Selain rancangan Bersamamu memaparkan golongan atau keluarga yang miskin, anak yatim mahupun ibu tunggal, kami turut menerbitkan 13 episod untuk musim ke 6, bertemakan Penuhi Impian....
Saya kongsikan dalam "entri" ini mengenai seorang ayah berjiwa besar yang disiarkan pada 1 Disember 2006.
"Pakcik tidak malu di pandang miskin oleh masyarakat, kerana pada pakcik, di sekeliling rumah ada pokok kelapa, pisang, ubi kayu, kira kayalah.Tapi pakcik malu di pandang miskin di sisi Allah”.
Itulah kata-kata yang keluar daripada ayah kepada 13 cahayamata yang mempunyai makna begitu mendalam.
 |
Sesi temuramah bersama Datuk Dr Patawari di Kota Kinabalu |
Seorang ayah yang sanggup mengikat perut dan melakukan apa saja pekerjaan demi masa depan anak-anaknya.
Terpanggil dengan kisah kegigihan Abu Bakar berasal dari Pulau Sebatik, Tawau, Sabah,membesarkan anak-anaknya, kami mendekati ayah berjiwa besar itu.
Pak Abu, 65 tahun mempunyai keperibadian yang baik, dihormati dan sering memberi kerjasama dengan sesiapa sahaja.
Sungguhpun mempunyai 13 anak, seorang meninggal semasa kecil, dia dikatakan bersemangat waja menggantung harapan sentiasa beroleh kejayaan di dalam keredaan Yang Maha Esa.
Dia tidak pernah meminta balasan membesarkan zuriat, sebaliknya hanya mahu menjejakkan kaki ke tanah suci.
Justeru 2005, tahun yang sungguh bermakna buat Pak Abu kerana dihantar anak-anaknya menunaikan haji.
Baginya dia tidak mahu meminta pelbagai balasan berbentuk wang mahupun barangan selain menunaikan haji kerana dia tidak rela membazirkan wang ke arah yang menguntungkan satu pihak.
 |
Temuramah denga Pak Abu di Kaki Gunung Kinabalu |
Wang yang ada pada Pak Abu lebih afdal untuk pelajaran yang akan menjamin masa depan anak yang masih bersekolah dan cucunya.
Untuk sampai ke Pulau Sebatik, kami perlu menaiki bot laju dengan perjalanan ke jeti perhentian di Kampung Sg Tongkang mengambil masa 35 minit.
Saya difahamkan jika menaiki bot penumpang yang lebih besar, masa yang di ambil untuk sampai ke destinasi melebihi 1 jam.
Lori adalah antara pengangkutan utama di kawasan ini untuk ke beberapa kampung di sekitar Pulau Sebatik. Saya dan krew juga tidak terkecuali menaiki lori....
Melintasi tanaman kelapa sawit, pisang, kelapa masih tidak menemukan kami ke rumah Abu di Kampung Sg Tamang.
Penat berdiri kami duduk dan penat duduk kami berdiri, kehangatan mentari tidak di rasai kerana damai mata memandang kehijauan sepanjang perjalanan.
Terdetik di benak hati, kediaman yang jauh di pendalaman membuatkan penghuni di sini yang rata-rata petani dengan pendapatan seadanya, sukar untuk ke bandar, termasuklah Pak Abu sendiri.
Kira-kira 40 minit, menaiki lori, kami sampai ke simpang untuk ke rumah Pak Abu.Kemudian kami menaiki motorsikal yang disediakan berikutan ketua kampung tidak sampai hati melihat kami berjalan kaki kerana keletihan.
Kiranya perjalanan saya perlu naik bot, naik lori dan diikuti dengan naik motorsikal...bertujuan berjumpa Pak Abu kerana ingin mendengar impiannya yang terbuku di sanubari.
Kami dimaklumkan Pak Abu pernah ke Semenanjung Malaysia pada 1999 bersama isterinya.
Namun hasratnya untuk bermalam di Kuala Lumpur dan menikmati keindahan ibukota tidak tercapai kerana terpaksa terus ke Pantai Timur untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya, Umar Hadi.
Bangunan pencakar langit hanya dilihat daripada kejauhan.
 |
Di Tasik Putra Jaya |
Tatkala, kami memberitahu untuk membawa Pak Abu ke Kuala Lumpur, dia terus menolak dengan alasan wang yang ada untuk kegunaan anak-anak.
