Ads by nuffnang

Saturday, October 23, 2010

"TERPERANGKAP DALAM KAPSUL WAKTU"


Kira kira 20 tahun lalu, beliau mendatangi Surinam untuk menulis novel "Janji Paramaribo", yang mengungkapkan nostalgia Warga Nusantara yang terperangkap dalam kapsul waktu di benua terasing.

Beliau memilih Surinam kerana keunikan demografi penduduknya yang terdiri dari 15 % Warga Nusantara Melayu daripada keturunan Jawa.

Malim Ghozali PK atau nama sebenarnya Mohamed Ghozali Abdul Rashid, menulis dalam genre cerpen, puisi dan novel di samping menghasilkan karya karya akademik berasaskan kajian.

Malim menjejaki semula Paramaribo untuk melihat keadaan masakini Surinam, selain cuba mengesan teman teman lama.


Peniaga ikan kering di Pasar Basah Paramaribo

Surinam berada di garisan Khatulistiwa, terletak di Amerika Selatan berjiran dengan Brazil, Guyana dan French Guyana.
Belanda menjajah Surinam mulai 1815 sehinggalah negara itu mencapai kemerdekaan tahun 1975.

Laluan penerbangan ke Surinam, melalui Amsterdam,  mengambil masa 21 jam setengah, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Zandery.

Ketika saya sampai di Paramaribo, kelihatan bangunan bangunan lama peninggalan zaman penjajahan Belanda masih lagi teguh berdiri.

Walaupun tiada bangunan bangunan tinggi, ibunegara Surinam tetap sibuk.


Di perkampungan AmerIndian di Saramacca  

Keturunan AmerIndian dan Creole adalah penduduk asal.

Bumi bertuah itu juga menjadi tanah tumpah bangsa Hindustan, Jawa, Maron dan China yang datang lebih 100 tahun dahulu untuk mencari pekerjaan.

Bahasa rasmi Surinam adalah Belanda, manakala bahasa masyarakat tempatan adalah Taki Taki.

Jika di Kuala Lumpur, Dataran Merdeka menjadi tumpuan ramai dengan pelbagai aktiviti di hujung minggu, di Surinam juga tidak terkecuali.

Di kenali sebagai Padang Merdeka, setiap pagi Ahad, ia menjadi tumpuan peminat burung Twa-Twa dan Picolet.



Bersama Pemilik Burung Twa twa



Burung Twa twa yang berharga di antara 3 ke 17 ribu ringgit


Burung Twa-twa lebih besar daripada burung Picolet dan mempunyai lebih daripada dua warna.

Burung yang banyak terdapat di kawasan pendalaman Surinam itu digemari kerana kemerduan suaranya.

Saya mendekati warga tempatan yang sedang menghadap Burung Twa twanya sambil bersiul.

"Can you speak English".

"Not so much", jawabnya ringkas.

"Every Sunday you come here?" saya bertanya lagi.

"Yes, come for competition, from Seven till Ten o'clock morning, good prize" menjawab dengan bangganya sambil mengelap sangkar Twa -twa.

Menurut lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Jonny, harga setiap seekor Twa-twa dan Picolet di antara 2 ribu ke 15 ribu Surinam Dollar kira kira 3 ribu hingga 17 ribu ringgit Malaysia.

Bagi masyarakat di Surinam, sesiapa yang memiliki burung Twa-twa dan Picolet di anggap golongan yang berada.

Saya di bawa Malim ke Pasar Basah Paramaribo terletak di Waterkantstraat atau dalam Bahasa Melayunya "Tepian Kali".

Pasar ini terletak di tebing Sungai Surinam. Setiap pagi ramai pedagang dari Meerzog dan Commewijne menyeberangi sungai membawa dagangan ke sini.


Jalan menuju ke Pasar Paramaribo

Pintu masuk ke Universiti Suriname









Tatkala saya masuk ke pasar, saling tak tumpah seperti berada di tanahair, sayur-sayuran dan dagangan yang dijual di pasar ini tidak banyak beza dengan yang terdapat di negara kita.

Rata rata penjual di sini adalah  masyarakat keturunan Jawa generasi kedua dan ketiga, dan segelintir daripada mereka masih boleh bertutur Bahasa Melayu.

Nenek Moyang mereka berasal dari Tanah Jawa di bawa oleh penjajah Belanda sebagai buruh kontrak.

Mereka ditempatkan di ladang-ladang tebu dan kopi dengan upahan yang tidak seberapa.

Untuk membangunkan ladang kopi, pihak Belanda turut membawa masuk orang Hindustan.

Migrasi besar-besaran itu menyaksikan kira kira 33 ribu masyarakat keturunan Jawa berhijrah ke Surinam dari tahun 1890 hingga 1939.

Peredaran waktu menyaksikan kehidupan masyarakat Jawa di Surinam lebih baik daripada nenek moyang mereka.

Malim membawa saya berkunjung ke rumah rakannya, Pak Slamet yang menginap di Taman  Redjo, satu daripada kawasan penempatan masyarakat Jawa terletak di Daerah Commewijne.


Pak Slamet di sebelah kanan saya mengimbau kisah lama dengan Malim

Bekas rumah Pengurus Ladang Kopi di Meerzorg
Beberapa warung di sini, turut menyajikan makanan seperti soto, sate, mee bakso, lontong dan pecal seperti makanan negara asal mereka.

