Ads by nuffnang

Saturday, December 11, 2010

'REJIM ZIONIS KEJAM...TAK BERHATIPERUT...."

Sebut saja nama "ISRAEL" terus dikaitkan dengan kezaliman Rejim Zionis yang tidak berhati perut dan berperikemanusiaan.

Ia juga sinonim dengan Semenanjung Gaza dan rakyat Palestin yang menderita dan tersiksa akibat perangai buruk dan keganasan rejim.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa rakyat Syria juga menjadi mangsa kezaliman Rejim Zionis sejak sekian lama.

Ketika di Syria untuk Tugasan Jejak Rasul Srikandi April lalu, kami berkesempatan ke Bukit Golan, antara kawasan paling subur di Syria terletak bersempadan dengan Jordan, Palestin dan Israel yang menjadi sejarah hitam tidak berkesudahan selepas ditawan Rejim Zionis.

Kami bernasib baik diberi kebenaran memasuki kawasan itu, kerana bukan mudah untuk ke sana lebih lagi untuk penggambaran.

Tinggal serpihan bangunan

Pencerobohan Rejim Zionis  hingga kini masih memberi kesan mendalam dan menusuk sanubari rakyat Syria kerana kekejaman yang menjadikan beberapa kawasan terutama bandar sempadan Quneitra sebagai "pekan mati" dan "padang jarak padang terkukur".

Sepi tidak berpenghuni lagi

Kami beserta wartawan Berita Harian, Sharaani Ismail yang mengikuti tugasan Jejak Rasul Srikandi, sempat melawat bekas bandar Quneitra, ibu negeri Golan (kini dikenali wilayah Quneitra) yang musnah selepas Rejim Zionis menakluk kawasan itu 43 tahun lalu dan menjadikan rakyat Syria pelarian di negara sendiri.

Fokus Israel hanya satu, menguasai lembah paling subur serta kaya dengan sumber air dan cukup strategik sebagai kawasan kawalan ketenteraan berikutan kedudukannya di lembah dan bukit.


Pintu masuk utama Hospital Golan


Krew Jejak Rasul Srikandi mengabadikan foto
di peninggalan Hospital Golan

Sememangnya Rejim Zionis tidak mempunyai nilai nilai kemanusiaan seperti yang dilakukan pada rakyat Palestin.


Ketibaan kami disambut Pengarah Perhubungan Awam Wilayah Quneitra, Muhammad Ali yang memberikan penerangan mengenai keadaan semasa dan sejarah hitam kawasan itu.

Di pejabat Muhammad Ali

Selesai taklimat, kami bersama Muhammad memasuki kawasan berkenaan sambil diiringi beberapa anggota tentera sebagai langkah keselamatan kerana kami membawa peralatan penggambaran.



Bangunan UN berhampiran Hospital Golan


Sebak, sayu dan sedih bercampur marah serta geram tatkala melihat kesan kemusnahan dilakukan Rejim Zionis terhadap Quneitra yang satu masa dulu antara bandar utama tetapi musnah angkara kerakusan dan haloba Israel.

Kami dibawa masuk ke dalam bangunan hospital yang musnah dan di tukar menjadi kawasan latihan Rejim Zionis sebaik mereka menawan Quneitra pada 1967.

Beberapa kesan tembakan kelihatan di dinding

Kesan  tembakan peluru jelas kelihatan di dalam bangunan hospital yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. 


Pos kawalan Rejim Zionis berwarna putih di puncak bukit

Sayup sayup dari kejauhan kira-kira satu kilometer dari bumbung hospital kami berdiri, kelihatan beberapa pos kawalan milik Rejim Zionis yang terletak di atas bukit.

Kami dok sibuk meninjau dari jauh, pos kawalan rejim dan saya rasa mereka juga memerhatikan kami dari jauh.....

Di atas bumbung Hospital Golan

Suspen jugak... kami sibuk dengan penggambaran Ezzah, kalau Rejim Zionis ingat kami nak merakamkan aktiviti mereka pulak.....hai kes naya kami.....

Muhammad menjelaskan, isu pencerobohan Israel di Bukit Golan belum dapat diselesaikan hingga kini, bagaimanapun usaha mendapatkan kembali kawasan itu tetap diteruskan walaupun pelbagai tekanan diterima.

"Ada antara rakyat kami ditahan di penjara Israel lebih 25 tahun tanpa sebarang sebab dan belum dibebaskan walaupun sudah beratus kali permohonan dibuat bagi membebaskan mereka", Muhammad memaklumkan kepada kami.


"Bayangkan ketika ditahan, mereka berusia 25 tahun dan separuh daripada kehidupan mereka dihabiskan di penjara sebagai tawanan. Ketika ditahan rata-rata mereka masih muda,” tambahnya.

Pencerobohan Rejim Zionis ke atas tanah Golan bermula sejak 1949 dan memuncak selepas tercetus perang 1967.