“Satu masa dulu, sampai gigi emas mama, di korek dan di jual. Termasuk saya punya jam tangan. Sebab saya ingat, tiada guna saya simpan ni barang, ia membanggakan saya, jadi membuat hati saya gembira sedangkan saya punya zuriat tidak tahu ke mana nasibnya”.
Bagi Pak Abu wang yang ada di simpan untuk membesarkan anaknya yang masih bersekolah. Jika 5 daripada anaknya telah menjadi guru, dia berharap 5 lagi anaknya mendapat pekerjaan lebih baik daripada yang lain.
 |
Bersama krew di Tasik Putra |
Setelah menerangkan pemergiannya, satu hadiah buat dirinya sebagai ayah contoh, perkataan pertama yang diluahkan adalah kesyukuran tidak terhingga kepada Yang Maha Esa.
Selama seminggu kami mendampingi Abu, beberapa pengalaman dan kata-kata ayah yang berjiwa besar ini dapat dijadikan pengajaran untuk mewarnai kanvas kehidupan setiap insan.
Dari Tawau, Pak Abu di bawa ke Kota Kinabalu.
 |
Kedatangan Pak Abu disambut meriah pihak Menara KL |
Semangat Pak Abu tinggi bagaikan Gunung Kinabalu, gunung kebanggaan rakyat di Negeri Bawah Bayu
Seumur hidupnya, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Taman Kinabalu justeru kami membawa Pak Abu ke sana dan sesi temuramah di lakukan di kaki Gunung Kinabalu.
Sama sekali tidak terlintas untuk Pak Abu menjejakkan diri di gunung sambil menghirup udara segar.
Destinasi seterusnya Kuala Lumpur.
 |
Di atas ruang tinjau Menara KL |
Impian untuk melihat keindahan Kuala Lumpur turut di realisasikan dengan kerjasama Adun Pulau Sebatik ketika itu, Datuk Dr Patawari Patawe.
Jika sebelum ini menara berkembar Petronas hanya di lihat daripada kaca tv dan di dada akhbar, lawatan ke ibukota membuka lembaran sejarah baru buat Pak Abu.
Kami turut membawa ayah bersemangat kental ini, merasai sendiri transit aliran ringan, LRT mengelilingi ibukota.
Hasrat Abu untuk ke Putra Jaya turut ditunaikan dan dia turut berpeluang bersolat di Masjid Putra yang tersergam indah.
 |
Pertemuan singkat penuh bermakna.... |
Meminati lagu-lagu Tan Sri SM Salim, Pak Abu terkejut tatkala kami membawa dia berjumpa dengan penyanyi kegemarannya.
Sungguhpun pertemuan singkat, tetapi penuh makna dan mereka berdua sempat bertukar cenderamata tanda ingatan atas perjumpaan.
Impian untuk menjejakkan kaki di Menara Kuala Lumpur tersemat erat di hati sejak 1999, tetapi di pendam kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.
Dengan kerjasama pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur, impian Abu Bakar dipenuhi dengan sambutan bagaikan pahlawan yang pulang berjuang.
Pak Abu memang tidak menyangka sama sekali kehadirannya di menara itu di sambut dengan begitu meriah sekali.
 |
Bersama anaknya Cikgu Umar Hadi |
Makan malam di restoren berputar membuat dia teruja dan ia satu pengalaman yang sukar dilupakan Pak Abu.
Dia sempat membisikkan rasahatinya kepada saya bahawa sambutan di menara bagaikan memasuki Istana Kayangan.
Kami turut memberi kejutan dengan membawa anaknya Umar Hadi, guru di Kuala Lipis, Pahang ke Menara Kuala Lumpur .
Pada asalnya kami memaklumkan Umar tidak dapat datang kerana sibuk.
Pak Abu nampak sedih bila diberitahu tetapi dia redha dan memahami keadaan anaknya.
Tatkala terlihat kelibat anaknya, Pak Abu begitu gembira dan bergenang airmatanya...
Lebih setahun dia tidak berjumpa anak dan cucunya.
Bagi Abu Bakar, pengalaman seminggu bersama krew Bersamamu – Penuhi Impian akan terus terpetri di lubuk hatinya dan hati saya juga.....
Bagaikan satu mimpi yang indah, satu mimpi menjadi kenyataan yang begitu berharga buat seorang ayah berjiwa besar.....
(Terima kasih kerana semua pihak yang membantu memenuhi impian insan bernama Abu Bakar....)