Ads by nuffnang

Friday, December 3, 2010

"Bumi Mesir dan individu berhati Firaun...."



Menyambung entri semalam kisah di sebalik tabir pembikinan Jejak Rasul Srikandi, dari Syria, krew Jejak Rasul Srikandi berkelana ke bumi Mesir.

Piramid dan Sphinx di Giza, juga Kuil Luxor antara mercu pemerintahan Firaun yang sering dikunjungi pelawat dalam dan luar negara.

Sepanjang kami di Mesir, pegawai Kementerian Penerangan Mesir , Muhammad Ghamasi menemani kami selain tiga pelajar Malaysia selaku jurupengiring dan jurubahasa, Shuhabil, Toulud dan Mzbah.

Piramid yang dibina menggunakan ribuan tenaga hamba

Mesir mempunyai kira-kira 70 juta penduduk dan 90 peratus beragama Islam.


Kalau dah singgah di Kaherah tidak sah kalau tak ke Souq/Bazaar  Khan Al-Khalili.


Berlatarbelakang Bazaar Khan Al Khalili
Kami sempat merakamkan gelagat orangramai di bazaar yang menjual pelbagai barangan tempatan terutamanya cenderamata.

Seperti di Petaling Street, Kuala Lumpur, pengunjung di sini perlu bijak dan berani tawar menawar hingga 50 ke 60 peratus.


Tawar...jangan tak tawar......

Kami sempat juga merakamkan moderator Ezzah di Bazaar.


Kesibukan Bazaar Khan El Khalili
 Daripada pengamatan kami, pengawal keselamatan di situ beberapa kali mendekati pegawai pengiring dan berkata sesuatu.

Kemudian saya dimaklumkan yang mereka minta di"belanja minum"........

Berikutan krew Jejak Rasul Srikandi dianggotai 3 kaum Hawa daripada unit produksi dan hanya satu kaum Adam, kami mempraktikan peribahasa, berat sama di pikul, ringan sama di jinjing.

Ketika di Wadi Rayyan yang terletak di daerah Faiyoum, untuk merakamkan moderator Ezzah, memerlukan kami memanjatkan bukit pasir.

Rakaman di Wadi Rayyan
Peralatan yang digunakan tidak kurang beratnya.

Justeru tidak mahu jurukamera dibebani dengan peralatan seperti tripod, krew produksi turut membantu apa yang terdaya oleh kudrat insan yang bergelar wanita...

Pasir lembut, turun  kena menggelunsur...
Selain kepayahan bukit pasir yang lembut, angin yang bertiup kencang, satu cabaran bagi kami.

Namun ia sama sekali tidak melemahkan semangat kami untuk merakamkan visual yang menarik.

Kepercayaan pihak pengurusan yang yakin, kaum Hawa juga boleh menerbitkan Jejak Rasul, dijadikan azimat kami untuk menghasilkan yang terbaik buat tatapan penonton sepanjang Ramadan.

Penggambaran di padang pasir Wadi Rayyan
Sinaran mentari memeritkan kulit, sama sekali tidak membataskan kudrat kami sepanjang berada di Wadi Rayyan ini.

Beberapa kali juga rakaman Ezzah perlu diulang berikutan desiran angin mengganggu audio kami.

Selesai penggambaran di padang pasir lembut, kami di bawah ke kawasan yang mempunyai air terjun kira kira 15 minit dari lokasi penggambaran.

Sungguh besar kekuasaan Allah Maha Pencipta.

Di tengah tengah ketandusan padang pasir terdapat air terjun?

Air terjun di Wadi Rayyan
MasyaAllah......



Ia menjadi tarikan pelancong terutama di hujung minggu.

Satu lagi lokasi kalau sudah berada di Kaherah yang mesti dikunjungi adalah piramid di Giza kira-kira 45 minit ke 1 jam perjalanan dari Kaherah.

Mengikut perancangan, kami dibenarkan untuk merakamkan moderator Ezzah, tetapi setibanya di sana, pelbagai masalah yang dihadapi kononnya permit yang kami dapat hanya untuk rakaman luar dari komplek Piramid.

Krew Jejak Rasul Srikandi
Kami tetap masuk ke Piramid sebentar dan kemudian keluar dari komplek terbabit.


Habil (baju belang biru) dan Mzah(baju putih) di
pintu masuk Piramid di Giza 
 Rakaman pengacaraan Ezzah di buat keesokan hari di belakang komplek Piramid mengikut jalan kampung.


Penggambaran moderator Ezzah di belakang komplek Piramid
Sememangnya sebelum saya berlepas untuk tugasan ini, rakan rakan yang telah sampai di Mesir telah memberi peringatan bahawa "orang mesir ada yg masih berhati Firaun" ,  "cakap tak serupa bikin"....."dan ada udang di sebalik batu"..... 

"Org Mesir, kejap kata ok,lepas tu tak ok......Yang penting, jangan lupa bawa duit "small change", sana semuanya nak tips", pesan Zahir Ramli, yang pernah ke sana untk tugasan Jejak Rasul sebelum ini.

Kerasnya hati masyarakat Mesir macam kerasnya batu Piramid ini......

Barulah saya teringat dengan senario di Bazaar Khan El Khalili.

Kejadian yang sama kami hadapi ketika membuat rakaman di "Pharaonic Village" atau Kampung Firaun di tengah tengah bandar Kaherah.

