Ads by nuffnang

Wednesday, December 8, 2010

"BELI MEE SEGERA RAMAI BOLEH MAKAN......."

Musim cuti persekolahan, lazimnya dikaitkan dengan pelbagai pihak mengadakan Kem Remaja untuk memenuhi masa terluang pelajar dengan aktiviti yang berfaedah.

Cuti persekolahan penggal pertama Mac 2008, Bersamamu turut mengadakan Kem Remaja selama 3 hari yang membabitkan 45 anak anak Bersamamu berumur di antara 8 hingga 17 tahun dari Semenanjung Malaysia.

Hasil kutipan wang daripada Tabung Bersamamu pemberian masyarakat prihatin termasuk gadis kecil yang menghulurkan 50 sen seperti dalam entri saya semalam, juga pihak pihak tertentu, disalurkan kepada keluarga Bersamamu termasuklah mengadakan Kem Remaja itu.

Peringkat pertama, untuk mengumpulkan anak-anak Bersamamu, bukan satu tugasan yang mudah.

Beberapa kali wargakerja Bersamamu menghubungi keluarga terpilih untuk mendapatkan pengesahan dan memaklumkan apa yang perlu di bawa anak anak mereka.

Sehari sebelum Kem Remaja Bersamamu bermula, yang dari Pantai Timur dan Utara Semenanjung telah sampai lebih awal, justeru mereka bermalam di hotel berdekatan Sri Pentas dan beberapa wargakerja Bersamamu termasuk pelajar pelajar IPTA/IPTS yang membuat latihan amali ditugaskan menjaga mereka...

Dah nama pun kanak kanak dan tidak pernah bermalam di hotel, ada yang kurang selesa bermalam dengan menggunakan hawa dingin, ada yang suka turun naik lif, ada yang tidak begitu faham penggunaan air sejuk dan panas dalam bilik mandi dan pelbagai kerenah lagi.

Justeru, saya dan wargakerja Bersamamu bagaikan warden asrama  memantau kanak kanak itu dari satu bilik ke satu bilik hingga lewat pagi.

Agak menyedihkan, ada di kalangan mereka datang memakai selipar jepun, membawa beg plastik dengan satu persalinan sahaja.

Bila di tanya kenapa bawa satu helai sahaja sedangkan telah memaklumkan untuk membawa baju untuk 5 hari, ini jawapan yang diterima,

"Ini aja 2 baju yang elok..... yang lain emak kata tak sesuai, baju yang saya pakai ini basuh, pakai ajalah yang dlm beg ini, nanti basuh, ganti ganti lah..."

Terkebil kebil kami mendengar penjelasan si kecil yang petah dari Pantai Timur datang bersama kakaknya yang menyandang beg sekolah berisi 2 helai baju dan sehelai seluar sukan.

Sememangnya sebelum kami mengadakan Kem Remaja, beberapa perkara perlu diambilkira.

Kami memahami keadaan keluarga mereka, justeru, sebahagian sumbangan untuk Kem Remaja itu, kami belikan kemeja T, blaus, seluar sukan, tudung, tuala mandi, kasut sukan, setokin, selipar dan beg.  

Alhamdulillah, kami juga dapat penajaan daripada beberapa pihak yang menyumbangkan alat tulis, kemeja T, berus dan ubat gigi, sabun, syampoo, bedak, minuman ringan,susu, biskut, coklat.

Jam 8 pagi, 10 Mac, selepas sarapan di hotel dan beberapa anak anak Bersamamu dari Lembah Klang telah berkumpul di Sri Pentas, dua buah bas membawa tetamu istimewa itu ke Kuala Selangor, Selangor.

Diadakan di Jeram Sport and Recreation Centre, Pantai Remis, Kuala Selangor, mereka ditempatkan di asrama dan kakitangan Jeram Sport and Recreation mengambil alih tugasan kami.

Namun beberapa wargakerja Bersamamu tetap bermalam di situ kerana anak anak Bersamamu sudah biasa dan mudah berkomunikasi dengan kami.

Program yang dianjurkan bertujuan meningkatkan keyakinan diri dan semangat berani dalam melakukan sesuatu pekerjaan di samping memberi kesan positif dalam pembentukan jati diri mereka.

Selain ceramah motivasi untuk menguatkan semangat, pelbagai aktiviti di adakan dan yang paling membuat anak anak itu teruja adalah permainan "Paintball".

Ia mengajar erti kesetiaan pada ketua dan pasukan selain semangat kepimpinan dalam diri.  

Corak permainan "Nation Defence" memupuk semangat cintakan negara dan berusaha bersungguh sungguh mempertahankan negara serta berdisplin.

Petikan daripada Akhbar Sinar Harian 12 Mac 2008

13 Mac,  selepas makan tengahari dan solat Zuhor, selesai Kem Remaja Bersamamu.

Mereka diberikan sijil penyertaan.

Bagi peserta yang paling aktif, berdisplin, banyak memberi buah fikiran, turut mendapat hadiah sampingan.

Bersamamu turut memberikan wang tunai 100 ringgit seorang sebagai wang saku dan mengingatkan mereka menggunakan wang untuk perkara yang berfaedah.

