Seperti dalam entri saya semalam saya kongsikan catatan kisah yang menambahkan lagi saya erti kehidupan dan bersyukur kepada Yang Maha Esa......apa yang dikecapi kini.....
Kegagahan dan kemashyuran Gunung Kinabalu tiada tandinganya.
Ia menyimpan seribu rahsia suka duka setiap pendaki yang ingin melakarkan sejarah.
Gunung Kinabalu juga menyaksikan pelbagai episod kehidupan insan yang menghuni di pinggirnya, antaranya keluarga Yasin Somidin, 49 tahun, petani bukit.
Lori "pickup" sebagai pengangkutan awam membawa penduduk kampung ke pekan |
Untuk sampai ke kampungnya, kami perlu menaik lori pickup kira kira 20 minit menyusuri bukit bukau, kalau jalan kaki, mahu mengambil masa lebih dari 2 jam.
Setelah itu, kami perlu mendaki bukit kira kira 10 minit.
Rosyam , Fifi dan Nanu dah mengah mendaki bukit ke teratak Yasin |
Kami difahamkan saban hari, tiga anak Yasin ketika itu (2005) Naomi 12 tahun, Paul 10 tahun dan Welson 7 tahun, perlu berjalan kaki kira-kira 30 ke 40 minit untuk sampai ke Sekolah Rendah Kiau.
Walaupun serba kekurangan, mereka tetap tabah menjalani liku liku kehidupan sebagai pelajar.
Rakaman di Sekolah Rendah Kiau |
Naomi memaklumkan kepada Rosyam, Fifi dan Nanu yang dia ingin menjadi guru |
Setiap langkah diatur tersirat semangat untuk menjadi insan berdaya maju.
Di waktu yang sama Kelopis Gunsalam, ibu kepada 10 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Yasin, siap mencari rezeki.
Lazimnya dia bergilir gilir dengan suaminya ke kebun yang memerlukan mereka berjalan lebih 40 minit di lereng lereng bukit.
Kelopis membersihkan kebun, Yasin mengendong anak berusia setahun |
Isterinya Kelopis 41 tahun, pasrah dengan liku liku hidup yang serba kekurangan sejak mendirikan rumahtangga lebih 23 tahun lalu.
Rakaman "moderator" Fifi di depan pondok usang Yasin |
Berketurunan Dusun, Kelopis penduduk asal Kampung Kiau Nuluh bertemu Yasin atas pilihan keluarga.
Sungguhun hidup serba kekurangan, Kelopis tidak pernah kecewa dengan perjalanan hidup keluarganya.
Rosyam Nor dan Nanu Baharudin sebak mendengar kisah hidup Yasin |
Bagi Yasin, akibat kesihatan yang membabitkan tulang belakang memikul barangan pendaki, dia tidak boleh bekerja kuat.
Namun sebagai ketua keluarga, dia tetap berusaha mencari apa jua pekerjaan yang boleh dilakukanya.
Ketika rakaman di buat, pendapatan menjual sayur gandingan suami isteri itu kurang daripada tiga ratus ringgit sebulan.
Tatkala kami sampai ke teratak usang Yasin, lambakan baju memenuhi ruang rumahnya beserta 2 paket kecil beras.
Krew di hadapan teratak kecil Yasin |
Ia hasil pemberian penduduk kampung yang simpati dengan keluarganya.
Tiada bilik, tiada ruang tamu.
Di ruang terbuka yang begitu kecil, di situlah Yasin anak beranak bersantai, di situlah sebagai dapur dan di situlah juga mereka mengalas perut dan juga tempat melelapkan mata.
Apakah nasib Naomi dan adik adiknya sama seperti James dan Annie??? |
Jika di sebelah pagi, Kelopis dan Yasin memungut sayur, di sebelah petang mereka membersihkan sayur sayuran seperti daun bawang untuk ditolak kepada orang tengah.
Daun bawang yang telah dibersihkan diikat dan dijual segenggam berharga 40 sen.