Pintu masuk utama Kampung Firaun
Kira tempat ini macam Kampung Budaya atau Muzium Hidup di mana mereka melakonkan watak watak di zaman Firaun termasuk kisah Nabi Musa AS yang hanyut dan dijumpai oleh isteri Firaun, Asiyah Muzahim yang menjadi ibu angkat Nabi Musa AS.

Ketika rakaman di situ, menurut pegawai bertugas, kami perlu membayar sebanyak 500 dollar Amerika untuk rakaman kira kira satu jam lebih.

Bersama kakitangan Kampung Firaun yang melakonkan watak
masyarakat Mesir kuno
Berikutan kami mempunyai dua kamera, untuk merakamkan aktiviti di situ, masa yang diberi agak berpatutan.

Biasalah kalau dah nama pun pengambaran, terlalu khusyuk buat rakaman tak sedar dah terlebih 10 minit.

Seorang pegawai keselamatan menghampiri Habil (pelajar Malaysia pengiring kami) dan minta 10 dollar.   

Merakamkan aktiviti wanita Mesir kuno memproses minyak wangi
Sebagai pelajar yang berjiwa muda dan telah biasa dengan ragam masyarakat Mesir, Habil bertegang leher tidak mahu memberi tambahan 10 dollar kerana hanya penggambaran lebih10 minit, dan dia dapat merasakan duit yang diminta untuk kegunaan sendiri.

Setelah melihat kekecohan terbabit, beberapa kakitangan Kampung Firaun turut serta dalam pertelingkahan.


 
Bincang punya bincang, saya pun kata, kami boleh tambah duit sebanyak 50 dollar lagi dengan syarat beri tambahan 20 minit penggambaran dan segala bayaran mesti ada resit rasmi.

Dalam keadaan "terpaksa", akhirnya mereka bersetuju.......

Hujan Emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baiklah d negara sendiri.........

Bagi saya masuk hutan berjalan kaki berjam jam pun tak pa, daripada bertemu kerenah manusia yang punya kepentingan sendiri.......

Dunia oh dunia......kita tinggalkan kisah individu berhati Firaun....

Pepatah orang tua tua ada mengatakan, rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari.

Setelah hampir dua minggu, tidak dapat merasakan makanan Malaysia, jemputan yang kami terima daripada Khairudddin Abd Khalid, Pengurus Kanan anak syarikat Petronas di Kaherah, sama sekali tidak dilepaskan.

Berikutan Khairuddin mempunyai mesyuarat penting di saat akhir, kami hanya dapat berjumpa beliau seketika.
Kami dilayan isterinya, Maridan Mansur, 3 putera mereka dan beberapa rakyat Malaysia yang mencari rezeki di bumi Mesir ini.

Nasi Lemak sambal ikan bilis, , roti jala beserta kari daging, cekodok pisang terasa seperti makan di tanahair sendiri, bukan saja bagi krew Jejak Rasul Srikandi, malah bagi pelajar Malaysia yang mengiring kami.

Kami turut berkongsi pengalaman sepanjang berada di Bumi Mesir dan Maridan sendiri tidak menafikan ada individu tertentu bila membabitkan duit memang pandai memperdayakan mangsa terutama sekali orang luar.


 
Soal membabitkan wang memang mempunyai seribu satu cerita tak kira di mana sekali di pelusuk dunia.....

Apapun, Alhamdulillah segala tugasan kami berjalan lancar di Mesir.

Apa yang berlaku mematangkan lagi kami dalam dunia produksi. 

Piramid dan Sphinx meninggalkan kenangan tersendiri
buat Krew Jejak Rasul Srikandi

Kami tinggalkan bumi Mesir pada tanggal 29 April dan sampai ke tanahair yang disayangi pada pagi 30 April 2010.

....seterusnya pada 13 Mei 2010, tugasan Jejak Rasul Srikandi ke
Arab Saudi......akan saya kongsikan esok......Wassalam.......



6 comments:

  1. Salam..
    Seronoknya mengembara di bumi Mesir . Saya berada Di Qatar , Selalu berdepan dengan arab yang jiwanya keras dan sombong sebenarnya . Baru saya tau kenapa Rasul di turunkan di kalangan mereka,rupanya bg mendidik mereka.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Itulah antara sebab utama kenapa nabi-nabi dan rasul diturunkan di bumi mereka, bukan di Malaysia. Padahal mereka pula sangat berbangga kerana sebab itu...oooh!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,
    Teringin nak ke Mesir jugak....................

    ReplyDelete
  4. Salam rakan rakan.

    Seperti pandangan Lydia dan Anyss, itulah sebabnya Allah menurunkan Nabi dan Rasul di Tanah Arab...Bukanlah nak kata semua orang Arab sombong dan keras jiwa, tetapi sebab nila setitik habis susu sebelanga.....Masyarakat Qatar ok sikit kot Lydia....Masyarakat Mesir memang ada stail Firaun, ikut cakap depa aja.....

    InsyaAllah Mak Ngah akan sampai ke Mesir, anakbuah Mak Ngah menuntut di sanakan??

    ReplyDelete
  5. ingin melaat mesir???sila hubungi saya melalui emel: amirliza@yahoo.co.uk atau lihat f/book saya: amir hamzah mohd atau amir tours.Saya mmg berada di mesir.Syukran.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...