dr blkg tabir.. :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...