Anak anak Yasin turut membantu membersihkan daun bawang |
Kecil nilainya, tetapi itulah hakikatnya.
Anak pertama dan kedua Yasin hanya dapat menimba ilmu hingga ke tingkatan lima.
Sungguhpun James 21 tahun dan Annie 19 tahun berpeluang melanjutkan pelajaran, tetapi cita-cita hanya tinggal impian.
Kedaifan dan kemiskinan yang menyelubungi keluarga membuat anak pertama dan keduanya berkorban untuk melanjutkan pelajaran demi untuk memberi laluan kepada adik-adik.
Adik adik James dan Annie bercita cita meneruskan pelajaran tetapi persoalannya mampukah Yasin menyediakan keperluan mereka?
"Pakcik bagaimana dengan pelajaran anak anak pakcik yang kecil ini, mungkin boleh belajar tinggi daripada abang dan kakaknya?", tanya Rosyam sayu.
Dengan suara dan muka yang bersahaja Yasin menjawab,
"Aaaaa... tenguklah, kalau ada belanja lebih bolehlah, kalau tidak ada tak payahlah...".
Tersentak seketika kami mendengar penjelasannya.
Tiada siapa pinta untuk hidup dihimpit kemiskinan... |
Teringat saya kepada anak buah yang setiap kali musim persekolahan bermula, segalanya inginkan yang baru, sedangkan ada juga alat persekolahan yang boleh digunakan.
Lazimnya, selepas sekolah, mereka ada sahaja kelas tambahan, kelas fardhu ain,tuisyen, kelas muzik, kelas martial art dan bermacam macam lagi yang dihadiri.
Tetapi bagi anak anak Yasin, sekolah kebangsaan biasa pun belum tentu dapat di hadiri......
Kami mendekati James yang menjadi malim gunung atau "mountain guide" di Taman Kinabalu.
Mendaki Gunung Kinabalu....sampai Pondok Kandis (perhentian pertama) aja.... |
Mendekati James yang mengorbankan masa depan sendiri demi keluarga |
Demi untuk kelangsungan hidup, sungguhpun sebulan dia mendapat kira kira 450 ringgit, dia nekad memastikan adik adiknya akan mendapat pendidikan lebih daripadanya.
Begitu juga Annie, yang mendapat tempat di tingkatan enam, tetapi akhirnya menjadi pengasuh kanak-kanak dan pembantu kedai untuk meringankan bebanan keluarga.
Annie meluahkan rasa kesedihannya kepada kami.... |
Bagi kedua beradik itu, ilmu yang sekelumit yang diperolehi sudah memadai dan kini tumpuan kepada 8 lagi adik adik yang lain.
Tatkala senja melabuhkan tirai malam, suasana kedinginan di kaki Gunung Kinabalu begitu terasa dan suasana terus menyepi di Kampung Kiau.
Sementera menunggu Yasin pulang daripada menghantar daun bawang ke pusat pengumpulan sayur, anak anaknya menghabiskan masa dengan mentelaah pelajaran.
Sungguhpun si ibu tidak berpelajaran, dia tetap memerhatikan anak anaknya mengulangkaji di dalam kesamaran cahaya pelita dan lilin.
Tatkala Yasin pulang ke terataknya, itulah tanda untuk makan malam.
Kemiskinan mengajar mereka tidak begitu memilih makanan.
Sudah menjadi lumrah bagi mereka, "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".
Ini semata-mata untuk memastikan perjalanan hidup mereka sekeluarga.
Mereka tidak menghiraukan sama ada makanan yang diambil berkhasiat ataupun tidak.
Terus terang sukar untuk saya lafazkan atau catatkan bagaimana keadaan penggambaran ketika itu, bagaimana pun saya cuba juga untuk rakan rakan blogger membayangkan keadaan ketika itu.
Rakaman makan malam yang menyentap hati krew |
Manakala Kelopis mengangkat beberapa kering mangguk/pinggan plastik dan sebotol balang.
Kami hanya memerhatikan dan meneruskan penggambaran, kerana saya maklumkan pada Yasin, saya ingin realiti sebenar suasana makan malam.