Rumah dan susun aturnya tidak ubah seperti rumah kampung di Malaysia.

Masyarakat Jawa di sini mengekalkan ketekunan berkebun, tambahan pula bumi Surinam terkenal dengan kesuburannya.

Pak Slamet, 70 tahun, turut menjadi pekebun gigih dan menjadikan hasil kebunnya sebagai pendapatan tambahan menyara keluarganya, setelah bersara lebih 10 tahun lalu.

Ayah kepada 6 cahayamata ini, menjejakkan kaki di bumi Surinam ketika berusia 7 tahun mengikuti ayah dan ibunya sebagai buruh di ladang kopi.

Sukar untuk Pak Slamet mengimbau perjalanan berhari hari di atas kapal, yang menempatkan ramai buruh yang dijanjikan gaji yang lumayan, namun tidak dikotakan.

Setelah meningkat remaja, dia turut bekerja di ladang yang sama dan berumahtangga dengan anak pekerja ladang dari Tanah Jawa juga.

"Memang hasrat mama dan papa saya mau pulang ke Tanah Jawa, tapi masa tu Tuan Belanda kata harga tambang kapal lumayan, bertangguh -tangguh, jadi enggak bisa balik", Pak Slamet memaklumkan kepada kami.

Pak Slamet menceritakan sejarah kedatangan buruh kontrak kepada generasi ketiga dan keempat
keturunan Jawa di Bumi Surinam
Mungkin sudah ditakdirkan, Pak Slamet dan ramai lagi masyarakat Jawa generasi pertama yang merantau di Surinam hanya menggapai impian untuk pulang ke tanah kelahiran.

Keinginan mereka untuk menyambut ramadan mahupun lebaran bersama sanak saudara di Tanah Jawa, hanya tinggal harapan.

Kebetulan tugasan saya di Surinam beberapa hari sebelum Ramadan.

Sewaktu di Taman Redjo, kami dijemput menghadiri majlis keraian yang diadakan sempena menyambut Ramadan Al Mubarak.

20 peratus daripada penduduk Surinam yang berjumlah kira-kira 500 ribu adalah beragama Islam. Mereka terdiri daripada masyarakat Jawa dan Hindustan.

Terdapat lebih 50 buah masjid di seluruh Surinam, iaitu di Paramaribo, Commewijne, Lelydorp, Niew Amsterdam dan Nickerie.

Hari Pertama Ramadan, saya dan Malim beserta krew berbuka puasa di Masjid Darul Istiqomah.

Daripada pengamatan saya, buah tamar bukanlah pilihan utama  mereka, sekadar minum air manis dan menjamah sepotong dua kuih, terus solat maghrib berjemaah.

Menanti saat berbuka puasa di Masjid Darul Istiqomah


Cucu Pak Slamet membungkus tempeyek untuk kami


Keluarga Pak Slamet turut terkenal sebagai pembuat kuih tradisional Jawa. Tempeyek goreng Pak Slamet sangat terkenal di Taman Redjo dan Meerzog.

Dia turut berbesar hati memberi beberapa bungkus tempeyek kepada saya dan jurukamera, Jebat M Roseli untuk di bawa pulang ke Malaysia.

Pak Slamet sentiasa mengenggam amanat ayah dan ibunya supaya generasi muda mengingati nenek moyang mereka yang berasal dari Kepulauan Nusantara.

Setiap kali menjelang Aidilfitri, anak anak muda diajak bersama menganyam ketupat dan menyediakan beberapa makanan tradisi untuk memastikan warisan budaya mereka berkekalan.

Pencak silat adalah budaya bangsa Melayu yang diwarisi masyarakat Jawa di sini.

Perguruan  Silat Setiahati, antara yang berpengaruh dan berjaya merentasi kaum dan keturunan.

Malim mentaakulkan Capoeira, seni mempertahankan diri Brazil, berasal daripada Persilatan Melayu yang dibawa masuk dari Surinam.

Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan.

Seminggu berada di benua Amerika Selatan, terasa begitu pantas.

Pertemuan bersama beberapa teman lama Malim, meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi ianya berlaku pada bulan yang mulia.

Agak tersentuh di hati saya ketika Malim membaca surat dititipkan oleh Pak Slamet sebelum kami berangkat meninggalkan bumi Surinam.

Semoga Pak Slamet panjang umur dan sentiasa diberkati Allah.
Sungguhpun Pak Slamet terperangkap di dalam kapsul waktu di perantauan, dia bangga memperkenalkan dirinya
sebagai anak Kepulauan Nusantara. 
4 September 2008,

Assalamualaikum Pak Malim Ghozali,

Bagi pihak teman teman di sini, saya mengucapkan selamat jalan kepada Bapak Malim dan rakan-rakan dari Kuala Lumpur.

Meski takdir telah menentukan kami di sini, percayalah kami tetap Warga Nusantara selamanya.

Cuma kami sangat berharap suatu hari nanti, kami juga dapat merayakan Hari Lebaran Idul Fitri  di Rantau Nusantara seperti nenek moyang kami.


Wassalam,


Slamet Sucipto













1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...