Berikutan ada di kalangan anak anak itu, inilah kali pertama menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, untuk tidak menghampakan mereka, waktu terluang petang itu kami bawa mereka ke KLCC khususnya ke Aquaria.

Pihak Aquaria berbesar hati untuk menjadi host kepada tetamu istimewa itu dengan memberi kemasukan percuma kepada mereka beserta jamuan minum petang.

Ternyata anak anak itu begitu gembira sekali.....kegembiraan mereka, kegembiraan kami jua...

Ketika berada di kedai cenderamata Aquaria, terdengar juga suara suara yang ingin membeli cenderamata untuk diberi pada emaklah, adiklah dan ada juga untuk nenek.

Dapat saya garapkan, sebahagian daripada kanak kanak ini, susah senang keluarga tetap di hati.

Seorang kanak kanak lelaki dari Pahang begitu teruja dengan cenderamata yang terdapat di situ.

"Aku nak belilah benda ni", katanya kepada rakan di sebelahnya yang berasal dari Trengganu.

"Berapa harganya"?

"Harganya 6.90", dia melihat tanda harga yang terletak di belakang cenderamata terbabit.

"Hah 6.90 sen, mahal lah, kalau beli maggi ramai orang boleh makan", dengan selamba dia membalas.

Ternyata kemiskinan mengajar sebahagian daripada mereka apa itu erti keperluan..... dan apa itu erti pembaziran....

11 comments:

  1. Salam,
    Orang yang pernah susah sahaja tahu apa erti susah. Agak malang juga bila ada orang yang senang selepas susah, tiba-tiba lupa diri.

    Anak-anak ini perlukan peluang dan kesedaran, nanti merekalah yang akan ubah nasib hidup keluarga pada masa depan.

    ReplyDelete
  2. Salam Anyss, benar tulisan awak, hanya Jauhari saja yang mengenal Manikam. Bagi yang benar benar merasa keperitan hidup, setiap yang diperolehi dihargai.
    Namun bagi segelintir yang telah lupa rumput di bumi, moga segera tersedar daripada lamunan.
    Alhamdulillah, beberapa anak anak Bersamamu telah menunjukkan kemajuan dalam hidup dengan memperolehi 5A utk UPSR, 7A/8A untuk PMR dan SPM dan ada juga sedang menuntut di Menara Gading...

    ReplyDelete
  3. kalau ada peluang saya memang berminat nak jadi fasiltator utk kanak-kanak begini...sebenarnya diorang lebih matang, sensitif dan sgt berdikari berbanding kite yg biase dilimpahi kesenangn..tu anugerah Allah utk mereka.

    ReplyDelete
  4. Salam Are You....Kem Remaja Bersamamu tahun ini di adakan Jun lalu dengan kerjasama penuntut UTM Jalam Semarak,Kuala Lumpur.

    InsyaAllah untuk akan datang, jika memerlukan fasiltator, saya akan memaklumkan kepada awak.

    Mendekati sebahagian kanak kanak ini secara tidak langsung memberi satu sisi pandangan berbeza tentang kehidupan yang kadangkala di luar jangkauan kita....Sungguhpun miskin harta, tapi kaya budi bahasa....anugerah Allah pada mereka....

    ReplyDelete
  5. Terima kasih bersamamu kerana membahagiakan mereka! Allah shj yang akan membalas segala kebaikan yang telah kamu semua lakukan kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan. Terima kasih juga kak inn atas entry yang sungguh bermakna nih.

    ReplyDelete
  6. Menitik air mata saya menbaca coretan Chik Inn, anak2 murid sy pun ada yg mcm itu tetapi peratusnya amat kecil dan kami akn terus membantu.

    ReplyDelete
  7. Nieaz, Bersamamu banyak mengubah kehidupan dan mengajar saya terutama bila bersama anak anak yang bukan sahaja kekurangan kewangan tetapi semangat dan motivasi, sedangkan kita mengetahui mereka berpotensi utk mengubah corak kehidupan.
    Beberapa anak anak Bersamamu yang pernah kami paparkan sejak 2005 masih kami pantau.

    Sebagai pendidik Mak Ngah sendiri pasti dapat perhatikan bahawa pelajar pelajar yang susah ini sebenarnya ada yang boleh pergi jauh tetapi menjadi mangsa keadaan. Justeru mana yang boleh kita hulurkan bantuan, kita bantulah.....

    ReplyDelete
  8. salam cik inn..sedih membacanya .. kanak2 ni begitu menyayangi keluarga mereka n tahu berbelanja..belanja hanya pada yg mustahak saja..bagi mereka yg penting ialah mengisi perut dulu daripada yg lain..

    ReplyDelete
  9. Betul2..org yang pernah susah saja tau erti susah.. sedih juga memikirkan org yang tak tahu erti susah..mm..

    ReplyDelete
  10. seronok dengar budak2 ni gembira ngan Team Bersamamu.

    bagus dan tahniah!

    ReplyDelete
  11. nice blog..maybe akan selalu singgah sini lpas ni utk baca entri

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...