Fifi turut mengalirkan airmata |
Tujuh anak yang masih kecil, (James dan Anne menumpang di tempat mereka bekerja, yang kecil berusia setahun sudah tidur) duduk dalam separa bulatan.
Si ibu menyenduk nasi dan diletakkan dalam mangkuk dan memberikan kepada anak anaknya.
Dengan spontannya tatkala mangkuk di pegang, anak anak mencapai jag air di depan mereka lalu menuangkan ke dalam mangkuk.
Yasin terus menghulurkan balang dan anaknya membuka balang tersebut yang sebenarnya berisi garam....
Dicampurkan ke dalam mangkuk yang berisi nasi dan air, lantas mereka pun menikmati makan malam bersama.......
Airmata saya mula bergenang dan hati sayu melihatkan apa yang berlaku di depan mata.
Tiada istilah makanan segera dalam kotak fikiran anak anak Yasin |
Saya perhatikan kedua dua jurukamera saya Pak Kassem dan Kamal Azedy juga telah bergenang air mata.
Begitu juga dengan Fariha, Muliadi dan Azhar....
Sebatang ubi rebus dicubit bergilir gilir Yasin dan anak anak.
Nasi di campur ubi, berlaukkan air dan garam sahaja.
Hidangan yang tidak seberapa itu menjadi makanan mereka setiap hari.
Dan yang paling menyentap hati saya dan krew lain tatkala, nasi di dalam mangkuk telah habis, dua anak perempuan Yasin yang kecil menghirup air garam di dalam mangkuk tersebut bagaikan resepi sup yang paling lazat.
MasyaAllah......
Cuba rakan rakan bayangkan anak anak kecil yang menghirup sup ayam atau daging dengan bunyi "slupppprrr."..........dan mulut terkomak kamik menelan tapi yang dinikmati mereka hanyalah sup air garam...
Mungkin bagi zuriat Yasin, itulah yang paling lazat......
Teringatkan anakbuah yang dapat menikmati pelbagai makanan sedap dan lazat setiap hari....... sedangkan anak Yasin tiga bulan sekali pun belum tentu dapat menjamah daging ayam.... |
Kami tersentuh dan bagaikan dihiris sembilu melihat anak anak Yasin mengalas perut begitu berselera sekali sesungguhpun tiada berlauk.
Krew Bersamamu yang merakamkan detik detik itu tidak dapat menahan rasa simpati melihat dengan mata kepala sendiri betapa perit dan daifnya realiti tuntutan hidup yang dilalui keluarga Yasin.
Berjurai jurai airmata kami membasahi bumi Gunung Kinabalu.
Masakan yang berlaukkan ayam atau daging tiada langsung dalam kamus hidup anak anak kecil yang baru mengenal dunia itu.
Mungkin pada mereka, kebanyakan rakan rakannya yang lain turut menikmati hidangan yang sama seperti mereka....
Tersentuh....Hiba....Sedih.... Insaf... Terkaku seketika....
Mereka tidak punyai pilihan.
Demi kelangsungan hidup, nasi, air dan garam sudah cukup untuk mengisi perut.
Sungguhpun mereka menaman sayur, jarang sekali sayur dijadikan lauk kerana bagi Yasin, sayur yang dijual dapat menampung membeli keperluan lain.
Itulah di antara kisah di sebalik kehidupan Yasin yang memilukan.
Berdiri di belakang Fifi, Pak Kassem,Fariha, Muliadi dan Azhar Kamal Azedy dan saya duduk (selepas rakaman keluarga Yasin makan malam, kami terus balik ke hotel tak jadi pergi makan lewat malam) |
Walaupun seribu kali kami perlu mendaki gunung, meredah hutan rimba, menyusuri sungai yang sempit, tapi pengalaman kami bersama keluarga Yasin selama 4 hari tidak dapat menandingi kesusahan yang dialaminya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul......
Sebahagian penduduk kampung yang turut meringkan beban keluarga Yasin |
Seperti komen Chenal dan Makcik semalam, juraian air mata...adalah airmata keinsafan....