Jumlah penduduk di kawasan itu pada 1949 hanya sekitar 62,293 orang, ia meningkat lebih sekali ganda pada 1967 sebelum Perang Golan.

Kesan daripada perang dan penaklukan secara haram Rejim Zionis ke atas Golan pada 1967 mengakibatkan lebih 130,000 rakyat Syria kehilangan tempat tinggal dan merempat di negara sendiri.


 


Walaupun proses merampas kembali sebahagian daripada kawasan Golan terutama Quneitra berjaya pada 1974, Rejim Zionis bertindak kejam dengan memusnahkan seluruh bangunan dan kediaman serta merampas peralatan hospital dan barangan berharga penduduk.

Perkara paling memberi kesan pendudukan Israel ke atas Golan adalah perpisahan ahli keluarga di wilayah yang ditawan mereka dengan wilayah yang masih belum diduduki.


Sempadan Bukit Golan /Israel dan wilayah yang masih belum diduduki

Muhammad berkata, situasi itu antara episod menyedihkan kerana Israel bertindak zalim memisahkan rakyat Golan dan menetapkan syarat sesiapa yang keluar dari kawasan yang ditakluki diharamkan sama sekali masuk semula.


Bentuk mukabumi di Bukit Golan memang menarik

Sayu apabila dimaklumkan ketika majlis perkahwinan berlangsung di sempadan antara Syria dan kawasan diduduki Israel, apabila mereka dah keluar kawasan, mereka tidak akan dibenarkan masuk semula walaupun untuk berhubung dengan ahli keluarga.

Hubungan kekeluargaan seperti terputus....... hanya pintu sempadan menjadi tempat pertemuan, itu pun dalam jarak antara 100 meter dan berkomunikasi menggunakan pembesar suara.


Ia turut dikenali  sebagai Lembah Laungan atau `Shouting Valley'  sebagai penghubung komunikasi antara ahli keluarga yang terpisah.

Jika ada antara ahli keluarga yang belajar di Damsyik atau ingin bertemu keluarga melalui pintu sempadan, mereka yang ingin berjumpa terpaksa berdepan tekanan, disoal siasat, ditahan beberapa hari serta dimalukan.

“Ada yang dipenjarakan terlebih dulu sebelum  bertemu dengan ahli keluarga di kawasan penempatan yang diceroboh Rejim Zionis," Muhammad menambah.

Lagi runtuhan bangunan akibat
kezaliman Rejim Zionis

Saya pun tertanya tanya kenapalah kejam sungguh Rejim Zionis menindas insan yang lemah dan memutuskan ikatan silaturahim masyarakat setempat.

Apakah tiada istilah "simpati" atau "kesian" dalam kamus hidup mereka???

Anak kehilangan ayah, isteri menjadi balu, datuk tidak dapat bertemu cucunya.......

Bagi mengenang sejarah, kekejaman Zionis dan keperitan masyarakat Syria di Quneitra, kesan pencerobohan di situ dibiarkan dalam keadaan asal.


Wartawan Berita Harian, Sharani turut mengabadikan
kenangan di runtuhan bangunan di Quneitra

Tatkala melihat keadaan asal runtuhan, dapat kita bayangkan bagaimana kasar dan zalimnya Rejim Zionis....

Lazimnya pada 17 April setiap tahun, ribuan rakyat Syria membanjiri Quneitra yang musnah.


Bunga tumbuh subur di sekitar Bukit Golan

Tanah Golan juga subur untuk tanaman seperti Epal

Ia sempena ulang tahun Pembebasan Golan dan mengingati peristiwa pendudukan dan rampasan semula wilayah itu daripada Israel selepas Perang Golan 1974.

Namun sampai bilakah penduduk Golan akan menjadi pelarian di tanahair sendiri???

Quneitra....tinggal kenangan....

Saya dimaklumkan, mereka tidak akan berputus asa, terus berjuang untuk hak mereka dikembalikan satu hari nanti.....

InsyaAllah.....dengan izin Yang Maha Besar, satu hari nanti penduduk Golan akan mendapat kembali hak mereka......

 

5 comments:

  1. bestnye dapat peluang macam chik inn...syukurrr....i like diz entry

    ReplyDelete
  2. Salam Are You....
    Terima kasih kerana terus mengikuti blog saya....Jauh perjalanan,luas pengalaman,InsyaAllah saya akan kongsikan beberapa catatan yang tidak keluar di TV tetapi lebih kepada catatan di belakang tabir ya....
    Teruskan membaca....

    ReplyDelete
  3. sungguh sedih sekali...
    terima kasih Cik Inn kerana berkongsi cerita ngan kami...

    ReplyDelete
  4. andai diberi peluaNG..Nak Lisa jejakkan kaki di sana..menghayati keadaan dan mendalami perasaaan orang2 di sana..

    ReplyDelete
  5. bersyukur kita kerana berada di dalam negara yang aman damai, tiada peperangan. tapi tak paham kenapa masih ada lagi rakyat yang suka berpuak2, memecahbelahkan keharmonian negara sendiri.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...