Dan saya setuju dengan pandangan Damai Impian D'Bangi, sepatutnya tatkala melihat kemiskinan, kita patut muhasabah diri, tetapi masih ada segelintir individu ternyata mudah sekali mengeluh atas ujian Allah yang sedikit.......
Saya sering mengingatkan kepada diri sendiri mahupun anak anak buah, agar sentiasa bersyukur dengan apa yang telah ada pada kita hari ini.....
Program Bersamamu banyak mengajar saya erti kehidupan, tanggungjawab, pengorbanan, kasih sayang dan keikhlasan.......
Selamat Menyambut Maal Hijrah...
Peristiwa hijrah besar ertinya dalam sejarah perkembangan Islam.....
Moga kita mendapat rahmat, barakah dan sentiasa dalam keredhaanNYA....
saya baca pos ni, dan tgk gambar2 tu, berjurai jurai airmata ni..memang menginsafkan, saya makin kenal erti bersyukur.
ReplyDeleteBerat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Paparan ini ternyata membeli airmata.
ReplyDeletesalam cik inn.membaaca entry ni membuatkan makcik begitu sedih..betapa makcik bersyukur dengan Allah diatas rezekiNya..tergenang air mata tatkala membaca anak2 menghirup sup air garam tu..salam maal hijrah buat cik inn..
ReplyDeleteRamai yg susah, misikin di negara kita. Duduk di Kl pun ada yang miskin. Tapi apa sikap kita? Sekadar datang sekali melawat dan memberi sekampit beras adakah menyelesaikan kesusahan dan keperitan? Kita banyak mencari nama bila membantu orang susah. Kita banyak dan selalu menyusukan "kera di hutan" daripada anak sendri yang kelaparan. Berubahlah....
ReplyDeleteYa Allah..!
ReplyDeletetak tahan saya baca entry ni..
Pilu betul baca entry ni, Saya tidak boleh menahan airmata daripada mengalir... Kesiannya keluarga nihh, makanan yang ada kadang-kadang sampai terbuang jer, sedangkan berapa ramai lagi insan-insan yang susah perlukan perhatian. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Alhamdulilah atas segala nikmat Mu Ya Allah.
ReplyDeletemenitik airmata aku ni cik in...dlm malaysia ini masih ada lg yg hidup serba daif....
ReplyDeletemasih ramai warga Malaysia yang hidup serba kekurangan tapi kenapa wakil2 rakyat tak perasankan mereka-mereka ini atau ada pihak yang cuba untuk tidak menyampaikan maklumat kemiskinan tegar ini kepada saluran yang sepatutnya? atau adakah mereka ini sendiri tiada ruang untuk 'mendaftarkan' diri untuk mendapatkan bantuan (tak kiralah dalam bentuk apa pun), sangat sedih melihat keadaan mereka (walaupun pernah susah tapi takdelah sesusah mereka), kasihan mereka.
ReplyDeleteSayu. Pengalaman rakaman yg menyentuh kalbu. Menginsafi diri ini. Tq.
ReplyDeleteDikala saat kita mendapat dugaan dari ALLAH kita sering merungut membentak kecewa tp bila kita tahu bahawasanya masih ada lagi berat Ujian dari ALLAH kepada org lain tp org lain tidak pernah merungut membentak SubhanaALLAH Mahasuci Allah..Syukur masih mampu makan lagi
ReplyDeletesedih baca, hendaknya anak2 sentiasa bersyukur dapat makan dan bersekolah dgn segala kemudahan.
ReplyDeleteSalam kak Mazlin, anak saya suka dengan nasihat yang akak selalu ucapkan di dalam rancangan Bersamamu. Semua nasihat akak pada anak-anak org susah tue dia jadikan semangat untuk dia berjaya dalam pelajaran. Dia tak pernah miss sekali pun utk dengar nasihat akak. Dia berjaya mendapat 5A dalam UPSR 2012. Semua kerana nasihat akak.
ReplyDelete